JH-BUKU-003- Riyadhussolihin - Imam al-Nawawi

Primary tabs

Buku ‘Riyadhussolihin’ merupakan antara buku hadith yang popular di seluruh dunia Islam termasuk di negara kita. Apakah isi kandungan buku ini? Siapakah pula penulisnya? Kenapa ia diminati ramai?

PENULISNYA – IMAM AL-NAWAWI

Al-Nawawi atau nama sebenarnya Yahya Ibn Syaraf al-Nawawi adalah merupakan salah seorang ulama hadith terkemuka pada kurun ke 7 Hijrah. Beliau lahir pada tahun 631H dan meninggal pada tahun 676 H.

Al-Nawawi dikenali sebagai salah seorang ulama hadith yang banyak berjasa untuk masyarakat. Buku-bukunya yang terkenal dalam hadith seperti Riyadhussolihin, Hadith 40 @ al-Arba’un al-Nawawiyyah dan sebagainya menjadi bukti kehebatan ilmu beliau dalam hadith.

Beliau juga tidak kurang hebatnya dalam fiqh terutama dalam fiqh aliran mazhab al-Syafie. Beliau dianggap antara ulama yang diguna pakai pendapatnya mengatasi ulama lain dalam mazhab al-Syafie. Buku-buku fiqh beliau masih digunakan hingga ke hari ini seperti al-Majmu’, Raudhat al-Tolibin dan lain-lain lagi.

 

BUKU RIYADHUSSOLIHIN @ RIYADH AL-SOLIHIN

Buku Riyadhussolihin atau maknanya ‘taman orang-orang solih’ merupakan antara karya yang begitu bermakna bagi al-Nawawi dan begitu popular dalam umat Islam sejak ia mula dikarang dan disusun oleh penulisnya.

Al-Nawawi menyebut dalam pendahuluan buku ini bahawa beliau mengarang buku ini sebagai buku panduan ringkas yang mengumpulkan hadith-hadith untuk masyarakat Islam beramal buat mencari bekalan di akhirat. Di dalamnya ada hadith-hadith yang memberi galakan untuk beramal dan juga amaran daripada melakukan perkara dosa. Ia merupakan bekalan yang amat baik untuk segenap lapisan masyarakat.

Anda boleh mendapatkan buku ini di mana-mana kedai buku dalam bahasanya yang asal (Bahasa Arab) dan ia juga telah pun diterjemahkan sejak sekian lama dalam Bahasa Indonesia, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Buku ini merupakan himpunan hadith-hadith yang dipilih oleh al-Nawawi daripada buku-buku utama hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud dan lain-lain lagi. Hadith-hadith ini kemudiannya disusun dengan baik dalam bab-bab tertentu bagi memudahkan pembaca memahami isi kandungannya. Setiap bab kebiasannya dimulakan dengan ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dan diikuti dengan hadith-hadith yang berkenaan.

Sama-samalah kita menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan ilmu dalam perpustakaan di rumah masing-masing. Bacalah ia dengan berterusan walau dalam kadar yang sedikit. Sedikit sebanyak ia membantu kita untuk lebih mengenal hadith-hadith Rasulullah SAW yang ringkas dan juga sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

 

alitantawi