Ahlus Sunnah Wal Jamaah vs Wahdatul Wujud

Primary tabs

Oleh zain-ys

Petikan dari buku Ahli Sunnah dan Wujudiah-Batiniah (Mengenai Ajaran salah) susunan Dr Abd Fatah Haron Ibrahim, terbitan JAKIM:

Wahdat al-Wujud daripada Upanishad

Sejarah menunjukkan bahawa Wahdat al-Wujud mula lahir di India. Ini boleh dibuktikan dengan apa yang terkandung dalam Upanishad yang tertulis di antara 9 hingga 6 abad sebelum Masehi. Maka teori Wahdat al-Wujud berasal daripada Hindu. Daripada India ia menular ke Greek dan merebak ke Iskandariah, digelar aliran Neoplatonism dalam abad 3 Masihi, kemudian daripada sini menyusup masuk ke dalam tasawuf dipelopori oleh al-Hallaj (dan kemuncaknya ialah ibn `Arabi). Berikut ialah beberapa petikan daripada Upanishad:

"Sesungguhnya pada permulaan dunia ini ialah Brahma, Maha Tunggal - tanpa batas ke timur, tanpa batas ke selatan, tanpa batas ke barat, tanpa batas ke mana arah sekalipun. Memanglah bahawa baginya timur dan arah-arah lain tiada berwujud, melentang pun tidak, di bawah pun tidak, di atas pun tidak."


Lagi petikan:

Dari manakah ibn `Arabi ambil teori falsafah tasawuf Wahdat al-Wujudnya?

Bila disebut Wahdat al-Wujud dalam tasawuf terbayanglah ibn `Arabi. Tetapi perkara ini bukanlah baharu ia telah ada dalam Upanishad seperti contoh petikan yang tersebut di atas. Sumber falsafah Wahdat al-Wujud ibn `Arabi datang daripada tiga sumber:

1. Teori emanasi (al-Faidh/الفيض) Neoplatonism yang mengatakan akal pertama terbit dari Tuhan.

2. Daripada teori Jawhar - `Aradd Asy'ariah, dan

3. Daripada hulul Lahut ke dalam nasut (Tuhan ke dalam manusia) bagi al-Hallaj. Nasut itu adalah manifestasi lahiriah bagi Lahut.

 

Ibn `Arabi uli dan bancuh semua tiga ramuan ini menjadi sebati maka terciptalah konsep Wahdat al-Wujudnya yang tersendiri.

Dari sumber lain mengatakan bahawa ibn `Arabi terpengaruh dengan Syi'ah. Kebiasaannya syeikh-syeikh tasawuf atau tareqat tasawuf berakhir dengan ibn `Arabi. Syeikh-syeikh tasawuf sentiasa ada hubungan dengan Qutub (paksi) zamannya, sebagaimana Syi'ah dalam setiap zaman mengenai perkara rohaniat ada hubungan batin dengan imam. Idea imam sebagai Qutub alam dengan konsep Qutub dalam tasawuf hampir merupakan perkara yang sama.

Kerana Qutub dan Imam mempunyai erti yang sama dan orang yang sama. Konsep insan kamil (manusia sempurna) ciptaan ibn `Arabi pula ada persamaan dengan konsep Qutb dan Imam, begitu juga (imam) Mahdi seperti yang dihebohkan oleh syeikh-syeikh tasawuf kebelakangan, semuanya itu kembali kepada al-Haqiqah al-Muhammadiah (Haqiqat Muhammad) dalam `Akidah Syi'ah dan tasawuf. Pada keseluruhannya, ibn `Arabi dengan konsep al-Haqiqat al-Muhammadiah, Wahdat al-Wujud dan Mandi adalah sebenarnya mengambil daripada Syi'ah.

Dua pendapat di atas pada hakikatnya adalah sama walaupun istilah berlainan. Semuanya itu berpunca dari falsafah gnosis yang menyalahi `Akidah Ahli Sunnah Wal Jammah yang bersumberkan al-Qur'an dan sunnah Rasulullah yang sahih.

Wahdat al-Wujud ialah satu daripada aliran falsafah, oleh kerana Ahli Sunnah menolak falsafah, maka tertolaklah falsafah Wahdat al-­Wujud.

Tegak di atas dasar yang berbeza ini maka timbullah berbagai masalah apabila membincangkan tentang hakikat al-wujud iaitu Allah, alam dan manusia.



DOWNLOAD petikan penuh tajuk Pertentangan Antara Ahli Sunnah Dengan Wahdat al-Wujud yang terdapat alam buku ini. Klik di sini untuk DOWNLOAD