SJ-09-0050 : Permasalahan Haji

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-09-0050 : Permasalahan Haji

Salam,

Saya berada di Mekah ketika ini. Berikut adalah kemusykilan saya harap dapat di bantu menjelang wukuf di Arafah pada 5 Nov 2011:

1) Selepas saya melontar jamrah kubra dan bercukur utk tahallul awal haji tamattuq, bilakah masa paling awal saya boleh ke Mekah utk mengerjakan tawaf dan sai'e utk tahallul thani dan bebas dari semua larangan dlm ihram?

2) Sekiranya saya kembali ke Mekah pada 10 Dzulhijjah spt dalam para 1 di atas, bilakah masa paling lewat saya perlu kembali ke Mina utk melontar ketiga-tiga jamrah?

3) Bilakah masa yang diwajibkan spt yg terkandung dalam perkara2 wajib haji utk mabit di Mina?

4) Sekiranya saya tidak mabit di Mina tetapi saya tetap melontar ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik, adakah ianya dibenarkan? Adakah masa tertentu ditetapkan utk melontar ketiga-tiga jamrah (i.e selepas Maghrib, etc)

5) Sekiranya no 4 dibenarkan, adakah saya dikenakan dam disebabkan tidak mabit di Mina?

6) Terdapat kenyataan dari buku yang dibekalkan oleh Tabung Haji yang menyatakan bahawa tawaf seseorang adalah tidak sah sekiranya dia menyentuh/memegang kelambu kaabah, bangunan kaabah, atau hijr Ismail. Adakah kenyataan ini berasal dari sunnah?

7) Apakah kawasan yang dikira sebagai sebahagian dari masjidil haram? Adakah dataran di pintu masuk belakang safa dan marwah dikira sebagai sebahagian dari masjidil haram kerana jemaah utk solat jumaat juga berada di sana. Sekiranya ia termasuk dlm kawasan masjidil haram, adakah dibenarkan utk saya solat tahiyatul masjid di dataran tersebut?

Saya ucapakan terima kasih tidak terhingga kepada AAN kerana sudi menjawab persoalan ini. Jzk!

Re: Permasalahan Haji

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah. Tahniah kerana berjaya menjadi salah seorang dari tetamu Allah.

Q1. Anda boleh melakukan nafar awal, iaitu keluar dari Mina pada 12 Zulhijjah menuju ke Mekah untuk Tawaf dan Sa’ie sebelum terbenam matahari. Anda seharusnya telah menyempurnakan lontaran keatas ketiga-tiga jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah. Anda juga telah mabit 2 malam di Mina dan telah berniat Nafar untuk kembali ke Mekah dan tidak berazam untuk kembali ke Mina.

Q2. Paling lewat anda bertolak ke Mina dari Mekah adalah petang 10 Zulhijjah, sebelum malam 11 Zulhijjah. Kerana jika anda tidak berada pada malam 11 Zulhijah itu akan menyebabkan anda tidak cukup syarat mabit di Mina dan akan dikenakan dam (Lihat jawapan no:5).

Q3. Mabit di Mina memerlukan anda berada disana pada malam-malam Tasyriq; iaitu malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Q4. Mabit di Mina adalah wajib Haji. Seseorang yang tidak mabit di Mina akan dikenakan dam (Lihat jawapan no:5). Anda masih boleh melontar ketiga-tiga jamrah tersebut. Masa yang afdhal untuk melontar adalah selepas tergelincir matahari (masuk waktu Zohor). Dari Ibn Abbas ra. berkata :-

رمى رسول الله الجمار حين زالت الشمس
“Rasulullah :saw melontar jamrah-jamrah (Ula, Wustha dan ‘Aqabah) ketika gelincir matahari.”

