BAB 6: MARTABAT TUJUH

Primary tabs

BAB 6

MARTABAT TUJUH

Jika pinjaman kata-kata istilah yang digunakan dalam teori Martabat 40 al-Jili dan al-Midrasi di atas sedemikian ganjilnya, para pembaca tidak perlu gusar kerana semuanya itu hasil daripada tahap ilmu dan pemikiran mereka. Berikut ialah martabat 40 yang diringkaskan menjadi 7 sahaja tetapi didapati sukar juga difahami.

Kita berhenti dahulu tentang ibn-'Arabi al-Jili dan al-Midrasi. Sekarang kita kembali kepada asal tajuk perbincangan iaitu Martabat Tujuh, difahamkan tentang asal kejadian alam semesta. Bagaimanakah asal kejadian alam semesta menurut Martabat Tujuh? Ilmu Martabat Tujuh Wahdat al-Wujud tidak syak lagi adalah dari pengaruh ibn-'Arabi. Atau setidak-tidaknya ada persamaan dengan ibn-'Arabi tentang konsep Ahadiah. Orang Tasawuf Wahdat al-Wujud mengatakan kejadian alam semesta ini ialah proses tanazzulat (تنزلات) ertinya menurun. Istilah tanazzulat ertinya "turunan" lapisan tujuh itu iaitu proses tajalli (penjelmaan atau penampakan) Allah seperti berikut: Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, Alam Arwah, Alam Mithal, Ajsam dan Alam Insan. Tiga pertama iaitu Ahadiyah, Wahdah dan Wahidiyah, ada persamaan dengan ajaran Plotinus, tiada melibatkan tajalli zahir. Manakala empat yang baki adalah martabat zahir.

Apakah erti setiap satu daripada 7 istilah tersebut? Ahadiah ialah tajalli pertama. Dimaksudkan Ahadiyah ialah Dzat Allah semata, digelar juga La Ta'yyun, (Tidak nyata), Mutlak, Dzat semata, Wujud pada martabat ini bersih daripada sebarang sandaran segala sifat. Di atasnya tiada martabat satu apapun, semua martabat adalah di bawahnya. Ibn-'Arabi menggelarkan martabat ini (العماء) (awan tebal). Pada martabat ini kita tidak tahu satu apapun tentang Dzat, dan kita tidak boleh sifatkan satu apapun tentang Dzat, dan kita tidak boleh sifatkan satu apapun selain daripada mengatakan Ada Semata-mata tanpa nama, tanpa sifat dan tanpa sandar tambahan. Hamzah Fansuri menggelarkannya La Ta'yyun (tiada nyata) "kerana akal budi bicara kita tiada dapat sampai kesitu. Usahkan kita, para Nabi dan wali juga hairan."

Pengertian Martabat Kedua. Martabat Kedua digelar Wahdah (وحدة) atau (التعين الأول) (Nyata Pertama),dinamakan juga dengan (الحقيقة المحمدية) (Hakikat Muhammad). Pada tahap atau martabat ini Allah Ta'ala pun tahulah akan Dzat-Nya, Sifat-Nya dan segala yang ada dengan cara ijmal, tanpa boleh dibezakan di antara satu sama lain. Manakala ibn-'Arabi menggelarkan martabat ini alwahidiyah (الواحدية). Pada martabat ini barulah ada Yang Bernama (الحق) dalam istilah Islam tetapi bernama pada istilah ibn-'Arabi. Haqiqat Muhammad tidak ada asal dalam Quran dan Hadith Sahih. Di samping itu cuba perhatikan ayat dalam Berzanji berbunyi:

لما أراد الله تعالى إبراز حقيقته المحمدية

Terjemahannya: Tatkala Allah hendak melahirkan Hakikat-Nya Muhammadiyah

maka boleh difaham dalam ayat ini bahawa hakikat Muhammad itu ialah Allah sendiri.

Pada Martabat ini lahirlah tajalli (penjelmaan) Allah dalam segala nama segala sifat. Sifat itu sendiri dari satu segi, bagi Tasawuf Wahdat al-Wujud, tegasnya ibn-'Arabi, ialah Dzat. Tetapi dari satu segi yang lain, ialah alam nyata kita ini. Bagi ibn-'Arabi, alam nyata kita ini tidak lain daripada kumpulan sifat-sifat Allah. Segala yang ada ini semuanya adalah sifat-sifat bagi al-Haqq. Katanya:

فما وصفناه الا كنا ذلك الوصف

Terjemahannya: Maka apa sahaja kita sifatkan-Nya (al-Haqq) melainkan kitalah (semua yang hadith ialah sifat itu.

