Syiah Malaysia Kena Lagi Dengan JAIS!

Primary tabs

Empat anggota Syiah ditahan JAIS

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIS) akhirnya menangkap empat anggota ajaran Syiah di Gombak, termasuk ketuanya Mohd Kamil Zuhairi dalam sambutan ulangtahun kelahiran puteri Nabi Muhammad di Gombak sebentar tadi.

Jurucakap majlis Radin Ahmad Faizul berkata, selain Mohd Kamil, beliau sendiri ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.

Dua lagi, menurutnya hanya dikenali sebagai Syed Syafiq dan Ashraf. Nama penuh mereka belum diperoleh setakat ini.

Sebelum itu, jurucakap majlis Radin Ahmad Faizul berkata, lebih 20 anggota JAIS kelihatan hadir di majlis itu selepas berlangsung 20 minit bermula jam 12 tengah hari.

Ketika itu, JAIS cuma mengambil kad pengenalan beberapa tokoh penting penganjur, termasuk Mohd Kamil.

"Lagi pun majlis itu cuma majlis makan-makan sahaja," kata Radin sambil mendakwa mereka mendapat permit polis untuk menganjurkan acara itu.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program yang diadakan di perkarangan hauzah atau markaz mereka di Gombak.

JAIS: Langgar fatwa
Kira-kira 500 orang hadir dalam program sambutan ulangtahun Fatimah Az-Zahrah yang diadakan di perkarangan hauzah atau markaz mereka di Gombak. Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan JAIS Mohamad Rais Rasid (kiri) ketika dihubungi mengesahkan tanggkapan empat orang itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana pihaknya merancang mengadakan sidang media khusus tentang perkara itu esok pagi.

"Mereka ditangkap kerana melanggar fatwa (dengan menyebarkan fahaman Syiah)," katanya ringkas.

Pada Disember tahun lalu, JAIS telah menahan seramai 128 pengikut Syiah -- aliran yang diharamkan negeri itu pada tahun 1989.

Bagaimanapun, dianggarkan terdapat kira-kira 40,000 mengikuti ajarannya di negara ini secara senyap-senyap. [malaysiakini.com]