Fatwa; Menunaikan Zakat Menggunakan Perbankan Dalam Talian dan Kad Kredit

Primary tabs

Pembayaran Zakat Melalui Perkhidmatan Maybank2u (Internet)
Fatwa Negeri: Selangor
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(FATWA)Negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa hukum pembayaran zakat melalui perkhidmatan Maybank2U (INTERNET) adalah harus.

Kaedah pembayaran zakat dengan cara ini adalah terhad kerana zakat harta sahaja tidak termasuk zakat fitrah.

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(FATWA) Negeri Selangor juga memutuskan bahawa pihak Maybank yang menjalankan perkhidmatan Maybank2U (INTERNET) tidak dikira sebagai amil zakat.

Keterangan/Hujah:
1. Pengenalan Perkhidmatan Maybank2U
Secara ringkasnya perkhidmatan ini adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pemegang akaun maybank yang mempunyai kemudahan internet. Melalui perkhidmatan ini, para pelanggan hanya perlu melayari laman web Maybank2U untuk melaksanakan pembayaran zakat.

Sebaik saja bayaran system perkhidmatan Maybank2U akan mendebitkan akaun para pelanggan.

2. Pembayaran zakat melalui system Maybank2U dirasakan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu penyertaan niat sewaktu pembayaran sudah semestinya menyertakan niat untuk membayar zakat sewaktu menekan butang komputer yang menunjukkan bahawa ia bersetuju untuk membayar zakat.

3. Ketiadaan lafaz niat tersebut tidaklah memberi apa-apa kesan terhadap sahnya pembayaran tersebut kerana itifaq ulama"menyatakan bahawa niat itu letaknya di hati.

4. Ketiadaan lafaz aqad dari pembayar juga tidak memberi apa-apa kesan terhadap sahnya pembayaran zakat tersebut kerana aqad di dalam pembayaran zakat adalah perkara sunat sahaja.

Walaupun begitu pihak Maybank tetap akan memaparkan aqad tersebut di hadapan skrin komputer dan pembayar bolehlah membaca aqad tersebut dan ia juga diterima sebagai aqad yang sah kerana ada kaedah yang menyebut yang bermaksud tulisan itu dianggap sebagai percakapan di dalam aqad.

5. Perkhidmatan pembayaran zakat menggunakan cara ini diasaskan kepada beberapa qawaiid al-fiqhiah antaranya:
i. Bermaksud: Amal yang mempunyai impak positif yang luas lebih baik daripada amal yang impaknya terbatas.

ii. Bermaksud: Kebijaksanaan pemimpin terhadap rakyat dikaitan dengan kemaslahatan.

Sekiranya diperhatikan kepada kaedah-kaedah Fiqh tersebut di atas menunjukkan betapa pihak pentadbir zakat wajib mencari cara termudah pembayar untuk menunaikan kewajipan berzakat dan cara ini dirasakan dapat menyelesaikan banyak masalah-masalah yang berkaitan dengan masalah zakat yang mana dengan cara ini juga lebih memudahkan pembayar zakat untuk membayar zakat.

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan



Memohon Fatwa Mengenai Cadangan Pembayaran Zakat Melalui Terminal Onepay Yang Dikendalikan oleh Mobilityone Sdn. Bhd.

Fatwa Negeri: Melaka
Tarikh Keputusan: 24 Feb, 2010
Keputusan:
Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :
a) Harus membayar zakat harta dengan menggunakan kad ATM (Bankcard) di terminal Onepay yang dikendalikan oleh Syarikat Mobolityone Sdn. Bhd. sebagai kemudahan kepada umat Islam untuk melunaskan kewajipan tersebut. Namun demikian, keharusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

i. Keseluruhan kos yang terlibat dalam urusan tersebut hendaklah ditanggung oleh Pusat Zakat Melaka atau pihak syarikat yang mengendalikannya dan bukan ditanggung oleh pembayar zakat.

ii. Penggunaan kaedah tersebut hanya merupakan suatu pilihan kepada pembayar zakat.

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan



Nota: Penjelasan lanjut sila ke laman web maybak2u.com..


Pembayaran Zakat Melalui Kad Kredit/Kad Bank Islam

Fatwa Negeri:
Selangor
Tarikh Keputusan: 19 Feb, 2002
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(FATWA) Negeri Selangor yang diadakan pada 19 Februari 2002 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa harus/boleh membayar zakat melalui kad kredit/kad Bank Islam dengan syarat disertai niat yang ikhlas.

a) Bagi pembayaran zakat melalui kad kredit, pembayar hendaklah berniat mewakilkan pihak bank sebagai wakilnya bagi membayar zakatnya secara tunai kepada amil. Lafaz niatnya iaitu 'ini zakat wajib  keatas diriku pada tahun ini berjumlah...

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan



Hukum Pembayaran Zakat Melalui Kad Kredit/Kad Bank Islam

Fatwa Negeri:
Melaka
Tarikh Keputusan: 2 Mar, 2006
Keputusan:
Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara memutuskan bahawa:
Harus membayar zakat dengan menggunakan kad kredit/kad Bank Islam sebagai kemudahan kepada umat Islam di Negeri Melaka untuk melunaskan kewajipan tersebut. Namun demikian, keharusan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
a) Keseluruhan kos yang terlibat dalam urusan tersebut termasuk pembangunan sistem, penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, caj transaksi dan sebagainya hendaklah ditanggung oleh Pusat Zakat Melaka dan bukan pihak pembayar zakat.

b) Kaedah pembayaran tersebut hanya sebagai suatu pilihan atau alternatif kepada pembayar zakat yang berminat dan bukan suatu kemestian.

Status Penwartaan: Tidak Diwartakan