Segala sifat dan asma’ dengan ijmal ini berhimpun pada Hakikat Nabi Muhammad s.a.w. kita dan alam semesta seluruhnya adalah asal daripada Nur Muhammad, menurut Hadith:

أول ما خلق الله نور نبيك يا جابر

Terjemahannya:  Mula pertama Allah jadikan ialah Nur Nabimu, hai Jabir.

Kalau Haqiqat Muhammad seperti tersebut di atas tidak ada asal dalam Quran dan Hadith Sahih, maka Nur Muhammad juga begitu. Mutu hadith Nur Muhammad ini ialah Hadith rekaan (موضوع) Kalau disebut hadith ini dengan penuh, panjangnya dua helai kertas besar, maka orang yang melihatnya tiada teragak-agak mengatakan bahawa hadith ini hadith palsu, kerana didapati susunan kata-katanya yang janggal, kekok dan idea-ideanya yang tidak tentu hala.

Teori yang mengatakan kewujudan Muhammad sebelum kewujudan sesuatu bercanggah dengan nas-nas Qur'an dan Hadith-hadith Sahih seperti tersebut di atas iaitu awal kejadian ialah `Arasy, Air, tersebut iaitu lapan atau sembilan perkara semuanya, Nur Muhammad tidak termasuk. Kesimpulannya, Martabat Kedua iaitu Wahdat ini tidak boleh dipertahankan apabila dihadapkan ke hadapan ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang sahih.

Bagaimanakah pula dengan Martabat Ketiga? Martabat Ketiga digelar al-Wahidiyah atau Ta'yyun Kedua (kenyataan kedua) dan digelar juga Hakikat Insan. Pengertian Martabat ini ialah bahawa Allah Tahulah sudah tentang Ilmu dengan Dzat-Nya, segala Sifat-Nya dan segala yang ada dengan cara terperinci dan membezakan setengah dengan setengahnya.

Tiga Martabat ini, Ahadiyah, Wahdat, Wahidiyat, atau La Ta'yyun, Ta'yyun Awal, dan Ta'yyun Thani dinamakan Qadim lagi Azali, kerana pada ketika itu tiada maujud selain Dzat Allah dan segala Sifat-Nya jua. Terdahulu terkemudian dari tiga susunan istilah tersebut pada perhitungan akal jua. Pada hakikatnya adalah serentak. Seperti jari memulas anak kunci, anak kunci, dan mangga ibu kunci terbuka: tiga tersebut ini bergerak serentak.

Tuhan ada tiga tahap iaitu Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah atau La Ta'yyun, Ta'yyun Awal, dan Ta'yyun Thani. Adakah enam istilah tersebut termasuk antara nama atau sifat Allah? Kalau nama atau sifat Allah, kita boleh menyeru atau berdoa dengannya. Tetapi tiada siapa yang menadah tangannya seraya bertaka Ya Ahadiyah, Ya Wahdah, Ya Wahidiyah, Ya LaTa'yyun, Ya Ta'yyun Awal, Ya Ta'yyun Thani ampunilah dosa hambamu! Tiada siapapun yang kata begitu. Maka ini menunjukkan bahawa enam istilah di atas tidak termasuk dalam senarai sifat atau nama Allah yang bersumberkan al-Qur'an dan Hadith Sahih, sekalipun dikatakan Qadim. Maka perkara ini menyalahi kaedah. Kerana menurut kaedah, setiap yang qadim itu Allah. Sedangkan enam istilah itu dikatakan Qadim. Setiap yang Qadim ialah Allah sama ada Dzat-Nya, sifat-Nya, af'al-Nya atau Nama-Nya. Tetapi bukan begitu. Apa yang jelas ialah bahawa orang tasawuf Wahdat al-Wujud mahu menganalisis (merombak) Tuhan menurut fikiran mereka: Pertama, (pada analisis mereka) Tuhan semata Dzat (Dzat al-Baht...) digelar La Ta'yyun (tidak nyata) atau Ahadiah. Pada tahap ini Mahasuci daripada sebarang sifat, hatta mahu dikaitkan dengan mutlakpun tidak boleh. kedua Tuhan Ta'yyun Awal atau Wahdah atau Haqiqat Muhammad. Pada Tahap (Martabat) ini baharulah Tuhan Tahu Dzatnya, segala Sifat-Nya, dan segala yang ada tetapi secara borong (ijmal) sahaja, tanpa boleh dibezakan di antara satu sama lain. Tahap ini digelar Wahidiyah, atau Haqiqat Insan. Jelaslah ini bahawa Insan sudah ada pada haqiqatnya dalam Tahap Martabat Qadim ini lagi. Dengan kata lain, Insan pada haqiqatnya qadim seqadim Allah itu sendiri. Menurut al-Qur'an dan Hadith Sahih, tiga atau enam istilah ini tidak ada. Allah Maha Suci daripada analisis fikiran orang Wahdat al-Wujud.

