SJ-03-0023 : air tanah boleh ganti sabun?

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-03-0023 : air tanah boleh ganti sabun?

SAMAK RESTORAN TIDAK MASUK AKAL

Amal ajaran agama secara berhikmah

Oleh ASTORA JABAT

WALAUPUN penulis berpegang dengan pandangan dan fatwa mengatakan bahawa apa yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah) seperti babi dan anjing boleh dibersihkan dengan sabun dan bahan-bahan pencuci yang lain, tetapi penulis tidak menganggap mereka yang berpegang bahawa najis berat itu wajib dibersihkan dengan tiga, lima atau tujuh kali basuh dengan air termasuk satu kali menggunakan air tanah sebagai salah.

Namun begitu penulis rasa perlu memberi penjelasan kenapa penulis berpegang dengan pandangan dan fatwa bahawa apa yang dianggap najis boleh dibersihkan dengan sabun. Begitu juga penulis ingin memberi pandangan mengenai tindakan menyamak restoran dan kafe milik bukan Muslim baru-baru ini yang menganggap tidak wajar dan tidak masuk akal.

Penulis memulakan dengan mencuci najis berat dengan sabun. Sebenarnya sabun pada kira-kira 4500 tahun lalu adalah tanah kerana ia adalah antara pencuci semula jadi seperti air. Pada tahun 2800 Sebelum Masihi dicatatkan bahawa orang Babilonia di Iraq sudah pandai membuat bahan kecantikan yang menyerupai sabun. Bahan kecantikan berkenaan dibuat daripada lemak dan abu, iaitu menggunakan bahan yang digunakan membuat sabun.

Tetapi orang Iraq tidak menggunakannya sebagai sabun untuk mencuci tubuh badan, pakaian dan perkakas rumah. Sebaliknya ia digunakan sebagai bahan kecantikan untuk mendandan rambut.

Pada tahun 1500 Sebelum Masihi orang Mesir purba pula mencipta sejenis ubat yang menyerupai sabun. Ubat tersebut dibuat daripada campuran antara minyak haiwan, minyak tumbuhan dan garam alkali. Ia digunakan sebagai ubat untuk mengubati penyakit kulit dan pembersih sekali gus.

Beberapa ratus tahun selepas itu muncul pula nama sabun dipanggil ke atas tanah yang digunakan sebagai pencuci pakaian dan perkakas dapur. Panggilan nama sabun ke atas tanah yang digunakan sebagai bahan pencuci dicipta oleh bangsa Roman. Alkisahnya begini.

Mengikut cerita mitologi Roman, sabun berasal daripada nama Bukit Sapo. Pada masa lalu Bukit Sapo yang terletak di Rom, Itali menjadi tempat korban haiwan untuk upacara agama orang Roman. Di situ tertinggal sisa haiwan berupa lemak dan ia terbuang ke dalam Sungai Tiber. Ikut terbuang dalam Sungai Tiber itu ialah abu kayu api yang digunakan untuk memasak. Lama-kelamaan lemak dan abu yang terbuang dalam Sungai Tiber itu teradun menjadi selut atau lumpur yang istimewa kerana boleh digunakan sebagai bahan pencuci.

Wanita Roman yang menemui khasiat selut atau lumpur dari Sungai Tiber yang di pinggirnya terletak Bukit Sapo itu. Penemuan itu berlaku secara kebetulan apabila mereka membersih pakaian dan peralatan dapur mereka. Lumpur Sungai Tiber itu mampu mencuci pakaian dan peralatan dapur dengan lebih sempurna berbanding dengan lumpur biasa.

Sejak dari itu lumpur yang menjadi pencuci popular orang Roman ketika itu dipanggil sapo dan kemudian dipanggil sapone dalam bahasa Itali dan dipanggil soap dalam bahasa Inggeris sebagai, savon dalam bahasa Perancis dan as-sabun dalam bahasa Arab.

Begitulah secara ringkas sejarah sabun yang berasal daripada tanah.

Pada zaman Rasulullah sabun buatan sudah wujud dan sudah digunakan oleh orang Muslim ketika itu, tetapi sabun semula jadi, iaitu tanah masih digunakan mereka secara meluas kerana paling mudah didapati. Selain itu tanah juga pada zaman baginda merupakan bahan perubatan seperti mana disebut dalam kitab at-Tib an-Nabawi (Perubatan Nabi). Ini sama dengan zaman kita kini di mana tanah turut digunakan sebagai bahan perubatan.

