SJ-11-0268 : Hukum jual barang melalaikan (PS2 dan Musik)

Primary tabs

3 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-11-0268 : Hukum jual barang melalaikan (PS2 dan Musik)

Assalamu'alaikum wbt,

Bagaimanakah hukum bagi seseorang menjual
barangan yang boleh melalaikan pembelinya seperti
guitar,play station dan etc?

segala bantuan saya dahulukan dengan jazakumullah ghairan

Re: Hukum jual barang melalaikan

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Kami akan bahagikan soalan ini kepada 2 bahagian. (a) Playstation dan (b) Alat Musik.

a. Menjual Playstation.

Playstation, TV, atau alat permainan yang lain asal hukumnya adalah harus. Ia hanyalah sebagai alat yang digunakan untuk mencapai sesuatu matlamat. Alat ini boleh digunakan untuk perkara yang halal atau perkara yang haram.

Menurut sebuah fatwa “ setiap benda yang digunakan untuk perkara yang haram, atau seseorang merasakan kemungkinan besar digunakan untuk tujuan haram, adalah haram dibuat (dikilang), di jual dan disebarkan dikalangan orang Islam” [Fataawa al-Lajnah al-Daaimah, 13/109].

1. Jika permainan playstation digunakan untuk mengisi masa rehat, seperti permainan bola FIFA seumpamanya, atau permainan yang boleh merangsangkan minda, maka permainan ini dibolehkan untuk dijual.

Jika permainan (DVD/CD) yang dijual itu mengandungi perkara-perkara lucah, maksiat dan sebagainya, maka hukumnya adalah haram jual-beli. Penjual hendaklah memastikan bahawa barang yang dijual itu tidak mengandungi bahan-bahan ini. Ada juga kemungkinan wujud permainan yang secara terang-terangan menghina Islam.

2. Penjual juga haruskan menggunakan firasat, agar tidak menjual kepada mereka yang ingin menggunakannya di pusat-pusat perjudian, pusat maksiat, dsb.

3. Kepada mereka yang menggunakan playstation, hendaklah sewaktu bermain itu tidak menjejaskan hubungan kita dengan Allah swt. Tidak terlalu leka sehingga meninggalkan solat fardu.

4. Pihak ibu-bapa dan pihak yang berkuasa juga hendaklah memantau jualan kandungan permainan video, playstation agar tidak mengandungi unsure-unsur yang tidak sihat.

Sebagai penjual, kita hendaklah peka dengan apa yang kita jual dan kepada siapa yang kita jual. Hendaklah berhati-hati moga kita tidak memperolehi keuntungan dari perkara yang haram. Sabda Nabi :saw :-

كل جسد نبت من سحت فالنار أولى به
“Setiap jasad yang tumbuh dari perkara yang haram, maka api neraka lebih aula untuknya” [Hadith Riwayat al-Thabrani].

(bersambung….)

خيرالأمين

Re: Hukum jual barang melalaikan

b. Hukum menjual alat musik

Ulama' khilaf didalam membicarakan tentang hukum nyanyian, samada ia disertai dengan musik ataupun tidak. Jumhur ulama' bersepakat mengatakan adalah haram sesuatu nyanyian dan musik yang membawa tema maksiat, dosa, dsb. Terdapat sekurang-kurangnya 3 golongan :-

1. Kumpulan yang mengharamkan nyanyian secara total.
2. Kumpulan yang membolehkan nyanyian sahaja, tanpa bantuan alat musik.
3. Kumpulan yang membenarkan nyanyian dan musik, akan tetapi meletakkan syarat-syarat.

Disini, kami akan cuba membawa pandangan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang mewakili ulama'-ulama' kumpulan 3, diantaranya termasuklah Ibn Hazm, Imam al-Ghazali, al-Qadi Abu Bakr al-Arabi, Ibn Thahir, dll.

Bagi alat musik pula, disebabkan terdapat beberapa kelemahan dari segi hadith dan juga ketidak sarih hukumnya (tidak jelas), maka ia menjadikan hukum alat musik kepada hukum asalnya iaitu harus (dibolehkan).

