Dialog Antara Agama- Dr Maszlee di Durham, U.K.

Primary tabs

Beberapa bulan yang lalu ketika saya masih menjawat jawatan presiden Durham University Islamic Society merangkap wakil Durham Muslim Community, saya telah diminta oleh rakan-rakan untuk memohon ruang solat di salah sebuah tapak di dalam universiti. Seperti  kebiasaannya, pihak universiti bersikap positif. Hanya selepas satu mesyuarat bersama pihak pentadbir sahaja kami telah berjaya mendapatkan apa yang dimohon. Antara yang begitu pro-aktif tampil memberikan ruang untuk tujuan tersebut ialah pihak chapel (gereja kecil) dari kolej-kolej di dalam universiti.

Antara kenangan manis di dalam proses tersebut ialah pertemuan dengan chaplain (paderi) yang bertanggung jawab menawarkan kami gereja beliau untuk tujuan tersebut. Bukan sahaja beliau merasa gembira untuk menerima umat Islam dan penganut-penganut agama lain (kerana permohonan kami ialah untuk multi-faiths prayer room) untuk menggunakan gereja beliau, malah beliau juga merasa bersyukur kerana diberikan peluang untuk berjasa kepada 'komuniti dari agama lain'. Antara kata-kata beliau yang tidak akan saya lupakan ialah: "Nobody comes to the chapel anymore since there are so many churches around Durham, I am glad to have you guys to use this place to make it 'holy'. I would be more than happy to have people chanting and glorifying God's name inside this building..."


Jika hal ini berlaku di dalam universiti, di peringkat komuniti pula lebih banyak yang menarik. Sebagai sebahagian daripada Faiths Community Network yang merupakan salah sebuah agensi milik Durham County Council (ibarat majlis daerah) komuniti Muslim di Durham tidak boleh bersikap eksklusif. Sebarang program yang dianjurkan, apa bantuan yang diperlukan, sebarang masalah yang dihadapi oleh komuniti pelbagai agama dibincang bersama. Walaupun aqidah berbeza, namun kewujudan badan tersebut berusaha sedaya upaya untuk membawa komuniti agama agar tidak menjadikan kepercayaan masing-masing sebagai sebab untuk berbeza, apatah lagi bersengketa dan bermusuhan sesama sendiri.

Bukanlah semua di UK ini indah belaka. Tidak dinafikan ada sahaja kelompok dan kumpulan yang bencikan Islam, malah bencikan semua agama. Namun untuk bersikap stereotaip dan pukul rata adalah tidak adil. Slogan bahawa 'kekufuran adalah agama ang satu' ataupun SEMUA Yahudi dan Kristian memusuhi Islam adalah tidak wajar juga. Realiti tidak menunjukkan sedemikian. Memang ada mereka yang berterusan memusuhi Islam dan berusaha siang dan malam untuk memerangi Islam, namun ini tidak bermakna kesemua yang bukan Islam bersikap sedemikian dan menjadi musuh Islam. Adalah terlalu dangkal dan zalim bagi sesiapa yang mengaku diri mereka Muslim untuk memusuhi penganut agama lain hanya kerana mereka mempercayai Tuhan yang lain, ataupun mempercayai Tuhan yang sama dengan bentuk yang lain, ataupun tidak percayakan Tuhan langsung.

Menjadi golongan minoriti di bumi asing di mana agama rasmi mereka adalah Kristian Anglican ataupun Church of England, Muslim tidaklah berasa terasing untuk beramal dengan agama mereka. Lihatlah taburan penduduk Muslim di serata UK. Lihat juga kebebasan mereka untuk mengamalkan agama, mendapatkan hak dan juga bersuara dan berpolitik tanpa dibatasi oleh kepercayaan 'keTuanan' pihak pribumi ataupun bumiputra. Hanya suara sumbang penyokong British Nationalist Party (BNP) dan mutakhir ini English Defence League (EDL) sahaja yang tetap konsisten dengan sikap sebegitu. Namun mereka ini minoriti, mereka juga dibenci oleh majoriti rkayat UK termasuk di kalangan mereka yang berkulit putih dan beragama Kristian mahupun yang tidak beragama. 

Ya, sebagai agama rasmi di UK, Church of England memang mempunyai lebih banyak keistimewaan. Segala bentuk keraian dan upacara rasmi akan diserikan dengan kerasmian agama tersebut. Gereja-gereja agama tersebut juga lebih dominan di serata UK. Walaupun demikina, ianya tidak menghalang pihak agama tersebut untuk mengiktiraf kewujudan agama lain apatah lagi untuk merendah diri bersama dengan komuniti agama lain di dalam satu jawatankuasa 'agama-agama' di serata UK. Malah sikap paderi yang menawarkan gereja mereka untuk digunakan oleh penuntut Muslim menonjolkan sikap keterbukaan sestengah pihak Church of England, agama rasmi kerajaan British.

Memandangkan apa yang telah saya lalui ini, saya merasa binggung melihat keadaan di Malaysia. Apakah pihak yang merasakan diri mereka itu Melayu dan Muslim itu lebih manusia berbanding manusia-manusia lain. Mengapakah sikap prejudis dan bongkak seperti ini ditempelkan kepada Islam? Lebih malang lagi mereka yang kononnya menjadi jaguh agama dan bangsa itu bukanlah contoh yang baik dari segi akhlak, peribadi, prinsip dan juga integriti berbanding sesetengah pengikut agama lain. Malangnya perang identiti dan juga permanipulasian agama untuk kepentingan golongan elit yang mendominasi wacana politik terus menjadi tema hubungan rentas agama dan budaya di Malaysia. Seperti kebiasaannya sepanjang sejarah manusia, agama akan terus menjadi alat pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengekalkan kekuasaan dan kepentingan peribadi dan kelompok. Apa yang malang ialah orang-orang agama sering menjadi alat pihak berkenaan dengan kenaifan, ke'ikhlas'an dan juga kepentingan material di dalam sesetengah keadaan.

Malang sungguh bagi golongan agama yang telah dibeli dengan pangkat, jawatan dan juga gelaran tokoh perayaan tertentu untuk memberikan palitan kotor kepada agama Islam yang begitu adil dan ihsan terhadap semua manusia. Bagi golongan seperti ini, bukanlah sesuatu yang menyerapi minda mereka untuk mempromosikan Islam sebagai agama 'rahmat'. Bagi mereka apa yang penting ialah kekuasaan 'tuan' mereka dan juga kedudukan insituti yang menjaga periuk nasi mereka tidak akan tergugat. Hal ini mengingatkan kita langunsg kepada kisah Ba;'am bin Ba'ura di dalam al-Quran, surah al-A'raf (7:175-177).

Sumber http://maszleemalik.blogspot.com/