Suruhan Rasulullah supaya menggunakan tanah untuk pembersihan terkandung dalam hadis di bawah ini sepatutnya tidak dianggap sebagai suruhan agama (taabudi) seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

Kerana ia berkaitan dengan kebersihan dan kesihatan yang tergolong daripada sains yang sentiasa berubah mengikut perubahan dan kemajuan dunia. Dalam hadis itu Imam Muslim meriwayatkan bahawa diceritakan kepada aku Ali bin Hajar al-Saadi, diceritakan kepada kami Ali bin Mushir, diberitahu kepada kami al-Amasy daripada Abu Ruzain dan Abu Salleh daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda: Apabila anjing menjilat air yang berada dalam bekas salah seorang daripada kamu, hendaklah dituangkan air tersebut dan seterusnya basuhlah sebanyak tujuh kali.

Daripada hadis ini datang hukum mengatakan anjing adalah najis berat, sama ada anjing peliharaan mahupun anjing liar. Kebanyakan ulama menganggap begitu. Cuma dalam mazhab Maliki terdapat empat fatwa yang berbeza.

Pertama fatwa yang mengatakan anjing tidak najis. Fatwa inilah yang dipegang oleh kebanyakan orang Arab di Afrika Barat seperti Maghribi, Tunisia, Algeria dan Mauritania. Dengan itu janganlah hairan jika orang Arab di negara-negara itu memelihara anjing macam orang kita memelihara kucing.

Kedua, fatwa yang mengatakan anjing najis. Penulis tidak pasti orang Muslim mazhab Maliki di negara manakah yang mengamalkan fatwa ini. Ketiga, fatwa yang mengatakan makanan dan air yang dijilat anjing tidak najis. Keempat, fatwa yang mengatakan anjing hutan tidak najis dan anjing bandar najis.

Babi dianggap najis pada pandangan kebanyakan ulama tidak termasuk ulama Mazhab Maliki kerana berdasarkan hadis mengenai anjing di atas. Ini bermaksud diqiaskan babi dengan anjing. Justeru kerana najis anjing dianggap wajib dibasuh sebanyak tujuh kali terutama pada mazhab asy-Syafii, maka najis babi pun wajib dibuat demikian.

Bagaimanapun terdapat sebuah nas daripada al-Quran yang dianggap bukti babi adalah najis seperti mana firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): ``Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah rijsun (kotor) - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah''. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Anam: 145)

Hukum

Bagaimanapun, ada ulama menganggap babi bukan najis tidak boleh disentuh, tetapi najis tidak boleh dimakan. Maksud ia tidak haram disentuh, tetapi haram dimakan. Ini sama juga dengan arak yang dianggap oleh ramai ulama bukan haram disentuh, tetapi haram diminum.

Perlu dijelaskan bahawa asal hukum mencuci dengan air tanah bersama air enam kali seperti mana disebut dalam hadis Rasulullah di atas pada asalnya adalah hanya digunakan untuk membersihkan bekas makanan atau air yang dijilat oleh anjing sahaja. Kemudian ia digunakan juga untuk mencuci mana-mana anggota badan atau pakaian yang disentuh oleh anjing terutama jika bulunya basah. Selepas itu diperluaskan lagi penggunaan hukum berkenaan ke atas babi pula secara qias atau ijtihad.

Sebenarnya jika mengambil kira ulama pandangan yang mengatakan anjing bukan najis kecuali air liurnya dan babi bukan najis kecuali makan dagingnya, maka tidak ada apa yang dipanggil najis berat pada kedua-dua haiwan itu kecuali air liur dan daging masing-masing.

Dalam erti kata lain hukum menyuruh basuh bekas makanan dan air yang dijilat anjing dan hukum mengharamkan makan daging babi berubah menjadi hukum haram menyentuh kedua-dua haiwan itu. Itulah secara ringkas sejarah proses perubahan hukum daripada hukum Allah (haram makan babi) dan hukum Rasul-Nya (menyuruh dibasuh bekas makanan dan minuman dijilat anjing tujuh kali) kepada hukum fikah yang diijtihad oleh ulama (wajib basuh tujuh kali jika disentuh anjing dan babi).

Berpindah kepada perkara terakhir untuk dibincang di sini, iaitu isu samak restoran. Seperti telah dijelaskan di atas, iaitu walaupun penulis menganggap najis berat boleh dibersihkan dengan sabun, tetapi penulis tidak menganggap salah mereka yang menganggap najis berat itu wajib dicuci tujuh kali. Cuma penulis tidak bersetuju dengan cara restoran milik bukan Muslim melakukan perbuatan menyamak restorannya dalam bentuk propaganda dan publisiti besar-besaran.