 

Penjelasan Martabat (Tahap, Lapisan) ke empat dan seterusnya

Martabat (tahap) keempat ialah Alam Arwah (segala roh) iaitu mengenai benda-benda yang bebas lagi simpel yang lahir dalam seluruh diri atau seluruh idea masing-masing. Martabat Alam Arwah ini dinamakan juga Nur Muhammad s.a.w. yang menunjukkan keadaan sesuatu yang halus semata-mata yang belum menerima susunan dan belum berbeza di antara satu sama lain. (Di atas sudah disentuh tentang kepalsuan Hadith Nur Muhammad).

Martabat kelima ialah Alam Mithal (World of Ideas) mengenai benda-benda lemah lembut semesta yang bergabungan tidak boleh dipecahkan atau dibahagi, dikoyak atau ditampal. Asal roh itu satu, tetapi apabila setiap (individu) ada rupa masing-masing yang berbeza-beza lalu dinamakan Alam Mithal. Alam Roh (Martabat keempat seperti tersebut di atas) adalah seperti laut dan Alam Mithal seperti ombak, setiap ombak mempunyai rupa yang berbeza-beza, tetapi asalnya satu jua iaitu laut. Alam Arwah dan Alam Mithal hanya dapat ditanggap dengan hati bukan dengan pancaindera. Dua Alam ini dinamakan jua Alam Malakut dan Alam Ghaib. Dengan dua Alam ini boleh sampai kepada tiga yang Qadim tersebut iaitu Wahidiah, Wahdah, dan Ahadiyah kepada Allah.

Martabat keenam ialah Alam Ajsam (segala jisim), atau Alam Ajsad (segala jasad) iaitu mengenai segala suatu semesta alam ini yang bersusun dan menebal yang boleh dibelah bahagi. Dinamakan juga alam .al-mulk dan alam syahadah yang dapat ditanggap dengan pancaindera yang lima. Martabat ke tujuh ialah Alarn Insan iaitu martabat Tajalli dan martabat jami'ah (menghimpun) segala martabat enam terdahulu. Insan ini dikehendaki mencapai ma'rifat semua martabat enam yang terdahulu agar dapat menjadi insan kamil iaitu makam segala nabi dan wali dan yang lebih sempurna ma'rifat ialah Nabi Muhammad s.a.w.

 

Kesimpulan: Martabat Tujuh ini tegak di atas dasar Haqiqat Muhammad dan Nur Muhammad yang tidak ada asal dalam Quran dan Hadith Sahih. Sebab itu maka Martabat Tujuh ini, dari segi 'Aqidah Islam, adalah batil.

 

Penyampaian Martabat Tujuh Dengan Cara Batiniyah

Dalam masa dua tiga dekad kebelakangan ini ajaran Wahdat al-Wujud - Martabat Tujuh disebarkan dengan cara Batiniyah. Gerakan ini begitu meluas, menyeluruh ke segenap pelusuk negara dan agresif. Batiniyah ialah gerakan anti-Islam. Prinsip ajarannya, antara lain, menjadikan setiap kalimah dan huruf kalimah itu ada ertinya yang mereka rekakan.

Sila lihat Rajah 1. Rajah ini dinukilkan daripada buku Hakikat lnsan. Di antaranya ialah Muhammad ialah diri jasad manusia kerana huruf (محمد) maka (م) itu kepala, (ح) itu bahu, (م) itu pusat dan (د) itu kaki.

Rajah 2 tertulis/terlukis huruf besar (ادم) diertikan (ا) (Allah) (د) (dalam) (م) (Muhammad). Adam = Allah dalam Muhammad. Ertinya Allah ada dalam diri Muhammad. Muhammad itu ertinya manusia, maka ini bererti Allah ada dalam diri manusia.

Rajah 3 tertulis/terlukis (الله+محمد) bertindih. Diri diertikan dengan diri Rohani + Jasmani manusia. (ا) (Ahadiah), (ل) (Wahdah), (ل) (Wahidiah), (هم) (Alam roh), (ح) (Alam mithal), (م) (Alam ajsam) dan (د) (Alam insan).

