Populariti Buku Alamat Kiamat Karya Syeikh Osman Jalaluddin Penanti (1)

Primary tabs

Oleh: zain-ys
Kitab Ad-Durratun Nafi'ah Fi Asyrathis Sa'ah adalah antara karya Syeikh Osman Jalaluddin yang cukup popular hingga kehari ini. Beliau adalah pengasas Madrasah Manabi'ul Ulum Penanti atau lebih dikenali dengan Pondok Penanti. Kitab yang ditulisnya ini adalah mengenai tanda-tanda kiamat.

Populariti kitab ini dapat dilihat dengan tersebarnya secara meluas sekalipun ia tidak lagi dicetak. Sudah sekian lama tidak diulang cetak, namun yang beredar hanyalah dalam bentuk fotokopinya. Khabarnya ia cukup tersebar secara meluas di selatan Thai.

Cetakan asalnya kita boleh dapati pada orang-orang tua yang masih hidup atau pada anak cucu mereka. Itupun keadaannya sudah uzur dimamah usia.

Ia mempunyai tiga juzuk. Amat sukar untuk mendapatkan ketiga-tiganya sekali. Usaha waris  dan guru-guru Pondok Penanti untuk menjejaki dan mengumpulkan ketiga-tiga juzuk kitab ini berhasil. Terdapat dua tiga jenis cetakan, yang rata-ratanya adalah dari fotokopi. Kalau yang asli, sudah agak reput.

Untuk menyelamatkan ketiga-tiga juzuk kitab ini, saya bawa pulang dan saya imbas kesemuanya untuk dijadikan dalam format imej. Saya akan pegang salinan asli imej hasil imbasan berkenaan, manakala yang mungkin akan disebarkan adalah dalam bentuk pdf. Saya berjaya mengimbas ketiga-tiga juzuk kitab ini. Alhamdulillah...

Sayangnya, saya mampu mengimbas dari cetakan fotokopinya sahaja. Saya cuba untuk mengimbas cetakan asal, nampaknya tidak tidak berjaya kerana khuatir ia akan jadi hancur. Kertasnya sudah terlalu uzur. Saya akan cuba dapatkan dari mana-mana orang tua atau waris yang mempunyai kitab yang masih dalam keadaan baik.

Di bawah ini nanti, anda dapat melihat gambar yang saya ambil dari versi bercetak.

Artikel akan datang, saya akan cuba menceritakan apa yang terkandung di dalam buku ini.


Kulit kitab Ad-Durratun Nafi'ah Fi Asyrathis Sa'ah juzuk 3. Kitab ini kepunyaan almarhum guru kami, Ustaz Haji Hasyim bin Saad, dan sekarang ini diwarisi anaknya ustaz Hasan.

Cuba lihat gambar di bawah. Tertera penerbitnya adalah Haji Ab. Muttalib. Ada kemungkinan beliau adalah al-marhum Tuan Guru Hj Talib bin Putih, salah seorang murid kanan syeikh Osman, menantu dan menggantikannya sebagai Mudir Pondok Penanti. Selepas Tuan Guru Hj Talib, tugas itu diambil alih oleh al-marhum Tuan Guru Hj Salleh Penanti yang meninggal dunia baru-baru ini.

Dibawah ini pula mukadimah kitab. Syeikh Osman menyatakan, kitab beliau ini menggunakan sumber utama kitab al-Isya'ah Li Asyrathis Saah karya Saiyid Muhamad bin al-Husaini al-Barzanji.

Gambar bawah. Halaman akhir sudah terkoyak, namun versi fotokopi pada gambar berikutnya dapat menyelamatkan apa yang dinyatakan oleh syeikh Osman sebagai penutup penulisannya:


Syeikh Osman menyatakan tarikh dan jam selesai imlak kepada anak muridnya, seperti yang dinyatakan iaitu Hj Yusof bin Hj Saad. Anak muridnya ini adalah tuan guru dan pengasas Pondok Sungai Bakap, P.Pinang (Madrasah Irsyad al-Ashraf al-Wataniah).