Namun demikian, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (Tabung Haji/Pusat Islam Malaysia) didalam perbincangannya pada 28 Mei 1993 mengenai masalah melontar pada hari 13 Zulhijjah, membenarkan jemaah melontar sebelum tergelincir matahari atas sebab-sebab keselamatan. Amalan ini berdasarkan qaul muqabil al-ashah dalam Mazhab asy-Syafie iaitu pendapat yang dijazamkan oleh Imam ar-Rafi’e dan dii’timad oleh imam al-Asnawi (Lihat fath al-‘Allam: 4/363) dan juga pendapat ulama-ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan melontar pada hari tasyriq yang ketiga. (Al-fiqh al-Islami,3/2255). Pendapat ini juga didokong oleh Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi [Mi’ah suaal ‘an al-Hajji wa al-Umrah, ms 89-90]

Q5.Tidak mabit di Mina akan dikenakan dam. Damnya adalah :-

a. Tidak mabit 1 malam, damnya secupak biji-bijian yang mengenyangkan seperti gandum, beras, dsb.

b. Tidak mabit 2 malam , damnya 2 cupak biji-bijian yang mengenyangkan seperti gandum, beras, dsb.

c. Tidak mabit 3 malam , damnya seekor kambing atau 1/7 daripada seekor lembu, unta atau semisalnya dan jika tidak berupaya maka hendaklah berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Tanah Suci setelah berniat ihram hajinya dan 7 hari apabila sampai di negaranya.

Jika anda tidak mempunyai penempatan di Mina, berikut adalah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 66 pada November, 2004 : " Jemaah Haji yang tidak diperuntukkan tempat untuk bermabit di Mina adalah digugurkan daripada melaksanakan kewajipan berkenaan dan tidak dikenakan apa-apa dam, ibadat Haji mereka adalah sah dan tidak berdosa kerana mereka adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang diberikan rukhsah oleh Nabi SAW untuk tidak bermabit di Mina. "

Q6. Menyentuh Ka’bah menurut beberapa pandangan ulama’ boleh membatalkan tawaf. Ini adalah kerana ibadat Tawaf adalah perbuatan mengelilingi luaran Ka’bah. Dinding Ka’bah, Syazarwan dan Hijir Ismail adalah termasuk definisi ‘dalam Ka’bah’ atau sebahagian dari Ka’bah. Maka barangsiapa yang bertawaf ‘dalam Ka’bah’, maka tawafnya tidak sah.

Sila lihat jawapan Ustaz Abu Umair bekenaan dengan isu ini :-
http://www.al-ahkam.net/home/index.php?option=com_kunena&func=view&catid=100&id=99665&Itemid=91

Q7. Maksud Masjid al-Haram juga khilaf pada pandangan ulama’. Ada yang berpandangan seluruh tanah haram Mekah itu adalah Masjid al-Haram. Ulama’ seperti Imam al-Nawawi, al-Muhibb al-Tabari, Ibn Muflih dan Ibn Hajar al-Haitami berpendapat bahawa Masjid yang mempunyai Ka’bah didalamnya yang digelar Masjid al-Haram, dan bukan seluruh kawasan. Didalam sebuah hadith dari Ibn Abbas bahawa Nabi :saw bersabda :

صَلَاةٌ فِيهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ مِنْ الْمَسَاجِدِ إِلَّا مَسْجِدَ الْكَعْبَةِ
“Sekali solat didalamnya adalah lebih utama 1,000 kali bersolat dari mana-mana masjid, melainkan Masjid Ka’bah” [Hadith Riwayat Muslim].

Hadith ini juga menunjukkan Masjidil Haram adalah Masjid yang mempunyai Ka’bah didalamnya. Berdasarkan fakta ini, dataran Masjid al-Haram tidak dianggap sebagai masjid. Akan tetapi dalam situasi suasana solat Jumaat di Mekah, limpahan jemaah dari dalam Masjid al-Haram ke Dataran Masjid masih dikira sah solat berjemaahnya.

Fuqaha’ mengatakan tidak perlu Solat Tahiyatul Masjid di Masjidil Haram. Anda digalakkan melakukan tawaf sunat jika berkemampuan apabila memasuki Masji al-Haram. Anda boleh melakukan seberapa banyak solat-solat sunat tanpa ada had waktu-waktu yang terlarang. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين