000012-SJ-THAHARAH: Najis Atau Tidak: Tulang, bulu dan Lemak

Primary tabs

1 post / 0 new
000012-SJ-THAHARAH: Najis Atau Tidak: Tulang, bulu dan Lemak

Quote:
Assalamualaikum,
Saya ingin mendapat penjelasan beberapa kekeliruan:
1- Apakah benar tulang binatang yang disembelih tidak boleh dibawa dalam sembahyang. seperti tulang unta yang dibuat
tasbih.
2- Bagaimana pula bulu/kulit binatang yang disamak.
3- bagaimana pula gelitin binatang halal yang diproses utk dibuat gambar sebagai contoh. apakah benar ia tidak boleh dibawa
dalam sembahyang.

Jawapan

Alhamdulillah, inilah jawapannya:
(1)

Binatang yang halal dagingnya
Menurut pendapat seluruh ulamak: Binatang yang halal dimakan dagingnya akan menjadi suci seluruh bahagiannya dengan
sembelihan kecuali darahnya yang mengalir.

Ini bermakna, binatang yang boleh dimakan dagingnya seperti lembu, kambing dan sebagainya, jika selepas disembelih mengikut
syarak, segala bahagian dari tubuh badannya adalah suci. Bulunya, kulitnya, dagingnya, lemaknya, tulangnya, tanduknya, giginya
dan sebagainya adalah suci.

Perincian ringkas mengenai pendapat mazhab adalah sebagai berikut:

Syafi'i
. Semua binatang (yang hidup) adalah suci kecuali anjing dan babi.
. Susu binatang yang halal dimakan
. Telur binatang sekalipun dari binatang yang haram dimakan dagingnya. dan dari yang telah mati.
. Bangkai binatang laut adalah suci, kecuali buaya, katak dan ular (binatang dua alam).
. Bulu binatang yang halal dimakan adalah suci samada ia dicabut semasa hidup atau selepas disembelih. Tetapi, yang dicabut
selepas mati (tidak disembelih) adalah najis.
. Bulu yang tercabut/tanggal dari binatang yang tidak halal adalah najis.
. Dimaafkan sedikit bulu yang najis selain dari bulu anjing dan babi.

Hanafi
. Semua bahagian dari anggota binatang yang di dalamnya tidak ada aliran darah melainkan babi adalah suci. Samada yang
masih hidup atau yang telah menjadi bangkai. Samada yang halal dimakan atau yang haram. Anggota yang tidak ada aliran
darah ialah seperti tulang, paruh, kuku, bulu dan sebagainya.

Maliki
. Semua benda yang hidup adalah suci .
. Binatang yang halal dimakan yang mati sebab sembelihan adalah suci (semua bahagian badannya).
. Binatang yang tidak halal, menjadi najis selepas mati.
. Rambut dan bulu adalah suci sekalipun daripada babi.
. Lebihan binatang yang halal dimakan adalah suci, seperti tahi merpati, ayam selagi ia tidak menggunakan benda najis sebagai
bahan makanannya.

Hanbali
. Bangkai binatang darat adalah najis kecuali yang tidak mengalir darahnya seperti belalang.
. Bangkai binatang laut adalah suci.
. Air kencing binatang yg halal dimakan adalah suci.
. Bulu dan seumpamanya daripada semua binatang yang halal dimakan adalah suci.

(2)
Pertanyaan saudara/ri:
Apakah benar tulang binatang yang disembelih tidak boleh dibawa dalam sembahyang. seperti tulang unta yang dibuat tasbih.

Berdasarkan pada kenyataan di atas (1), tulang binatang yang halal dimakan yang mati sebab sembelihan adalah suci. Ini
pendapat seluruh ulamak. Apabila ia suci maka bolehlah dibawa dalam sembahyang.

Pertanyaan kedua,
Bagaimana pula bulu/kulit binatang yang disamak?

Semua kulit binatang yang disamak adalah suci, kecuali daripada babi dan anjing atau peranakkan keduanya. Tidak kira
samada binatang itu halal dimakan atau tidak.

Baiklah, satu masalah telah selesai, iaitu mengenai kulit yang disamak. Ia suci, dan boleh dibawa dalam sembahyang.

Bulunya pula... Menurut Syafi'i, kalau ia dari binatang yang halal dan mati secara sembelihan, maka ia adalah suci. Kalau dari
binatang yang tidak halal, atau dari yang jenis binatang halal dimakan tetapi mati tidak dengan sembelihan, maka bulunya adalah
najis.

Kalau suci, boleh dibawa dalam sembahyang, manakala kalau najis tidak boleh.

Menurut Hanafi pula, bulu binatang kecuali babi adalah suci, tidak kira ia dari jenis binatang halal atau tidak. Bulu dari binatang
yang masih hidup atau yang telah mati.

Saya kira soalan kedua juga sudah terjawab.

Pertanyaan ketiga, bagaimana pula gelitin binatang halal yang diproses utk dibuat gambar sebagai contoh. apakah benar ia tidak boleh dibawa dalam sembahyang.

Gelatin yang diperolehi dari binatang yang halal, jika disembelih secara syarak adalah suci.

Kami berharap jawapan ini dapat difahami dengan baik serta memperolehi beberapa maklumat baru yang berguna. Dan lawati
lagi aL-AHKAM online.

Wallahua'lam...

Rujukan
1. Fathul Wahab, vol 1, Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari
2. Kifayatul Akhyar, vol 1, Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhamad al-Husaini
3. Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, vol 1, Dr Wahbah al-Zuhaili