Bagaimanapun, penulis tidak marah kepada pemilik restoran itu kerana apa yang dilakukan olehnya walaupun bermotif komersial, tetapi dia melakukan perkara itu berdasarkan hukum yang dipegang oleh orang Muslim negara ini dan mengikut yang dikehendaki mereka.

Orang muslim sepatutnya lebih bijak dan berhikmah dalam mengamalkan sesetengah ajaran agama.

Ambil contoh Islam menyuruh semua orang Muslim berjuang atau berjihad. Ia adalah ajaran yang wajib dilaksanakan oleh semua orang Muslim. Bagaimanapun, kerana terdapat ramai orang Muslim berjihad tidak kena bidang dan tidak kena cara terutama mereka yang terlibat dalam sesetengah puak Islam politik, maka perjuangan atau jihad berubah menjadi perbuatan jahat dan keganasan. Akibatnya dunia memandang serong kepada Islam dan penganutnya.

Menyamak restoran walaupun tidak menimbulkan kesan buruk yang hebat seperti perjuangan dan jihad menyeleweng tetapi ramai orang bukan Muslim menyaksikan laporan melalui pelbagai stesen televisyen dalam dan luar negara termasuk CNN dan BBC akan memandang serong kepada Islam dan penganutnya. Mungkin penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan perbuatan menyamak restoran akan menganggap bahawa agama Islam sangat susah sehingga jika penganut termakan atau tersentuh atau ada bekas makanan yang diisikan masakan yang mengandungi daging babi wajib disamak belaka.

Restoran dan segala peralatannya telah disamak seperti kita melihat dalam televisyen minggu lalu. Paling sedihnya tindakan menyamak restoran tersebut diawasi oleh para pegawai sebuah jabatan agama.

Selain restoran, orang ramai yang pernah menjamu selera di restoran itu pun sepatutnya wajib kena samak juga seperti difatwakan beberapa ulama. Tetapi tidak dapat dipastikan berapa orang daripada mereka telah menyamak diri kerana termakan sosej babi yang dijual di restoran itu.

Bagaimanapun, nasib baik kerana walaupun mungkin ada mereka yang telah menyamak diri sendiri, tetapi tiada seorang pun yang memanggil media terutama televisyen seperti yang dilakukan oleh restoran berkenaan. Jika tidak, dunia mesti lebih terkejut melihat orang-orang Muslim di Malaysia sedang menyamak mulut, bibir, gigi dan lidah dengan air tanah. Mungkin ada yang lebih waswas mahu menyamak perut dan usus juga.

Jika perkara itu berlaku mungkin selain boleh dimasukkan ke dalam catatan The Guiness Book of Records atau disiarkan dalam rancangan televisyen polupar Believe Or Not, imej Islam dan umat Muslim di Malaysia tercemar lebih teruk lagi dan seterusnya dakwah kita akan mengalami kerugian lebih besar.

DIPETIK DARIPADA MINGGUAN MALAYSIA 27 MAC 2005.

Re: air tanah boleh ganti sabun?

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan yang dikemukan oleh sdr stutroop dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Soalan sdr ialah, berdasarkan artikel Astora Jabat, apakah : Air Tanah boleh ganti sabun?

(a) Mungkin kita kembali balik kepada perkara pokok yang ingin di sucikan. Soalan awal adalah : Apakah khinzir itu najis?

Imam Malik rh mengatakan bahawa semua yang hidup itu suci (Fiqh Taharah,ms 20, al-Qaradhawi). Maka dikalangan ulama' (selain dari al-Syafie) mengatakan bahawa khinzir ini haram di makan (sebagaimana firman Allah didalam surah al-Maaidah : 3)dan secara fizikalnya, ia tetap suci sepertimana binatang2 yang lain. Syeikh Atiyah Saqr berkata :-

æãä åäÇ ÞÇá Çáäææí: áíÓ áäÇ Ü Ãí ÇáÔÇÝÚíÉ Ü Ïáíá Úáì äÌÇÓÉ ÇáÎäÒíÑ¡ Èá ãÞÊÖì ÇáãÐåÈ ØåÇÑÊå ßÇáÃÓÏ æÇáÐÆÈ æÇáÝÃÑ¡
"Maka berkata al-Nawawi : bukanlah dari kami - mana2 mazhab Syafie - suatu dalil mengenai kenajisan khinzir, bahkan doktrine mazhab kami ianya suci sebagaimana sucinya Singa, Musang dan Tikus.." (Ahsanul Kalam 3/236).

