JH-ASAS-008- MEMPELAJARI HADITH PERLU BERPERINGKAT

Primary tabs

Dalam artikel yang ringkas ini saya cuba untuk membawa para pembaca berfikir bersama tentang satu tanggapan yang wujud dalam kalangan pencinta hadith atau pencinta sunnah.

Tanggapan tersebut ialah tanggapan bahawa hadith boleh dipelajari dengan mudah malah sangat mudah. Sehinggakan seorang muslim atau muslimah yang hanya belajar beberapa perkataan arab boleh membuka mana-mana buku berkaitan hadith. Malah dirinya telah dibolehkan untuk memberikan pandangan terhadap persoalan-persoalan berkaitan hadith tanpa kajian yang teliti dan dalam masa yang singkat. Ada pula yang mengetengahkan pendapatnya tanpa merujuk kepada tulisan para ahli ilmu hadith terdahulu tetapi cukup dengan hanya ‘merenung’ lafaz hadith yang berkaitan.

Tanggapan ini tidak tepat malah tidak logik. Kita tahu bahawa ilmu hadith adalah ilmu yang telah bermula sejak hadith mula wujud. Ia berkembang dan melalui pelbagai proses dalam usaha mempertahankan hadith daripada sebarang gangguan atau cubaan untuk menghalangnya daripada difahami oleh umat. Setiap zaman menyaksikan bahawa tidak semua orang dapat menguasai ilmu ini. Malah di kalangan yang menguasainya juga berbeza kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Apa sahaja ilmu pasti memiliki ahlinya atau pakarnya yang menguasai dan mampu menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan. Tidak mungkin sesuatu ilmu itu dikuasai oleh semua peminatnya atau penggemarnya. Begitu juga ilmu-ilmu Islam seperti tafsir, qiraat, hadith, fiqh dan lain-lain lagi. Ini adalah asas biasa yang boleh difahami oleh sesiapa sahaja.

Malah tanggapan sebegini amat merbahaya kerana ia akan melahirkan satu sikap terlalu yakin dengan kemampuan diri. Sikap ini akan menjadikan kita terlalu berani mengeluarkan pendapat walaupun dengan ilmu yang amat cetek. Ia akan membawa kepada satu lagi sikap negatif iaitu memandang rendah kepada ulama hadith terutama ulama terdahulu kerana kita kononnya lebih faham dengan keadaan semasa. Akhirnya sikap tersebut membawa kepada satu lagi fenomena yang tidak baik iaitu lahirnya pendapat-pendapat yang pelik dan tidak tepat dalam memahami hadith Rasulullah SAW.

Oleh itu kita dapati para ulama hadith amat mementingkan soal kelayakan dan kemampuan dalam ilmu hadith. Bermula daripada kemampuan membaca, menghafal dan menyampaikan hadith pada zaman awal, kemampuan membuat penapisan antara hadith yang benar atau hadith yang tidak sahih sehinggalah kepada kemampuan memahami dan menghuraikan maksud hadith yang sahih, kesemuanya amat memerlukan kepada ilmu dan pengalaman. Tidak pernah kita temui keadaan di zaman awal Islam di mana umat Islam kesemuanya adalah pakar dalam perkara-perkara yang disebutkan tadi. Tetapi apa yang wujud dalam sejarah kegemilangan Islam ialah – terdapat segolongan pakar dan ahli hadith yang menjadi tempat rujukan seluruh umat dan menjadi tempat mereka mendapat panduan. Malah, dalam kalangan pakar dan ahli hadith sendiri terdapat segolongan yang dianggap rujukan utama atau penyelesai segala perselisihan sesama mereka.

Kegagalan pencinta hadith zaman moden untuk mengenali kedudukan dan martabat ulama hadith mengikut kemampuan akan menjadikan mereka membuat tanggapan mudah yang sedang kita bicarakan iaitu : sesiapa sahaja boleh menguasai ilmu kajian hadith. Tanggapan yang lebih tepat – wallahu ‘alam – ialah sesiapa sahaja boleh mempelajari ilmu ini dan amat dialu-alukan, tetapi… ‘mempelajari’ hanyalah satu permulaan untuk sampai ke tahap ‘menguasai’. Ketahuilah, jarak antara keduanya amat jauh!

Kita perlu merenung kemampuan diri – tidak hanya kemampuan dari sudut Bahasa Arab atau asas-asas ilmu hadith, malah kemampuan dari sudut masa dan kesempatan. Jangan kita abaikan soal ini kerana ia merupakan antara penentu kejayaan kita dalam menguasai bidang hadith. Bagaimana saya atau anda ingin menguasai bidang ini sekiranya kita hanya memperuntukkan masa yang singkat dalam mempelajarinya? Bagaimanakah seorang penuntut ilmu hadith ingin melompat ke tahap ’menguasai’ atau ’pakar’ dalam bidang ini jika waktu yang beliau ada untuk mempelajarinya hanya beberapa jam di hujung minggu atau beberapa hari pada setiap bulan? Ini realiti yang terpaksa dihadapi oleh kita yang terlalu sibuk dan hanya memberikan separuh masa kita (atau lebih kurang lagi) untuk ilmu ini.

Maka perlulah dibezakan matlamat kita mengikut kemampuan diri sama ada dari segi persediaan asas ilmu ini atau kesempatan masa yang ada.

Pelajarilah ilmu ini semampu mungkin. Apabila tiba masa dan ketikanya, siapa tahu mungkin anda telah sampai ke tahap yang lebih baik malah ke tahap ’menguasai’ ilmu yang mulia ini. Yakinlah bahawa setiap langkah kita dalam ilmu ini adalah kemuliaan di sisi Allah SWT, insya Allah.

Wallahu a’lam.