Sayyid Qutb (1906-1966): Menyingkap Fikrah dan Ijtihadnya

Primary tabs

Oleh: Ahmad Nabil Amir (PhD Usuluddin)

SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK ISLAM: ASY-SYAHID SAYYID QUTB INTERNATIONAL INSTITUTE OF ISLAMIC THOUGHT AND CIVILIZATION (ISTAC) || 16 Julai 2011

IRF (Islamic Renaissance Front), sebuah badan NGO yang aktif menganjurkan wacana pemikiran Islam yang mengangkat tema dan fikrah yang rasional dan semasa, pada 16 Julai 2011 lalu telah menganjurkan seminar pemikiran politik Islam yang membincangkan pemikiran Asy-Syahid Sayyid Qutb dan relevensinya dengan nuansa politik kontemporer. Perbahasan yang menggarap tema pemikiran dan gagasan pentingnya tentang politik, budaya, kesusasteraan, peradaban, dan cita-cita Islam ini menzahirkan sosok Asy-Syahid sebagai pemikir dan arkitek penting yang telah merangka secara tuntas pemikiran politik dan maqasid Islam yang jelas.

 

Seminar ini mengetengahkan tiga panelis yang terkenal dalam wacana intelek dalam membedah teks dan merungkai sejarah peradaban iaitu Ustaz Adlan Abdul Aziz, Dr Ahmad Farouk Musa dan Ustaz Mohd Syauqi Md Zahiri al-Kulimi dan dipengerusikan oleh saudara Edry Faizal bin Eddy Yusof, felo penyelidik di IRF.

Seminar yang dilangsungkan di ISTAC ini telah melakarkan sejarah penting dalam pemikiran politik tanah air kerana ia menjawab secara ilmiah setiap tohmahan yang dilemparkan terhadap Asy-Syahid seperti dukungannya terhadap faham khawarij, salafi, penafiannya terhadap proses demokrasi, pandangannya yang konservatif, dan aliran perjuangannya yang radikal dan ekstremis. Tesis sedemikian telah ditangkis dengan berkesan oleh Dr Farouk dalam analisisnya tentang Ma‘alim fi al-Tariq yang menzahirkan hujah yang dapat membungkam pemikiran dangkal yang dilontarkan oleh kalangan yang jahil tentang pengaruh dan asas pemikiran Asy-Syahid yang dinamis.


Ustaz Adlan: Memperingati Sayyid Qutb

Ustaz Adlan dalam pembentangannya yang berjudul Memperingati Sayyid Qutb cuba menyingkap sejarah dan latar kehidupan Asy-Syahid, dan menyorot aliran pemikiran yang dominan di Mesir ketika itu. Beliau menukil dari beberapa karya penting yang mencatatkan biografi Sayyid Qutb seperti kitab Sayyid Qutb min al-Milad ila al-Istisyhad oleh Dr Salah Abd al-Fattah al-Khalidi, kuliah Li Hayat Sayyid Qutb oleh adiknya, Muhammad Qutb, dan memoir Zainab al-Ghazali di penjara Naseer (1918-70).

Cabaran yang ditempuh oleh Asy-Syahid sejak menuntut di Madrasah al-Mu‘allimin pada 1922, pengaruh persekitaran dan kekuatan yang mengangkatnya sebagai pemikir Islam yang seminal dibahaskan dengan komprehensif. Beliau mengungkapkan latar belakang Sayyid Qutb yang kental dengan pengaruh dan tradisi Islamnya, yang memungkinkannya menghafal al-Qur’an pada usia 10 tahun, dan asas agama yang mendalam yang telah memperkukuh keyakinan dan istiqamahnya dalam perjuangan.

Beliau turut menyentuh tentang sumbangan Sayyid Qutb dalam pemikiran Islam yang diperlihatkan melalui karya-karyanya yang berhasil mencetuskan inspirasi dan mempengaruhi gerakan Islam kontemporer. Sayyid telah menulis kitab yang cukup berpengaruh dan monumental seperti Al-Mustaqbal li Hadha al-Din, Kutub wa Shakhsiyat, Ma‘rakat al-Islam wa’l Ra’smaliyah (Pertempuran antara Islam dan Kapitalisme), Al-‘Adalah al-Ijtima ‘iyyah fi’l Islam (Keadilan Sosial dalam Islam), Tifl min al-Qaryah (A Child From the Village), Masyahid al-Qiyamah fi al-Qur’an, Taswir al-Fanni fi al-Qur’an (Deskripsi seni dalam al-Qur’an) dan Fi Zilal al-Qur’an.

Qutb merupakan penghayat dan penganalisis sastera yang tajam tatkala menyorot sejarah kesusasteraan arab yang dilukiskan oleh penyair dan karyawan Arab yang terkenal. Idelisme klasik yang ditampilkan dalam tulisannya menzahirkan ketinggian pemikirannya dalam menganalisis dan melontarkan pandangan dan kritikan. Kehalusan seni dan keindahan sastera yang diungkapkannya adalah hasil telaah dan kekuatan imajinasinya sebagai penulis dan pengamat sastera yang halus.

Qutb terkesan dengan kekuatan al-Ikhwan dan pengaruh dakwah yang digerakkan oleh Hasan al-Banna. Gagasan pembaharuan yang ditampilkan oleh Muhammad Abduh dan muridnya Sayid Rasyid Rida turut mempengaruhi corak pemikiran dan perjuangannya. Tepatlah sebagaimana diungkapkan oleh Muhammad Asad dalam The Message of the Qur’an bahawa landasan perjuangan yang ditempuh oleh kesemua gerakan Islam berpunca dari pemikiran Muhammad Abduh.


Dr Ahmad Farouk Musa: Mengkaji Semula “Petunjuk Sepanjang Jalan”

Dr Ahmad Farouk Musa dalam slot kedua menzahirkan kompetensi Qutb dalam merangka ide dan kerangka perjuangan yang jelas untuk digerakkan oleh Ikhwan. Dalam artikelnya yang berjudul Revisiting Sayyid Qutb’s Milestones (Mengkaji Semula “Petunjuk Sepanjang Jalan”) beliau berusaha meninjau karakter dan esensi kitab Petunjuk Sepanjang Jalan yang ditulis oleh Sayyid Qutb.

Karya yang monumental ini mengupas dengan tuntas doktrin Lā ilāha illa Allāh (Tiada Tuhan Selain Allah) yang merupakan teras penting dalam membentuk pandangan dan kerangka pemikiran Islam. Islam muncul dengan keyakinan baru (aqīdah jadīdah) yang telah membawa transformasi agung dalam sejarah umat manusia seluruhnya dengan keupayaan menakluk dan menumpaskan faham jahiliah. Ini merupakan karya terakhir ditulis oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb ketika ditahan di penjara Mesir dan bertahan sebagai sebuah karya klasik dan fundamental dalam tradisi pemikiran Islam.


Ustaz Syauqi al-Kulimi: Membedah Di Bawah Bayangan al-Qur’an

Ustaz Syauqi al-Kulimi dalam slot perbahasan yang ketiga, tampil membahaskan ketinggian karya Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Bayangan al-Qur’an). Kitab ini disifatkan sebagai tafsir madani dan haraki yang terpenting dan berpengaruh dalam kajian teks al-Qur’an pada abad ke 20-21. Beliau berusaha merungkai kemusykilan pandangan dan tafsiran yang dikemukakan yang menyentuh ayat hukum, politik, sosial, ekonomi, budaya dan sejarah. Qutb telah menulis perenggan-perenggan awal Fi Zilal al-Quran dalam kolum khas yang dimuatkan dalam Jurnal al-Muslimun dari surah al-Fatihah hingga al-Nahl (1951-54) dan meneruskan tafsirannya ketika mendekam di penjara dari 1954-64.

Tafsir Fi Zilal al-Qur’an ini merupakan khazanah intelektual Islam yang cukup bernilai yang melakarkan hujah dan analisis teks yang meyakinkan. Ia menzahirkan cita-cita besar penulisnya untuk mencetak dan melahirkan jil al-Qur’an al-Farid (generasi al-Quran yang unik) bagi meneruskan peranan sebagai pembaharu politik Islam. Ustaz Syauqi turut membandingkan kupasan Buya Hamka dalam Tafsir al Azhar dengan Fi Zilal al-Qur’an yang memperlihatkan kesamaan dalam kupasan ayat politik, sosial, tauhid, alam dan pandangan dunia.

Ringkasnya, seminar ini telah memperlihatkan daya tahan dan daya juang Sayyid Qutb dan tekad perjuangan yang dizahirkannya kerana mempertahankan keyakinan dan kalimah Islam.

Pihak IRF telah menerbitkan kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam bentuk ebook dan diedarkan kepada pengunjung melalui email. [pautan ke link [scribd.com: LINK] [mediafire.com: LINK]