[01] Pengajaran Hadis 'Uraniyin: Hukum Air Kencing Binatang Yang Halal Dimakan

Primary tabs

Hadis uraniyin 01

'Uraniyin: Apa Hukum Air Kencing Binatang Yang Halal Dimakan? 01/05

Oleh zain-ys

Kita di Malaysia yang bermazhab al-Syafi'i beranggapan bahawa air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah najis. Najis ayam, lembu, kambing dan sebagainya bagi kita bukan sekadar kotor tetapi ia adalah najis. Bila ia terkena pada pakaian, kita dikehendaki menyucinya. Tidak sah bersolat dengan pakaian ada najis binatang berkenaan.

Dalam video siri 01 ini, Maulana Asri akan mendedahkan kepada kita mazhab yang mengatakan air kencing dan tahi binatang berkenaan adalah suci. Ia tidak dianggap najis. Maulana akan bacakan syarah Sahih Muslim karya Maulana Muhamad Taqi al-Utsmani. Kita akan didedahkan dengan hujah dan dalil dari kedua-dua belah pihak. Memang kagum kita dengan penghujahan mazhab-mazhab ini. Pening kepala kita, sebab semuanya kuat dan mantap!

Mazhab yang kita pegang mazhab Syafi'i yanga mengatakan ia adalah najis memang kuat hujahnya. Mazhab yang mengatakan ia adalah suci juga kuat hujahnya.

Cuba kita lihat hadis 'Uraniyin ini, bukankah Nabi s.a.w. suruh orang yang sakit itu minum susu dan air kencing unta? Unta itu halal dimakan. Itulah bukti bahawa jenis binatang yang halal dimakan suci air kencingnya.

Yang kata ia najis pula kata, Nabi s.a.w. suruh minum adalah untuk berubat. Ia tetap najis. Kalau untuk berubat ia dibenarkan.

Kita akan dapat saksikan bagaimana mazhab ini nanti berlawan-lawan hujah.. Anda tontonlah sendiri. Insyaallah, menarik dan mudah difahami.

 


 RINGKASAN

Hukum Air Kencing Binatang Yang Halal Dimakan

  1. Maliki dan selainnya: Air kencing semua binatang yang halal adalah suci
  2. Abu Daud Ibnu 'Ulaiyah: Air kencing semua binatang termasuk yang tidak halal adalah suci melainkan kencing manusia
  3. Hanafi dan selainnya: Semua air kencing binatang adalah najis kecuali kadar yang dimaafkan

Untuk mengetahui lebih lanjut perbahasan hujah-hujah setiap mazhab, sila tonton video di bawah.

 


Teks Hadis:

Dari Anas bin Malik bahawa ada beberapa orang dari Kabilah 'URAINAH datang kepada Rasulullah s.a.w. di Madinah. Lalu mereka mendapati bumi Madinah tidak sesuai dengan mereka. 

Rasulullah s.a.w. pun berkata kepada mereka: Jika kamu mahu keluar ke tempat unta sedekah, di situ kamu boleh minum susunya dan air kencingnya. Maka eloklah kamu melakukan begitu.

Merekapun menurut apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Merekapun sihat.

Kemudian mereka pergi kepada penggembala unta berkenaan, lalu membunuhnya. Kemudian mereka murtad daripada Islam. Mereka mengheret unta-unta Rasulullah s.a.w. 

 

Perkara itu diketahui oleh Rasulullah s.a.w. Maka bagindapun menghantar orang untuk menjejaki mereka. Kemudian mereka ditangkap dan di bawa kepada Rasulullah s.a.w. Bagindapun memotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka. Mengelar mata mereka dengan besi panas. Baginda membiarkan mereka di kawasan berbatu hitam sampai mati. (Muslim)

 

Kategori Berita: