Buku Sifat Solat Nabi Versi al-Albani : 100% betul?

Primary tabs

Oleh alitantawi @ Ustaz Adlan

*Tulisan ini mungkin tidak nampak relevan bagi sebahagian pembaca, namun bagi sebahagian lagi yang mengikuti perkembangan dakwah ke arah memahami sunnah, pasti ia amat relevan.

Persoalan yang jelas: Ada sebuah buku, namanya 'Sifat Solat Nabi', ditulis oleh seorang pengkaji hadith moden bernama Muhammad Nasiruddin al-Albani (meninggal pada 1999).

Soalan saya: Adakah buku versi syeikh al-Albani ini benar dan tepat 100%?

Mereka yang berfikir secara rasional: 'takkanlah 100% tepat? Pasti ada kekurangan kerana syeikh al-Albani manusia yang pasti melakukan kesilapan. Lagi pun banyak lagi karya ulama lain tentang sifat solat'.

Bagi sebahagian yang berbangga menggelar diri 'salafi' atau 'geng sunnah' dan sebahagiannya: Buku ini adalah himpunan hadith-hadith sahih!'... (x menjawab persoalan secara direct)

Bagi sebahagian lagi yang juga mengatakan mereka pejuang sunnah: 'Buku ni memang tak 100% sempurna, tapi inilah buku terhebat dan terbaik..tak ada siapa boleh tandingi beliau'.

Bagi sebahagian lagi yang memang marah dengan 'salafi' dan 'geng sunnah' : Buku ni tak betul. Tak boleh baca.

Bagi yang suka cover line pulak: Buku ini memang tidak sempurna. Kita berlapang dada menerima kritikan dan kita sememangnya mengkagumi kehebatan al-Albani dan buku ini. (Tapi hakikatnya tak baca buku lain juga...lebih banyak menghias kata sahaja, sedangkan buku ini jugalah yang betul)

Ulasan saya (sekadar apa yang saya tahu):

  • Saya membaca buku ini dan menghabiskan bacaannya ketika ramai geng2 yang kononnya 'salafi' dan 'geng sunnah' ni tak pernah pun khatam baca buku ini dan buku lain.
  • Setelah melalui satu peringkat ilmu, saya dan sahabat-sahabat mengangkat buku ini untuk dibuat 'perbandingan', 'muqaranah'...dengan pendapat-pendapat ulama lain dan juga buku-buku lain.
  • Setelah itu kita dapati para ilmuan moden termasuk yang mengambil pengkhususan hadith mula mendedahkan kesilapan yang ada dalam buku ini secara ilmiah dan berfakta. Ramai yang dah mula mengkritik secara meluas dan akhirnya buku ini menjadi bahan kajian ramai yang ingin mendalami penulisan dalam bidang hadith. Pengkaji yang ramai ini mendedahkan kesilapan-kesilapan dan kekurangan dan kelemahan susunan buku ini.
  • Bukanlah 100% salah, tetapi pasti bukan 100% betul.


Tapi saya cukup hairan. Hairan dengan sikap sebahagian pihak yang melantik diri mereka mewakili 'salafi' dan 'salaf' atau 'sunnah' tanpa ada sebarang pemilihan atau lantikan...mereka masih lagi di takuk lama. Masih lagi terbelenggu dengan fahaman bahawa buku 'Sifat Solat Nabi versi al-Albani' adalah yang terbaik..terhebat...paling tepat...itulah sunnah..itulah sahaja..tiada yang lain. Masih terperangkap dan tersekat dengan fahaman lama..walaupun mereka asyik melabelkan mereka ini pro tajdid, tetapi sebenarnya mereka tak dapat lari dari pemikiran bahawa 'hanya ulama bergelar salafi yang paling faham sunnah'.

Fahaman ini amat tidak masuk akal dan begitu 'kedekut' kerana menganggap hanya segelintir yang tahu hadith - sebahagian ilmuan dan penulis yang menggelar diri mereka salafi, pro sunnah, tajdid dan sebagainya. Seolah orang lain yang bukan aliran 'salafi' tidak pandai hadith..kononnya. Seolah aliran lain yang tidak secocok dengannya tak reti baca hadith. Masalahnya geng 'salafi' ni betul ke istiqamah baca hadith dan khatam serta pelajari kitab-kitab hadith secara bersistem seperti ulama hadith zaman silam?

Sedarlah bahawa ada mereka yang dilabelkan 'bukan salafi' atau 'tiada manhaj' terkadang lebih hebat menjaga dan menyebarkan hadith berbanding yang memakai jersi 'salafi', terkadang hadith satu pun terkial-kial nak menyebutnya...hadith 40 Imam Nawawi pun tak habis baca (bukan hafal), Umdatul Ahkam pun tak pernah mimpi untuk dalami kecuali menghafal namanya sahaja. Nak talaqqi kitab-kitab ulama saudi (atau komentar ulama saudi) sahaja. Sempit sangat!

Itu bid'ah, ini bid'ah, itu tak ikut sunnah, ini tak ikut sunnah. Habis dilabelkannya. Sedangkan dirinya sendiri dengan disedari atau tidak sebenarnya bukan pejuang sunnah..tapi pejuang salafi dan pejuang dua tiga orang sahaja. Adakah di dunia ini tiada ulama sehingga tinggal dua tiga kerat sahaja?

Buatlah perbandingan...buatlah kajian...bacalah pelbagai jenis buku..bergurulah dengan bermacam aliran guru. Kemudian beradablah dengan menghormati yang benar dan menasihati jika ada kesilapan.

Saya berani menyatakan bahawa kita tidak perlukan pun buku seperti Sifat Solat Nabi versi al-Albani. Cukuplah dengan apa yang telah dikumpulkan dan dihuraikan oleh para ulama hadith. Bagi mereka yang tidak mahu membaca buku al-ALbani ini, memang anda tidak rugi apa-apa dengan syarat: anda mengkaji dan membaca buku-buku hadith dan huraian hadith serta buku fiqh zaman berzaman yg telah pun cukup menghuraikan tentang sifat solat Nabi.

Malah saya juga berani mengatakan bahawa yang paling rugi ialah mereka yang semata-mata taksub kepada buku ini dan kepada pandangan syeikh al-Albani kerana mereka biasanya akan terjebak dengan beberapa kesilapan yang telah dibuat oleh penulis buku tersebut.

Insya Allah, tidak lama lagi akan diadakan wacana ilmiah membicarakan tentang bukti berfakta dan ilmiah tentang kesilapan-kesilapan dalam buku Sifat Solat Nabi versi al-Albani. nantikan..

Sumber: blog alitantawi