Salah Letak Ayat Al-Quran? - Bah. 1

Primary tabs

Terdapat satu kesilapan yang sering berulang dalam penulisan berkaitan agama. Bukanlah saya ini berkelayakan untuk menyatakan ia satu kesilapan. Saya cuma menukilkan dan cuba menyusun apa yang telah disebutkan oleh Imam-Imam Tafsir sejak dahulu hinggalah kepada apa yang ditekankan oleh pakar-pakar tafsir dalam dunia Islam masa kini.


TAFSIRAN TEPAT, PENGGUNAANNYA JUGA KENA PADA TEMPAT
Menurut para ahli tafsir sejak dahulu hingga kini, setiap ayat Al-Quran mestilah ditafsirkan dengan sebaik mungkin berdasarkan kaedah tafsir. Seperkara lagi, apabila sesiapa yang ingin menggunakan sesuatu ayat Al-Quran - sama ada untuk peringatan, kajian atau penulisan dan dakwah serta lain-lain lagi - hendaklah ia digunakan tanpa lari atau keluar dari kontek dan maknanya.

NIAT YANG BAIK TETAPI TETAP SATU KESILAPAN
Terkadang berlaku dalam kalangan mereka yang ingin menggunakan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran - dan ini satu niat yang harus dipuji - cuma disebabkan kurang menyelidik maksud sebenar ayat, maka mereka telah tersalah letak ayat tertentu bukan pada maksudnya yang sebenar.

Hakikat ini telah disedari oleh ramai ahli tafsir moden dan salah seorangnya ialah Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi (salah seorang ulama tafsir terkemuka dunia Arab, menetap di Jordan). Beliau telah mengarang sebuah buku yang menekankan permasalahan ini dengan memberikan contoh-contoh kesilapan penggunaan ayat Al-Quran di luar kontek.

Insya Allah dalam beberapa penulisan, saya akan menyebutkan contoh-contoh yang saya petik dari buku beliau berjudul :

تصويبات في فهم بعض الآيات

(Beberapa pembetulan dalam memahami beberapa ayat)

Dalam buku ini Dr.Solah telah menyebutkan 30 contoh penggunaan ayat di luar kontek termasuk ayat-ayat yang disalah tafsir mengikut apa yang beliau temui.

MATLAMAT BETUL, CUMA CARANYA SAHAJA YANG KURANG TEPAT
Kita tidak menolak bahawa terkadang maksud penggunaan ayat-ayat ini adalah tepat. Cuma apa yang tidak tepat ialah penggunaan ayat-ayat yang tidak berkaitan dengan maksud dan tujuan.

Sebagai contoh, saya ingin memancing ikan. Tidak salah kalau saya berdoa untuk Allah SWT mudahkan saya mendapat hasil tangkapan. Tetapi saya pernah diberitahu bahawa dengan membaca ayat 143, surah al-Nisaa', tangkapan akan menjadi banyak. Tetapi mari kita lihat bersama apakah maksud ayat tersebut:

maksud ayat 143 Surah al-Nisaa':

Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

Siapa 'mereka' di dalam ayat itu? Jawapannya ialah dengan melihat ayat 142 iaitu ayat sebelumnya:

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Maka apa kaitannya dan mengapa kita membacanya semasa memancing atau menangkap ikan? Kesilapan di sini bukan dari segi hukum, tetapi kesilapan dari segi meletakkan ayat Al-Quran bukan pada tempatnya.

Dalam tulisan akan datang, saya akan menyebut contoh-contoh lain yang akan diambil dari buku Tashwibat karya Dr.Solah al-Khalidi. Semoga peringatan ini menjadi satu pengajaran untuk kita berhati-hati dalam menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Insya Allah...

adlan abd aziz