Tiga Buku Diterbitkan Di Indonesia Bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah Diharamkan

Primary tabs

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenakan perintah larangan terhadap tiga buah buku yang diterbitkan di Indonesia kerana memuatkan bahan-bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara ini.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Abdul Aziz Mohamed Nor berkata dalam satu kenyataan Isnin, buku yang diharamkan ialah "Pengantar Ilmu-ilmu Islam", "Dialog Sunnah Syi'ah" dan "Tafsir Sufi Al-Fatihah Mukadimah".

Buku "Pengantar Ilmu-ilmu Islam" ditulis oleh Murtadha Muthahhari dan diterbitkan Pustaka Zahra dari Jakarta manakala "Dialog Sunnah Syi'ah" ditulis oleh A.Syarafuddin Al-Musawi dan diterbitkan Penerbit Mizan PT Mizan Pustaka dari Bandung.

"Tafsir Sufi Al-Fatihah Mukadimah" pula ditulis oleh Jalaluddin Rakhmat dan diterbitkan PT Remaja Rosdakarya, juga dari Bandung.

"Sekiranya penerbitan ini dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan di sini. [BERNAMA]