Maka penyampaian Wahdat al-Wujud Martabat Tujuh yang disampaikan dengan cara Batiniyah amat jelas dalam tiga rajah tersebut itu.

Rajah 4 (halaman 10) menunjukkan Ahadiah terletak di bawah Allah, qasad, sembahyang; Wahdah terletak di bawah Muhammad, ta'arrudh, fardu; alam roh terletak di bawah Adam, ta'ayyun, zohor di bawah kalimah 4131 (empat huruf) terletak empat martabat iaitu alam roh, alam mithal, alam ajsam dan alam insan. Sila baca di sebelahnya (halaman 11, bertulisan jawi) tentang huraian syarat takbirat akhram yang amat jelas menjurus ke arah tafsiran Wahdat al-Wujud. Martabat Tujuh Wahdat al-Wujud amat jelas disampaikan dengan cara Batiniyah yang terdapat dalam huruf takbirat al-Ihram (الله اكبر). Rajah 4 ini disalin dari buku, menurut penemuan pengkaji, ilmu Haji Ahmad Matahari pengasas ajaran Agama Taslim di Pulau Pinang.

Rajah 5 Martabat Tujuh berisi dalam badan manusia. Antara lain di bahagian kepala berbunyi: Ujudullah itu hakikat zat yang bernama Ahadiah. Manakala bahagian badan pula tertulis, antara lain, seperti berikut:

  1. Dalam Kharij zat Allah yang berhimpun dalam Bismillah itulah hakikat - AHADIAH...
  2. Martabat Kharij Sifat Allah berhimpun dalam al-Rahman Hakikat Muhammad Hakikat Roh dinamakan Wahdah.
  3. Di luar Kharij Af'al Allah berhimpun dalam al-Rahim inilah hakikat Adam dan hakikat Insan dinamakan Wahidiah meliputi Alam Roh... Alam Mithal... Alam Insan... Alam Ajsam.

Tanzil dinamakan Hu Tujuh Mertabat

  • Alam Lahut
  • Alam Jabarut
  • Alam Malakut
  • Alam Roh
  • Alam Misal
  • Alam Insan
  • Alam Ajsam

Rajah ini amat jelas menunjukkan bahawa dalam diri manusia itu berisi dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) yang diertikan dan ditafsirkan dengan Wahdat al-Wujud - Martabat Tujuh - Batiniyah.

Selain daripada lima rajah ini ada ratusan lagi dalam tangan penulis yang kebanyakannya bertulisan tangan. Demikian adanya ajaran Martabat Tujuh dalam zaman kebelakangan ini yang disampaikan dengan cara Batiniyah yang memang amat terkanal bahawa gerakan (Batiniyah) ini anti-Islam.

 

Kesimpulan

Tahu dan sedar yang kita ini datang daripada Martabat Tujuh, maka semuanya kembali kepada Allah belaka. Segala perbuatan ialah perbuatan Allah, tiada bagi hamba sekali-kali. Segala nama dan segala sifat adalah Nama dan Sifat Allah belaka. Ada kita dan semua makhluk hanyalah aspek zahir wujud Allah (nampak pada zahir kita ada bukan hakikat yang sebenar), hakikat yang sebenar ada ialah ada Allah jua. Nabi Muhammad dijadikan daripada Nur Dzat Allah dan kita semua (seluruh makhluk) jadi daripada Nur Muhammad.

Dari sini sampailah kita kepada penemuan bahawa Martabat Tujuh ini tidak lain daripada pengaruh Wahdat al-Wujud ibn-'Arabi seperti tersebut di atas. laitu beliau ada mengatakan bahawa segala nama dan segala sifat dari satu sudut adalah Dzat Allah itu sendiri, dan dari satu sudut lagi ialah aspek luaran alam semesta ini. Kerana, menurut beliau, alam semesta luaran tidak lain daripada aspek lahiriah tajalli Dzat Yang Maha Esa dalam bentuk yang tidak berkesudahan atau berhingga. Katanya, "Apa yang kami sifatkan-Nya (الحق) tidak lain daripada kita sendiri (alam semesta yang hadith ini) ialah sifat itu."

Kita semua jadi daripada Nur Muhammad

Nur Muhammad jadi daripada Nur Dzat Allah,

= Kita semua jadi daripada Nur Dzat Allah, = kita Allah.

Kata Hamzah Fansuri:

Katakan ana al-Haqq jangan takut

Itulah ombak menjadi laut.

 


 

Isikandungan Buku: