Kenapa perlu membela Dr.Yusuf al-Qaradhawi?

Primary tabs

Tulisan ini sebagai muqaddimah...nantikan penulisan akan datang insya Allah...

Kenapa perlu membela Dr.Yusuf al-Qaradhawi?

Secara asasnya, para ahli ilmu berhak utk berbeza pendapat, berhak utk berbincang tentang isu-isu tertentu berdasarkan pengetahuan dan kajian serta adab. Itu diterima oleh semua. Maka di sini kita membaca sejak dulu lagi (malah sejak belum dilahirkan lagi dah ada) tentang Dr.Yusuf al-Qaradhawi yg sering tersepit antara dua kelompok - Golongan yg memuji dan membela beliau, serta satu lagi ialah - golongan yang menolak pandangan malah menolak kedudukan beliau sebagai ahli ilmu. Masing-masing dengan hujah dan cara tersendiri, lalu dibentangkan utk dianalisis oleh masyarakat dan ahli ilmu amnya. Itu fakta yg berlaku sama ada anda tahu atau tidak.

Cumanya di sini saya terpanggil utk mencoret dgn ringkas, mengapa perlu membela Dr.Yusuf al-Qaradhawi? Tidakkah beliau hanya seorang manusia biasa seperti orang lain? Kenapa perlu bersungguh-sungguh utk membela dan menyokong beliau? Maka di sini saya mengambil kesempatan utk menjawab persoalan ini  utk mengajak kita berfikir.

mengapa perlu membela Dr. Al-Qaradhawi?

1- Kerana saya melihat ramai ilmuan dunia Islam yang memuji dan mengiktiraf ilmu dan sumbangan beliau. Kalaulah saya langsung tak temui pujian dan pengiktirafan ini, adakah saya akan cuba membela?

2- Saya (dan saya pasti yg lain juga) telah sekian lama membaca buku-buku Dr.Al-Qaradhawi dan mendapati beliau memang merupakan tokoh ilmu yg memberi pandangannya berdasarkan ilmu dan bukanlah semata-mata pandangan tidak berasas. Konsistensi beliau dapat dilihat bagi yg membaca pelbagai bukunya (bukan hanya satu dua buku) yang ditulis sejak dahulu hingga kini serta mengikuti pula perkembangan pandangan beliau dalam www.qaradawi.net

3- Apabila saya membaca hujah-hujah yang digunakan utk menyalahkan Dr.Al-Qaradhawi, saya dapati - bukan hanya pandangan beliau yang ditolak, tapi peribadi beliau juga direndahkan dan dihina malah ada yg menyifatkannya sesat serta terkeluar dari Ahlussunnah wal Jama'ah. Sudah pasti kritikan keras sebegini akan mewujudkan golongan yg akan mengkaji dan menilai semula dakwaan-dakwaan itu utk membela beliau.

4- Beliau merupakan antara ilmuan dunia Islam yg lantang menentang kezaliman dan teguh mempertahankan umat Islam apabila ditindas contohnya isu-isu berkaitan negara Islam yg dijajah dan diganggu. Keberanian beliau dalam memberikan sokongan dan pembelaan amat dikagumi lantas menyebabkan beliau sudah pasti akan dibela jika dikritik keterlaluan.

5- Sebahagian dakwaan yang dikemukakan sebagai 'kesilapan Dr.Yusuf al-Qaradhawi' ada yang sukar dipercayai atau lebih kepada 'dibesar-besarkan'. Contohnya dakwaan beliau menyeru ke arah menyatupadukan atau menyamaratakan semua agama. Sungguh amat pelik dan mustahil beliau bertujuan begitu.

6- Ada maklumat yang lebih kepada perbezaan pendapat dan memiliki hujah, tapi disebabkan pendapat itu tidak sesuai dengan pendapat dirinya, lalu Dr.Al-Qaradhawi disifatkan sebagai 'salah'. Mungkin sahaja keduanya benar atau salah satunya lebih baik dari yang lain. Adakah perbezaan pandangan sebegini menjadi lesen utk kita merendahkan beliau atau mana-mana ulama?

7- Sebahagian buku yang ditulis oleh beliau ada yang ditulis ringkas, ada yang panjang. Ada buku beliau yang ditulis di usia muda, ada yg ditulis di waktu beliau telah berusia...dan pelbagai lagi bentuk penulisan dan pandangan beliau di dalam radio atau tv. Kesemuanya ini perlu dianalisis, kemudian barulah kita boleh isytiharkan 'pegangan Al-Qaradhawi ialah...'.

8- Tidak ada manusia yang maksum dan terpelihara dari kesalahan. Namun terkadang apabila membaca 'kebencian' terhadap Dr. Al-Qaradhawi, saya merasa hairan mengapa manusia semuanya boleh melakukan kesilapan, tapi orang tertentu sahaja yg kita hentam dan kritik dengan pedas.

Di atas adalah sebahagian daripada muqaddimah utk saya cuba menulis bagi membela Dr.Yusuf Al-Qaradhawi. Itu sebagai jawapan utk persoalan 'mengapa perlu bersusah payah membela beliau?'. Nantikan tulisan seterusnya untuk membincangkan satu persatu dakwaan dan kritikan terhadap beliau.

wallahu a'lam

adlan abd aziz
pemudaiman.blogspot.com