Kerana Tiada Muslim Disekelilingnya, Aysha Belajar Sembahyang Melalui Internet

Primary tabs

1. Bersyukur Dapat Belajar Islam
Bagi Aysha, Islam bukanlah sesuatu yang asing. Wanita yang berasal dari Hungary Utara ini, biasa mendengar perkataan Islam itu sejak di bangku sekolah  menengah rendah lagi. Apa tidaknya, negara tempat tinggalnya merupakan salah satu bekas 'jajahan' Turki selama 150 tahun.

Pengetahuannya tentang Islam banyak diperolehinya melalui subjek sejarah. Islam cukup memberi kesan di dalam benaknya. Lulus sekolah menengah atas, dia mengambil jurusan biologi molekuler.

Di kampus pengajiannya, dia berkenalan dengan ramai mahasiswa Islam. Dia banyak bergaul dengan mereka, sehingga menjadikannya semakin lama semakin ingin tahu tentang Islam. "Saya hairan bagaimana mereka sangat berbangga menjadi seorang muslim," ujarnya.

Sebelum memeluk Islam, Aysha merupakan seorang penganut Kristian Katolik. Walaupun dia mengaku dia seorang yang taat kepada agamanya, namun ada bahagian tertentu yang tidak dapat diterima oleh jiwa sanubarinya. Dia tidak yakin bagaimana Tuhan boleh memiliki seorang anak lelaki sebagaimana konsep triniti yang dianutinya.

Masalah keraguannya tentang agama, dia menceritakannya kepada seorang kawannya yang muslim. Suatu hari, dia dan kawannya makan bersama. Dia mulai terpesona dengan Islam sejak pertama kali mendengar laungan azan.

Selanjutnya, perjalannya menuju cahaya Islam seperti sesuatu yang mengalir begitu sahaja. Dia juga tidak tahu atas alasan apa, tiba-tiba suatu hari di musim panas, dia memuat turun program al-Quran.

"Saya mendengarkan al-Quran dalam bahasa Arab dan membaca terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Lalu, saya banyak berfikir tentang Islam dan membaca pelbagai buku tentang agama ini", katanya.

Hanya selang dua bulan sejak saat itu, Aysha memutuskan untuk memeluk Islam. Dia mengucapkan dua kalimah syahadah dengan disaksikan dua orang sahabatnya.

2. Keimanan yang Diuji
Perjalannya Aysha untuk memeluk Islam dapat dianggap sebagai mudah. Namun, setelah memeluk Islam dia berhadapan dengan banyak rintangan untuk mendalami agama barunya itu.

Dia memilih agama yang bertentangan dengan keluarga, teman, budaya, bahkan ibunya sendiri. Dia tidak memliki walau seorangpun untuk membantunya memahami Islam. Tidak ramai yang mendokongnya. Salah seorang sahabatnya, bahkan dengan sengaja menjatuhkan mentalnya.

"Dia mengatakan, saya tidak akan pernah memahami Islam, kerana saya tidak dilahirkan sebagai muslim. Ketika saya katakan kepadanya, bahawa saya mahu mula berpuasa Ramadhan, sahabat saya ini bahkan mengatakan puasa bukan hanya sekadar menahan lapar sahaja," tutur Aysha.

Sejak memeluk Islam (2007-2008), hubungan dengan ibunya mula berubah menjadi tidak baik. Ibunya mengatakan, selepas memeluk Islam, puterinya itu sudah pasti akan menjadi teroris. "Ibu mengatakan, dia akan meninggalkan saya sebagaimana saya meninggalkan agama saya yang dulu," kata Aysha.

Ketika mereka masih tinggal serumah, ibunya secara sengaja meletakkan daging babi di dalam peti sejuk. Namun, Aysha menolak untuk memakannya, sehingga berlaku pertengkaran hebat. Ibunya juga tak tahan bila melihat anak perempuannya mengerjakan sembahyang dan memakai telekong.

Atas alasan itulah mengapa Aysha perlu mengerjakan sembahyang di atas loteng dengan ruang yang sempit. "Ibu selalu mengatakan bahawa beliau melahirkan seorang anak yang Kristian bukan seorang yang Muslim," ungkap Aysha.

Selepas menjadi mualaf, pelbagai masalah serius yang menimpa Aysha. Namun dia tetap tabah dan sabar mengharungi dugaan ini. "Tapi, alhamdulillah, kini ibu nampaknya telah menerima saya sebagai Muslim. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah. Sekarang saya bebas keluar dengan berjilbab, dan beliau tidak memberi apa-apa komenpun," tutur Aysha.

Hubungan dengan ayahnya jauh lebih buruk lagi jika dibandingkan dengan hubungan dengan ibunya. Sebelum ini, ayahnya tidak mahu samasekali bertemu dan bercakap dengan Aysha. Namun, setelah dia membuka diri, ayahnya mula menerima anak puterinya semula. "Kami sekarang saling berziarah secara rutin," kata Aysha.

3. Mualaf Hungary Belajar Sembahyang melalui Internet
Sembahyang pertama yang dilaksanakan oleh Aysha penuh dengan perjuangan. Dia tidak berada dalam lingkungan masyarakat Islam, oleh itu dia tidak mampu untuk meminta bantuan dari sesiapapun untuk mengajarnya bagaimana cara bersembahyang.

Akhirnya dia belajar sembahyang melalui internet kerana tiada sesiapa yang boleh mengajarnya. Menerusi internet, Aysha belajar bagaimana cara berwudhuk, juga doa-doa yang perlu dibaca ketika sembahyang.

Pada mulanya, Aysha merasa bimbang  jika tidak dapat untuk mengucapkan bacaan-bacaan sembahyang dalam Bahasa Arab. Dia juga memiliki sejadah dan jilbab. Banyak rasa khuatir yang dirasakannya setelah memeluk Islam.

Kali pertama sembahyang, dia menulis bacaan dan gerakan sembahyang di atas kertas. Kemudian, dia memegangnya dengan tangan kanan, membacanya, kemudian bersujud, membaca lagi dan seterusnya. "Saya yakin itu kelihatan sangat melucukan. Tapi setelah itu, saya berjaya menghafaz doa-doa sembahyang dalam Bahasa Arab," kenangnya.

Lama-kelamaan, Aysha dapat berkawan dengan rakan-rakan barunya melalui jejaring sosial facebook. Dari 'saudara online' inilah Aysha menemukan banyak cinta dan keberanian ketika bertemu dengan saudara seiman.

Selepas itu, melalui laman sosial ini, seorang pemuda Muslim menghadiahkannya sejadah, jilbab, serta buku-buku yang mengandungi bimbingan dan doa. Aysha juga mendapat al-Quran pertamanya dari Jordan. "Saya tidak dapat membeli al-Quran di sini. Sekarang, sudah lebih dari dua tahun saya memakai jilbab," katanya.

Bagi Aysha, hidup adalah sebuah ujian besar. Namun, dia bersyukur atas ujian yang menimpanya. Dengan begitu dia memiliki kesabaran dan harapan. "Pada hari kiamat, saya akan cukup bersyukur kerana telah mencuba untuk menjadi lebih baik dengan memahami agama saya," ujarnya.

Dia percaya bahawa semua perkara yang telah ditakdirkan Allah tidak akan boleh berubah. Namun setiap orang boleh memilih apa yang baik bagi hidupnya. Kini, Aysha mencuba untuk membimbing para 'calon mualaf'. "Saya memberi mereka buku-buku mengenai Islam, sajadah dan mushaf al-Quran. Alhamdulillah, kami dapat bersembahyang bersama-sama dan mereka sangat bahagia," ungkapnya.

Dengan melakukan semua itu, Aysha hanya ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa umat Islam memiliki sifat ramah, santun dan baik hati.


Note: Diadaptasi oleh zain-ys dari artikel tiga siri terbitan republika.co.id, iaitu:
  • Mualaf Hungaria (1): Bersyukur Bisa Belajar Islam [LINK]
  • Mualaf Hungaria (2): Keimanan yang Diuji [LINK]
  • Mualaf Hungaria (3-Habis): Belajar Shalat Lewat Internet [LINK]