Tidak semua MLM haram

Primary tabs

SOALAN :
SAYA sekarang menjalani latihan industri dan praktikal di syarikat yang menggunakan sistem pemasaran pelbagai peringkat (multilevel marketing -MLM)) selama empat bulan.

saya serba salah untuk meneruskan kerana ada segelintir kawan-kawan dan keluarga saya mengatakan yang MLM ini haram dalam Islam.

 

 

Bolehkah ustaz terangkan kenapa ia haram? Di syarikat ini, saya belajar selok belok perniagaan, daripada pengurusan sampai ke jualan. Saya juga dikehendaki mencari jualan. Ini berkenaan dengan markah praktikal, saya bersungguh-sungguh untuk mendapatkan markah yang tinggi tetapi banyak ujian yang diberikan memerlukan pertolongan kawan-kawan dan keluarga. Bagaimanakah saya hendak menghadapi keadaan ini?

JAWAPAN :

Saudara tidak berdosa kerana melakukan latihan industri di syarikat berkenaan, malahan saudara boleh mempelajari sesuatu yang baru. Mungkin ini peluang untuk saudara mengkaji kebenaran perniagaan MLM yang sebelum ini saudara pernah mendengar tetapi tidak mengenalinya dengan lebih dekat.

Lagipun saudara berada di syarikat ini dengan tujuan untuk menjalani latihan industri seperti mana yang dikehendaki oleh institusi tempat saudara belajar. Setelah saudara berada di situ, barulah dimaklumkan bahawa MLM adalah haram di sisi Islam.

Secara umumnya ramai yang menyatakan pendapat demikian, namun suka saya tegaskan tidak semua jenis MLM haram. Kebanyakan ulama mengharamkan sesetengah MLM kerana wujudnya penganiayaan terhadap downline (orang bawahan yang baru masuk perniagaan). Ini kerana orang yang duduk di upline, kebiasaannya akan mendapat untung yang berganda, sedangkan yang bertungkus-lumus membuat jualan ialah orang bawahan.

Merekalah yang berhujan dan berpanas dalam melariskan jualan. Upline mendapat pendapatan berlipat kali ganda kerana dia merasakan dia layak kerana dia yang memperkenalkan perniagaan itu kepada downline dan seolah dia pula merupakan majikan.

Downline sering diumpan dengan contoh ayat begini: “Saya nak kamu jadi macam saya satu hari nanti, sebulan berpendapatan RM50,000 dan ada kereta mewah, rumah banglo dan sebagainya”.

Downline yang sangat mengharapkan kesenangan pasti akan tertawan dan berkerja keras untuk menjadi seperti upline. Tidak dinafikan ada yang berjaya dengan hasil usahanya yang gigih tetapi bilangannya terlalulah sedikit. Namun dalam keghairahan mengumpul kekayaan dan keuntungan terfikir atau tidak kepada halal haram?.

Persoalan yang jarang mendapat perhatian dari agensi-agensi MLM. Oleh yang demikian untuk tidak melanggar perintah Allah SWT dalam urusan jual beli adalah sangat wajar diukur adakah perniagaan yang diceburi halal atau haram. Supaya tiada unsur penganiayaan, riba dan gharar (keraguan).

Secara umum MLM adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah Upline (tingkat atas) dan downline (tingkat bawah), orang akan disebut Upline jika mempunyai Downline.

Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat vertikal atas bawah mahupun horizontal kiri kanan ataupun gabungan antara keduanya.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisen yang digunakan adalah komisen atau upah brokerage sebagaimana didakwa.

Selain itu, Sheikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya: “Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai.

“Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya.

“Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan.”

Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin. Padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

*Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

*Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30 peratus dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

*Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada di level atas mereka.

Bagaimanapun, sistem perdagangan MLM diperbolehkan oleh syariat Islam dengan syarat-syarat sebagai berikut:

*Transaksi (akad) antara pihak penjual (al-bai) dan pembeli (al-musytari) dilakukan atas dasar suka sama suka (an taradhin), dan tidak ada paksaan;

*Barang yang diperjualbelikan (al-mabi) suci, bermanfaat dan telus sehingga tidak ada unsur kesamaran atau penipuan (gharar);

*Barang-barang tersebut diperjualbelikan dengan harga yang wajar.

Utusan Online