Apa Maksud al-Hafiz Dalam Bidang Hadis?

Primary tabs

Gelaran dalam bidang hadis:
Al-Musnid: Orang yang meriwayatkan hadis dengan sanadnya, samada dia ada pengetahuan tentang hadis berkenaan ataupun hanya semata-mata meriwayatkannya.

Al-Muhaddis:
Orang yang menekuni dalam bidang ilmu hadis samada secara riwayah atau dirayah dan menelaah banyak periwayatan dan keadaan perawinya.

Al-Hafiz:
Ramai ahli hadis berpendapat ia sama makna dengan muhaddis.
Sebahagian yang lain berpendapat ia lebih tinggi kedudukannya berbanding muhaddis. Apa yang diketahuinya pada setiap tahap lebih banyak dari yang tidak diketahuinya.

Menurut satu pendapat lain ialah: Orang yang menghafaz seratus ribu hadis dengan matan dan sanadnya serta menguasai segala keperluannya. Antara ulama yang menyandang gelaran ini ialah seperti al-Iraqi (pentakhrij hadis-hadis al-Ihya' imam al-Ghazali), Ibnu Taimiyah, Daqiqul Id, Khatib al-Baghdadi dan sebagainya.

Kitab yang khusus menyenaraikan para hafiz dalam bidang hadis ialah Tazkiratul Huffaz karya al-Zahabi.

Al-Hujjah: Orang yang menghafal dan menguasai tiga ratus ribu hadis.

Al-Hakim:
Orang yang menguasai seluruh sunnah.

Amirul Mukminin:
Gelaran yang paling tinggi dalam bidang hadis. Mereka menjadi sumber rujukan utama umat dalam bidang hadis. Antara mereka dari kalangan mutaqaddimin ialah: Syu'bah bin al-Hajjaj, Sufyan al-Tsauri. Ishaq bin Rahawaih, Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari, ad-Daruquthni. Dari kalangan mutakhirin ialah: Ibnu Hajar al-Asqalani.

Rujukan:
Taisir Mustalah al-Hadis, Dr Mahmud at-Tahhan
Al-Muhazzab Fi Mustalah al-Hadis, Minsyawi Othman Abud