Program Maulidurrasul Perlu Sepanjang Tahun

Primary tabs

Oleh Ustaz Adlan Abd Aziz

Alhamdulillah, bersempena bulan Maulidurrasul kita dapati masjid, surau dan pusat pengajian menganjurkan pelbagai program bertujuan memperingati Rasulullah s.a.w. dan perjuangan dakwah Baginda. Usaha ini patut dipuji dan diteruskan dan inilah sebahagian dari tanda kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.

Secara peribadi, apabila saya dan sahabat-sahabat Pemuda Iman dijemput menghadiri program-program maulidurrasul, kita dapat melihat bagaimana kesungguhan hadirin untuk mengetahui lebih dekat tentang kehidupan Rasulullah s.a.w. Melihatkan kepada semangat, respon dan maklum balas, ia amat positif ke arah mempelajari sirah Rasulullah s.a.w. untuk menjadi panduan hidup.

Maka terlintas di hati saya, amat tidak cukup dan amat tidak memadai kalau kita hanya sekadar menganjurkan program sebegini setahun sekali pada bulan Rabiul Awwal. Ia patut dijadikan program bulanan, mingguan, tetap dan berterusan agar lebih banyak maklumat tentang Baginda dapat dikongsi bersama dengan masyarakat.

Kenapa tidak masjid, surau dan pusat-pusat pengajian sentiasa berlumba-lumba menganjurkan program tentang diri Rasulullah s.a.w. - dari pelbagai aspek untuk dikaji dan dihayati? Ini amat perlu dan penting malah inilah lambang kasih dan minat kita terhadap Rasul dan Nabi kita.

Sekalung tahniah kepada semua masjid, surau, pusat pengajian dan lain-lain yang bertungkus lumus menganjurkan program Maulidurrasul - semoga Allah SWT membalas manifestasi kecintaan terhadap Rasul ini dengan ganjaran yang tidak terhingga.

Buat para ustaz, ustazah dan pendakwah yang diminta mengisi program sebegini - buatlah kajian dan sebarkanlah dakwah ke arah memahami dan menghayati Sirah Rasulullah s.a.w. kerana masyarakat amat dahagakannya. Itulah sekurang-kurang jasa kita untuk membalas jasa Baginda yang terlalu banyak untuk umatnya.

Semoga program-program Maulidurrasul akan bertukar menjadi program tetap dan berterusan sepanjang tahun dan sepanjang hidup untuk mendekatkan lagi diri kita ke arah memahami dakwah Rasulullah s.a.w. untuk menjadi panduan kehidupan.  [pemudaiman.blogspot.com]