[Fokus] Memahami Hukuman Bagi Kesalahan Meminum Arak - Mazhab al-Syafi'i

Primary tabs

Oleh zain-ys

Heboh sebelum ini dan baru-baru ini tentang kesalahan yang meminum arak dan hukuman yang dikenakan. Yang paling menggemparkan ialah isu Kartika Sari Dewi Sukharnor. Ia menjadi isu panas dan menjadi tumpuan media. Hingga akhirnya Sultan Pahang meringankan hukumannya dari hukuman sebatan kepada hukuman kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kita tidak berhajat untuk mengulas atau bercerita tentang isu berkenaan. Apa yang kita cuba ketengahkan di sini ialah mahu berkongsi pengetahuan tentang apa hukuman yang dikenakan terhadap pesalah yang disabitkan kerana meminum arak menurut Feqh Islam. Tujuannya ialah untuk memberi kefahaman kepada kita semua tentang perkara berkenaan.

Kalau saya rajin, saya akan bawakan beberapa siri atas tajuk Had Kesalahan Peminum Arak.

Untuk kali ini saya akan bawa pandangan mazhab al-Syafi'i mengenai hal ini. Saya buat petikan dari al-Feqh al-Manhaji. Semoga bermanfaat untuk semua!



Berikut ini adalah petikan Al-Feqh al-Manhaju Mazhab al-Syafie, Jilid 6, hal. 103 – 105, terbitan Darul Syakir.

HUKUMAN MINUM ARAK

Tajuk ini telah dibincangkan secara panjang lebar dalam juzuk ke-3 siri ini iaitu dalam perbincangan tentang minuman yang diharamkan.


Kita akan bincangkan tajuk ini secara ringkas di sini sebagai sebahagian daripada kes hudud.

 

Orang yang minum arak atau minuman yang memabukkan walau apa sekalipun bahan asal atau namanya, akan dikenakan hukuman hudud. Tanpa mengira sama ada sedikit mahupun banyak. Nabi SAW pernah ditanya tentang tuak yang diperbuat daripada madu (al-Bit'u) dan juga yang diperbuat daripada barli dan jagung (al-Mizr), lalu Baginda bertanya:

Maksudnya: "Adakah ia memabukkan? Sahabat berkata: "Ya". Baginda bersabda: Semua yang memabukkan haram". Allah Azza wa Jalla telah menjanjikan bahawa sesiapa sahaja yang minum minuman yang memabukkkan diberikan minum lumpur busuk. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, apakah lumpur busuk?" Baginda menjawab: Peluh penghuni neraka atau perahan air (nanah dan darah daripada penghuni neraka)". Riwayat Muslim (2001 & 2002)

 

Hukuman bagi kesalahan minum arak ialah 40 kali sebatan. Namun hukuman ini boleh mencecah sehingga 80 kali sebatan sebagai hukuman ta'zir, bukan hudud.

Daripada Anas bin Malik RA:

Maksudnya: "Nabi SAW pernah memukul pesalah minum arak dengan kasut dan pelepah sebanyak 40 kali". Riwayat Muslim (1706)

Pelepah di sini ialah pelepah pokok kurma yang diasingkan daripada daunnya.

Namun sekiranya perlu, pemerintah boleh menambah 40 sebatan lagi kepada hukuman ini sebagai hukuman ta'zir. Terutama apabila kesalahan minum arak ini berleluasa. Tindakan ini sebagai suatu langkah pencegahan.

 

Dalil yang menunjukkan hukuman tambahan ini sebagai ta'zir bukan hudud ialah hadith:

Maksudnya: "Uthman RA pernah memerintahkan agar al-Walid bin 'Uqbah bin Abu Mu'ait disebat. Beliau disebat oleh Abdullah bin Ja'afar RA dan Ali RA mengira sehingga sampai 40. Uthman berkata: "Berhenti". Kemudian dia berkata pula: "Nabi SAW merotan sebanyak 40 kali, Abu Bakar sebanyak 40 kali dan Umar sebanyak 80 kali, semua ini sunnah tetapi saya lebih suka setakat ini ". Riwayat Muslim (1707)

 

Maksudnya beliau lebih suka sebatan sebanyak 40 kali. Ini kerana, jumlah ini adalah amalan Rasulullah SAW dan lebih bersifat berhati-hati dalam menghukum agar tidak melebihi daripada yang sepatutnya sehingga tidak menzalimi pesalah.

Pembuktian

Hukuman hudud bagi kesalahan minum minuman yang memabukkan dithabitkan berpandukan kepada dua kaedah berikut:

  1. Bukti iaitu keterangan oleh dua orang saksi muslim yang adil.
  2. Pengakuan iaitu pesalah membuat pengakuan telah meminum minuman yang memabukkan. Pengakuan oleh pesalah sudah tentu menjadi hujah yang boleh menggantikan bukti.

 

Dengan ini, hukuman ini tidak boleh disabitkan berdasarkan muntah atau mencium bau mulut kerana ada kemungkinan ia diminum secara atau tersilap. Dalam keadaan ini, hudud digugurkan kerana wujud keraguan.

 

Sedutan dari: Al-Feqh al-Manhaju Mazhab al-Syafie, Jilid 6, hal. 103 – 105, terbitan Darul Syakir.

 


Siri 1: Pandangan Mazhab Syafi'i
Siri 2: Implikasi Isu Kartika Sari
Siri 3: 40 atau 80 Sebatan?
Siri 4: Minoriti Kata Ta'zir
Siri 5: Sebat dengan Apa dan Caranya
Siri 6: Jangan Kata Bid'ah Pada Perkara Yang masih Khilaf