Imam al-Nawawi rh adalah dari kalangan ulama' Mazhab Syafie yang berbeza pendirian dengan sebahagian yang lain dari Mazhab Syafie yang mengatakan bahawa keseluruhan khinzir itu najis, dan perlu disucikan dengan menggunakan 7 basuhan air dan disertai dengan tanah pada akhirnya. al-Nawawi memberi komentarnya didalam Sharh Muslim menyatakan bahawa :-

æÐåÈ ÃßËÑ ÇáÚáãÇÁ Åáì Ãä ÇáÎäÒíÑ áÇ íÝÊÞÑ Åáì ÛÓáå ÓÈÚÇ ¡ æåæ Þæá ÇáÔÇÝÚí ¡ æåæ Þæí Ýí ÇáÏáíá
"Kebanyakkan ulama' berpandangan bahawa najis yang berkaitan dengan khinzir tidak perlu dibasuh 7 kali. Ini adalah pandangan al-Syafie dan ia mempunyai dalil yang kuat"

Syiekh Atiyah Saqr ha (bekas pengerusi Fatwa al-Azhar) mengatakan bahawa Khinzir adalah Najis Hukum (iaitu haram dimakan) dan bukannya Najis 'ain (fizikal). Bagi mereka yang berpegang kepada pandangan ini, maka tidak salahlah mereka mengatakan bahawa mencukupi menggunakan air dan sabun mensuci najis khinzir.

-------------
(b) Apakah dia najis yang perlu disucikan dengan 7X basuhan?

Najis yang memerlukan 7X basuhan termasuk 1X dengan tanah ialah air liur anjing sebagaimana hadith yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang berkata bahawa Nabi saw bersabda :-

ÅÐÇ æáÛ ÇáßáÈ Ýí ÅäÇÁ ÃÍÏßã ÝáíÛÓáå ÓÈÚ ãÑøÇÊ ÅÍÏÇåÇ ÈÇáÊÑÇÈ
"Apabila anjing menjilat bijana salah seorang daripada kamu maka basuhlah 7 kali, dan salah satunya dengan tanah" [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Mengenai status najis kepada anjing, Ulama' Syafie dan Hanbali mengatakan keseluruhan anjing adalah najis. Terdapat beberapa ulama' lain yang mengatakan air liur anjing yang dikatakan najis dan bukannya anjing itu sendiri. Hadith diatas menunjukkan bahawa air liur anjing sangat najis.

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa tidak ada dalil yang mengatakan bahawa keseluruhan anjing itu najis. Menurut beliau pengambilan dalil dari hadith diatas menunjukkan ia khusus kepada sesuatu yang dijilat sahaja. [Fiqh Taharah, ms 19].

-------------
(c) Apakah najis air liur anjing boleh di sucikan dengan menggunakan sabun, menggantikan 7X air dan tanah?

Hadith Abu Hurairah ra diatas menunjukkan bahawa membasuh sesuatu yang dijilat anjing menggunakan 7X basuhan dan tanah bagi menghilangkan kenajisannya adalah sebahagian dari ibadat. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa ini merupakan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat oleh anjing yang merupakan sesuatu yang ta'abbudi [Fiqh Taharah, ms 20]. Tambah beliau : Kita terikat dengan perintah dan bebanan syariat, baik kita mengetahui alasannya (illat) atau tidak. Dan ini merupakan ujian terhadap keimanan kita kepada Allah, Apakah kita taat terhadap Tuhan kita atau ta'at kepada akal? [Fiqh Taharah, ms 24]

Jelas menunjukkan syariat mencuci najis air liur anjing dengan 7x basuhan beserta dengan satunya dari tanah tidak boleh di ubah sebagaimana validnya hadith Nabi :saw seperti yang tertera diatas .... :aklam

wassalam
==========
1. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Thaharah : taisir al-fiqh li al-muslim al-Mu'aashir fi dhaui al-Quran wa al-Sunnah :2. Kaherah : Maktabah Wahbah, 2002.

2. Syiekh Atiyah Saqr. Ahsanu al-Kalam fi al-Fataawa wa al-ahkaam - 3. Kaherah : Daar al-Ghad al-'Arabi, [tt]. ms 236 - 237.
sila lihat url : http://al-ahkam.net/forum2/viewtopic.php?p=35495

خيرالأمين