MENGENALI DUA TOKOH HADITH SALAF

Primary tabs

Oleh alitantawi

Mungkin ada yang pernah mendengar nama Abd. Rahman Ibn Mahdi dan Yahya Ibn Ma’in. Di kalangan yang pernah mendengar nama mereka pula ada yang benar-benar mengenali mereka berdua dan ada juga yang tidak sempat untuk mencari maklumat tentang kedua tokoh hadith ini.

Saya sendiri tidak serajin mana untuk menterjemahkan secara keseluruhan biodata kedua orang tokoh ini. Tapi rasanya cukuplah dengan beberapa maklumat berikut dapat memberi gambaran tentang sejauh mana ilmu dan ketokohan kedua orang alim hadith ini. Sama-sama kita renungkan.

Abd. Rahman Ibn Mahdi (Lahir pada 135H , wafat pada 198H).

- Murid kepada Syu’bah Ibn al-Hajjaj (160H) yang merupakan antara tokoh hadith terkemuka di zamannya. Abd. Rahman merupakan tempat rujukan utama selepas Syu’bah bersama-sama rakannya iaitu Yahya Ibn Sa’id al-Qatthan (198H).

- Dikagumi kehebatannya dalam mengenal pasti hadith yang sahih dan dhaif.

- Beliau pernah berkata bahawa ilmu yang beliau kuasai khususnya dalam mengenal pasti kedhaifan hadith dianggap oleh orang-orang yang tidak tahu sebagai sihir atau perdukunan. Ini disebabkan mereka tidak memahami bagaimana beliau menapis hadith dan mengenali kedhaifan sesuatu hadith.

- Benar-benar menguasai hadith-hadith yang beliau kumpulkan sepanjang proses menuntut ilmu. Malah beliau juga menguasai hadith-hadith yang dikumpulkan oleh orang lain. Contohnya beliau pernah mendengar seorang periwayat hadith yang terkenal iaitu Abu ‘Awanah menyebut satu hadith yang disangkanya ada di dalam buku beliau. Lalu Abd. Rahman Ibn Mahdi menegurnya dan berkata: ‘Ini bukan hadithmu’. Abu ‘Awanah berkeras mengatakan bahawa ia ada dalam catatannya. Tetapi apabila Abu ‘Awanah mengeluarkan catatannya dan membuat semakan, ternyata hadith itu tidak ada di dalam catatannya itu! Perhatikanlah, bagaimana Abd. Rahman Ibn Mahdi bukan setakat menguasai hadith-hadith yang beliau catat, malah turut menguasai hadith-hadith yang dicatat oleh orang lain.

Yahya Ibn Ma’in (Lahir pada 158H, wafat pada 233H )

- Merupakan teman rapat kepada Ahmad Ibn Hanbal (241H) dan beliau amat dihormati oleh Ahmad. Mengambil ilmu kajian hadith antaranya daripada tokoh yang disebutkan tadi iaitu Abd. Rahman Ibn Mahdi.

- Beliau pernah berada pada majlis bacaan hadith oleh Nu’aim Ibn Hammad (salah seorang guru al-Bukhari) lalu Nu’aim telah membaca hadith dengan nama periwayat yang salah. Lalu Yahya Ibn Ma’in tidak teragak-agak untuk menegurnya sehingga perbuatannya itu menyebabkan Nu’aim marah dan begitu juga murid-muridnya yang berada pada majlis tersebut. Tetapi setelah Nu’aim masuk ke rumahnya untuk mengambil buku catatan hadithnya, didapati apa yang ditegur oleh Yahya tadi adalah benar dan memang Nu’aim telah melakukan kesilapan. Nu’aim lantas menyatakan bahawa sememangnya Yahya adalah Amirul mu’minin (pemimpin orang-orang beriman) di dalam ilmu hadith.

- Para periwayat hadith amat takut melakukan kesilapan apabila bertemu dengan Yahya Ibn Ma’in. Sehinggakan salah seorang daripada periwayat hadith bernama Ismail Ibn ‘Ulayyah pernah bertanya kepada Yahya: ‘Bagaimana keadaan hadithku?’. Maka Yahya menjawab: ‘Engkau adalah seorang yang tepat hadithnya’ (bermakna tidak ada kesilapan dan tidak ada hadith yang dhaif pada Ismail Ibn ‘Ulayyah). Lantas Ismail tidak henti-henti menyebut ‘alhamdulillah..alhamdulillah’ tanda bersyukur kerana dia tidak dikritik oleh Yahya Ibn Ma’in.

Apa yang di atas hanyalah secebis kisah dua orang imam hadith terkemuka yang tidak dikenali oleh ramai pencinta ilmu hadith malah penuntut ilmu sunnah. Malah ada di antara pendokong sunnah tidak meletakkan kedua-dua orang imam ini pada kedudukan yang tinggi dalam ilmu hadith sehinggakan pendapat kedua-dua mereka tidak begitu dihargai. Ini semua terhasil daripada sikap kurang menyelidik dan mengkaji sejarah para ulama hadith di zaman kegemilangan hadith iaitu sekitar kurun kedua dan ketiga Hijrah.

Terdapat ramai lagi imam hadith yang perlu kita kenali dan ketengahkan kehebatan mereka terutama imam-imam hadith pada zaman salaf. Saya pun tidak tahu kenapa pada saat ini saya memilih Abd. Rahman Ibn Mahdi dan Yahya Ibn Ma’in sebagai tajuk artikel. Secara tiba-tiba terlintas idea untuk menulis tentang mereka berdua. Insya Allah, saya akan cuba menulis (apabila pena dan minda bersedia) tentang imam-imam lain yang dianggap sebagai tokoh hadith, sayangnya mereka tidak begitu popular pada kalangan penuntut hadith masa kini. Pesanan saya untuk sahabat-sahabat pengkaji hadith dan pencinta sunnah:

’apabila anda bertemu pendapat yang dikeluarkan oleh Abd. Rahman Ibn Mahdi dan Yahya Ibn Ma’in, hargailah pendapat itu dan gunakanlah ia dengan sepenuhnya tanpa ragu-ragu’.

Wallahua’lam.

Sumber maklumat di atas:

1-Pendahuluan buku ’al-Irsyadat Fi Taqwiyat al-Ahadith Bi al-Syawahid wa al-Mutaba’at karya pengkaji hadith moden daripada Mesir, Syeikh Toriq Ibn Iwadhillah, cetakan Maktabah Ibn Taimiyyah,.

2- Juhud al-Muhaddithin Fi Bayan ’Ilal al-Hadith karya Dr. Ali al-Sayyah, kertas kerja Muktamar al-Sunnah al-Nabawiyyah.

3- Tadzkirat al-Huffaz karya Imam al-Zahabi (748H).