Kajian Hadith, Pintu Yang Tidak Dapat Ditutup - AT

Primary tabs

Oleh alitantawi

Persepsi golongan agamawan (kebanyakannya yang bergelar ustaz dan ustazah) terhadap bidang kajian hadith adalah berbeza mengikut latar belakang ilmu serta kecenderungan masing-masing. Berdasarkan pengalaman diri dan juga pengalaman orang lain, saya dapat merumuskan bahawa di antara bentuk perbezaan pendapat golongan agamawan terhadap bidang kajian hadith adalah seperti berikut:

a) Ada yang menganggap bahawa ilmu hadith telah selesai dikaji oleh ulama silam dan kita di zaman ini hanya menuai hasil daripada kajian mereka. Ulama silam disifatkan lebih mengetahui dan lebih arif berbanding ulama di zaman kita ini. Bahkan ada di antara golongan ini yang menganggap kajian ulama masa kini terhadap hadith adalah tidak wajar dan menjadi satu kesalahan kerana kita belum sampai ke tahap ulama silam.

b) golongan lain yang menganggap bahawa ilmu hadith boleh dikaji tetapi tidak ada lagi orang yang mampu mengkaji seperti ulama silam. Mereka tidak melarang tetapi mereka seolah-olah berputus asa terhadap wujudnya golongan pengkaji moden.

c) golongan yang menganggap bahawa kajian hadith adalah ilham daripada Allah SWT semata-mata dan ia tidak ada kaitan dengan kajian saintifik atau kajian akademik. Mereka akan menonjolkan ulama hadith sebagai manusia terpilih yang mendapat ilmu daripada Allah SWT dan bukannya daripada jalan pengajian seperti manusia lain.

d) golongan yang menganggap bahawa kajian hadith amat mudah dan sesiapa sahaja boleh mengkaji hadith tanpa perlukan asas yang kukuh. Golongan ini akan gopoh dalam menentukan kedudukan hadith atau maksud hadith dengan sekadar kajian ringkas tanpa merenung kembali kajian para ulama zaman berzaman.

e) Ada pula yang menganggap bahawa kajian hadith berlegar di sekitar kajian maksud hadith tanpa melibatkan kajian kesahihan hadith. Bagi mereka, ilmu hadith hanyalah berkaitan pembacaan dan pengajian maksud hadith. Mereka tidak peduli sama ada hadith yang digunakan itu sahih atau tidak bahkan mereka menganggap bahawa semua hadith yang telah ditulis di dalam kitab-kitab adalah sahih semuanya.

Sedangkan pada hakikatnya…

Ilmu hadith adalah hasil kajian para ulama zaman berzaman dengan berpandukan kaedah-kaedah ilmiah. Ia bukannya sangkaan atau ilham apatah lagi mimpi. Kajian para ulama hadith sejak dahulu hingga kini merupakan ijtihad ke arah mencari natijah paling tepat. Pintu ijtihad ini tidak akan dapat ditutup sehingga hari kiamat. Setiap zaman pasti akan menyaksikan munculnya pencinta dan pengkaji hadith yang akan menyumbang ke arah mengayakan khazanah kajian. Kalaulah (sekadar contoh) kita menyatakan bahawa kajian hadith hanya dikuasai oleh Imam al-Bukhari dan rakan-rakan pada sekitar tahun 200-300 Hijrah, maka bagaimana pula dengan kemunculan ulama hadith terkemuka selepas mereka seperti Ibn Abi Hatim (327H), Ibn Hibban (354H), al-Daraquthni (385H), al-Hakim (450H), al-Khathib al-Baghdadi (463H), Ibn al-Jauzi (597H), Ibn al-Solah (643H), al-Nawawi (676H), al-Mizzi (742H), al-Zahabi (748H), al-Iraqi (806H), Ibn Hajar al-Asqalani (852H), Ali al-Qori (1014), al-Syaukani (1250H) sehinggalah zaman moden ini yang menyaksikan kemunculan nama-nama seperti Ahmad Syakir (1958M), Ahmad Ibn Siddiq al-Ghumari (1960M), Abd. Fattah Abu Ghuddah (1996M), Muhammad Nasiruddin al-Albani (1999M), Abd. Qadir al-Arnaouth (2004M) dan ramai lagi yang menurut jejak langkah para pengkaji silam. Setiap zaman menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh hadith yang sentiasa menyajikan kita dengan penemuan-penemuan baru dan kajian-kajian ilmiah yang tidak pernah kita temui sebelum itu. Nama-nama yang saya sebutkan di atas hanyalah segelintir nama yang popular dan disanjung pada zaman masing-masing. Apakah kita ingin menyatakan bahawa nama-nama itu tidak patut terlibat dalam kajian hadith hanya semata-mata kerana mereka tidak hidup sezaman dengan al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan lain-lain yang sezaman dengan mereka? Sudah tentu pernyataan ini langsung tidak dapat diterima oleh mereka yang mempunyai akal yang waras atau memiliki sedikit ilmu berkaitan Islam!

Sikap yang sepatutnya kita ambil ialah…

Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri di dalam bidang kajian hadith. Peluang ini terbuka kepada sesiapa sahaja asalkan mempunyai sifat ikhlas dan mendalami asas-asas yang diperlukan dalam kajian. Sekiranya anda tidak mampu untuk turut serta mengkaji, janganlah menjadi batu penghalang atau bersikap ingin melemahkan semangat orang-orang yang ingin menjadi pengkaji hadith. Bantulah, tegurlah sebarang kesilapan dan berikanlah nasihat-nasihat berguna agar para pengkaji hadith tidak terpesong daripada landasan yang benar dan tidak lari daripada kaedah-kaedah Mustolah al-Hadith. If you can’t be among them, support them! (betul ke grammar ni?)