Menurut al-Qaradhawi didalam menyimpulkan hadith-hadith pengharaman musik, "terdapatnya hadith-hadith yang sahih akan tetapi maksudnya tidak jelas, atau hadith-hadith ini jelas akan tetapi tidak sahih. Tidak ada satupun hadith yang marfu' kepada Nabi :saw yang membolehkan musik dan nyanyian itu haram, malahan semua hadith-hadith ini dilihat sebagai dhaif (lemah) oleh mazhab Zahiriyah, Malikiyah, Hanabilah dan Syafiiyah.

al-Qadi Abu Bakar al-Arabi didalam kitabnya Ahkam al-Quran mengatakan bahawa "Tidak sah pada pengharaman". Begitu juga pendapat Imam al-Ghazali didalam al-Ihya dan Ibn al-Nahwi didalam kitab Umdahnya.

Ibn Thahir berkata "Tidak satu huruf pun didalamnya (hadith-hadith ini) sahih".

Berkata Ibn Hazm (al-Muhalla) : Tidak ada yang sahih didalam bab ini satu pun, setiapnya terdapat kepalsuan. Demi Allah, sekiranya sanadnya bersambung, satu ataupun lebih, dari jalan yang tsiqah(dipercayai) kepada Rasulullah :saw, sudah tentu tidak ragu lagi kami akan mengambilnya. " [Fiqh al-Ghina' wa al-Musiqy fi Dhau' al-Quran wa al-Sunnah, ms 63].

al-Shawkani (Nail al-Authar) menjelaskan bahawa dikalangan orang Madinah dan mereka yang menyokongnya adalah dikalangan Zahiriyah dan Sufi yang membolehkan nyanyian, walaupun disertai dengan alat musik seperti seruling / flute. Abu Mansur al-Baghdadi al-Syafie meriwayatkan bahawa Abdullah bin Jaafar melihat tidak ada masalah didalam nyanyian, dan dia sendiri mengarang musik untuk hambanya yang akan menyanyi lagu-lagu ini semasa kehadirannya.

al-Ruwaini meriwayatkan mengenai al-Qaffal bahawa Malik Ibn Anas berpegang kepada kebenaran menyanyi berserta dengan musik. Begitu juga Abu Mansor al-Furani membawa pendapat Malik bahawa bermain seruling adalah dibenarkan.

Namun demikian, ulama meletakkan syarat-syarat yang ketat mengenainya. Diantaranya :-

1. Tema atau isi kandungan (bait lagu) lagu hendaklah sesuai dengan ajaran dan adab Islam.

2. Gaya menyanyikan lagu tidak mengundang maksiat.

3. Nyanyian tidak disandarkan dengan sesuatu yang haram; arak, dadah, pergaulan bebas, dsb.

4. Tidak berlebihan didalam mendengarnya

5. Setiap orang Islam itu hendaklah menjadi mufti kepada dirinya. Maksudnya, orang Islam itu sendiri menilai kedudukan lagu yang dia dengari.

--------------------
Berbalik kepada hukum menjual alat musik, hukum asalnya adalah harus. Hukumnya sama seperti menjual game VCD, playstation, dsb. Jika alat-alat ini digunakan untuk tujuan maksiat, maka hukumnya haram.

Disini kita kena melihat secara realiti industri musik masa kini. Kalau seseorang itu menjual gambus, gendang, rebana, seruling, dan sebagaimana, sudah tentu kita tahu bahawa ia akan digunakan untuk tujuan lagu-lagu keIslaman, ketuhanan, patriotik, dsb.

Akan tetapi, kalau alat-alat itu merupakan alat-alat yang hanya sesuai dengan pertunjukan pentas, dimana pasti ia membawa kepada perkara-perkara yang melalaikan, sudah tentu kita yang menjual alat-alat tersebut akan mempunyai sahamnya juga! Inilah yang perlu kita berhati-hati.... ditakuti akan pendapatan yang diperolehi itu datang dari sumber yang haram. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين