Siapakah Sahabat Nabi s.a.w. dan Adakah Najasyi Termasuk Sahabat?

Primary tabs

Susunan: Zainudin Yusro (zain y.s.) al-ahkam.net

DEFINISI SAHABAT MENURUT BAHASA

Maksud sahabat dari segi bahasa menurut beberapa kamus arab:

(صَحِبَ) صَحِبَهُ – يَصْحَبُهُ – صُحْبَةً وَصَحَابَةً

وَصَاحَبَهُ: عَاشَرَهُ.

وَالصَّحْبُ: جَمْعُ الصَّاحِبِ مِثْلُ رَاكِبٍ وَرَكْبٍ.

وَالأصْحَابُ: جَمَاعَةُ الصَّحْبِ مِثْلُ فَرْخٍ وَأَفْرَاخٍ

قَالَ الْجَوْهَرِيُّ: الصَّحَابَة: الْأصْحَابُ، وَهُوَ فِي الْأَصْلِ مَصْدَرٌ، وَجَمْعُ الأصْحَابِ أَصَاحِيْبُ (لسان العرب)

المنجد: الصَّاحِب (فا) ج صَحْب وأَصْحَاب وصُحْبَة وصِحَاب وصُحْبَان وصِحَابَة وصَحَابَة.

وأصَاحِيْب جمع أَصْحَاب: الملازم، المعاشر

 

DEFINISI SAHABAT MENURUT ISTILAH

Menurut imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam al-Ishabah Fi Tamyiz al-Sahabah:

Pendapat yang paling kuat yang telah disepakati mengenainya bahawa sahabat ialah: Mereka yang pernah bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan beriman dengannya dan mati dalam keadaan Islam.

Lebih lanjut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan:

Termasuk di dalam kata sahabat ialah mereka yang bertemu dengan Baginda s.a.w. dan samada duduk bersamanya dalam tempoh yang lama atau sebentar, mereka yang ada meriwayatkan dari Baginda s.a.w. ataupun tidak, mereka ikut serta berperang dengan Baginda s.a.w. ataupun tidak, mereka yang pernah melihat Baginda s.a.w. sekalipun tidak duduk bersamanya, dan mereka yang tidak dapat melihatnya kerana ada halangan seperti buta.

 

Dapat dijelaskan di sini, Sahabat Nabi s.a.w. adalah:

  • Bertemu Nabi s.a.w.
    • Oleh itu tidak termasuk sahabat - Mereka yang ketika bertemu dengan Nabi s.a.w. masih belum beriman dengannya, kemudian setelah Nabi s.a.w. wafat, dia baru beriman dengannya.
  • Ketika bertemu itu, dia dalam keadaan beriman dengannya.
    • Termasuk sahabat: Mereka yang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan Islam, kemudian dia murtad, kemudian dia kembali kepada Islam dan mati dalam keadaan Islam.
  • Ketika mati, dia dalam keadaan beragama Islam.
    • Tidak termasuk sahabat: Mereka yang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan Islam, selepas itu dia murtad dan mati dalam keadaan tidak Islam. Seperti Ubaidillah bin Jahsy bekas suami ummul mukminin Ummu Habibah. Ubaidillah memeluk Islam kemudia dia murtad memeluk agama Nasrani dan mati dalam agama Nasrani.

Termasuk juga dalam sahabat:

  • Mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. sekalipun tidak duduk bersamanya.
    • Iaitu mereka dianggap sahabat dengan hanya semata-mata melihat Nabi s.a.w., sekalipun tidak duduk bersamanya atau bercakap-cakap dengannya.
  • Mereka yang tidak dapat melihat Nabi s.a.w. kerana ada halangan seperti buta.
    • Iaitu seseorang itu juga termasuk sahabat sehingga sekalipun dia tidak dapat melihat Nabi s.a.w. dengan matanya, seperti Abdullah bin Ibni Ummi Maktum r.a. yang buta matanya, namun dia pernah duduk bersama Nabi s.a.w. dan mendengar darinya.

PERSOALAN:

  • Adakah Najasyi raja Habsyah termasuk dari kalangan sahabat Nabi s.a.w?

JAWAB:

  • Berdasarkan definisi sahabat, jelaslah kepada kita bahawa Najasyi r.h.m tidak termasuk sahabat Nabi s.a.w., sekalipun dia telah memeluk Islam pada zaman Nabi s.a.w. dan ketika mati pula, dia telah disolatkan oleh Nabi s.a.w. dengan solat ghaib.
  • Namun begitu, dia termasuk dari kalangan tabi’in dan bukan dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. Kerana dia tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w. dan tidak pernah berhimpun sekali dengannya.

 Wallahu A'lam

Rujukan:

الإصابة في تمييز الصحابة

عدالة الصحابة رضي الله عنهم عند الملسملين

 

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan