JH-MUTIARA-008- Jangan Sombong, Jangan Angkuh

Primary tabs

 

Oleh alitantawi

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِى قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”.

Berkata seorang lelaki: ‘Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia”.

Huraian:

Di dalam hadith ini kita dapati Islam amat menentang sifat sombong, takbur dan apa sahaja yang melambangkan keangkuhan. Tiada manusia berakal yang akan menafikan betapa buruknya sifat ini apabila ia mula menjadi tabiat dalam diri seseorang. Oleh itu Islam datang membawa penegasan tentang keburukan dan kemudharatan sifat ini, bukan sahaja di dunia ini, malah kesannya akan turut berkekalan hingga ke akhirat.

 

TIDAK MASUK SYURGA

Terdapat perbincangan dalam kalangan ulama tentang maksud sebenar sabda Rasulullah SAW – ‘Tidak akan masuk syurga’ dalam hadith ini. Malah kata-kata ini juga kita dapat dalam hadith-hadith yang lain. Apakah ia membawa maksud tidak akan masuk syurga selamanya? Atau ia membawa maksud lain?

Apa yang pasti, sekiranya seorang manusia itu sombong dalam keadaan dirinya kufur dan menolak Islam, maka sudah pasti ia membawa maksud dia akan kekal di dalam neraka bersama kekufurannya dan kesombongannya.

Namun sekiranya seseorang manusia itu beriman, maka hadith-hadith sebegini membawa maksud - seseorang yang beriman, jika dia melakukan perkara sebegini, maka dia tidak akan masuk syurga ketika ahli syurga yang awal mula memasukinya. Dia akan disiksa terlebih dahulu berdasarkan dosanya dan pada akhirnya akan dimasukkan juga ke syurga berdasarkan keimanannya. Maka hadith ini bukanlah bermakna orang yang beriman tetapi mempunyai sifat sombong tidak akan masuk syurga selama-lamanya.

 

MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH BUKAN SOMBONG

Ingin kelihatan indah dan elok dipandang bukanlah semestinya menjadi bukti bahawa manusia itu sombong atau angkuh. Malah keindahan, kekemasan dan kecantikan adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Lihatlah betapa Rasulullah SAW memberikan gambaran tentang keindahan ini dengan sabdanya ’Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan’. Ini bermakna Rasulullah SAW telah memberikan satu penegasan bahawasanya keindahan itu adalah tuntutan agama malah disukai Allah SWT. Lalu Rasulullah SAW kemudiannya memberikan penjelasan dan maksud tepat terhadap perkataan ’sombong’ iaitu ’menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia’.

 

MENOLAK KEBENARAN

Kebenaran bukanlah milik sesiapa. Ia adalah milik semua manusia dan sesiapa yang mengikuti kebenaran adalah orang-orang yang berjaya. Namun begitu wujud segelintir manusia yang mempunyai sifat negatif dan kepentingan tertentu yang menjadikan mereka sanggup menolak kebenaran. Terkadang kebenaran yang dibawa kepadanya adalah terlalu pahit dan tidak sesuai dengan keinginan jiwanya, maka kebenaran itu ditolak dengan pelbagai alasan. Kenapa perlu menjadi musuh kepada kebenaran? Orang sebegini tidak lain dan tidak bukan telah dijangkiti penyakit sombong dan angkuh seperti yang disebut oleh hadith ini. Apa yang menyedihkan, penolak kebenaran akan menjadi golongan yang rugi dunia dan akhirat. Di dunia mereka akan dibenci, di akhirat pula mereka akan diseksa di atas keangkuhan mereka menolak kesucian kebenaran dengan kotoran kesombongan.

 

MEMANDANG RENDAH KEPADA MANUSIA

Siapakah anda dan saya sehingga kita begitu angkuh lalu memandang rendah kepada manusia lain? Inilah keburukan sikap sombong yang menjadikan manusia lupa asal-usulnya. Walaupun manusia berbeza dari pelbagai segi, namun Islam melarang kita memandang rendah kepada manusia lain tanpa sebab yang munasabah. Orang yang sombong akan merasakan dirinya lebih tinggi dari orang lain. Setiap pendapat, pandangan dan cadangan orang lain semuanya dilihat lebih ’rendah’ dan tidak perlu diberikan perhatian. Mereka akan sentiasa mencari jalan keluar untuk menolak pandangan orang lain, walaupun merugikan mereka di dunia dan akhirat!

 

Marilah kita menilai kembali diri kita, adakah kita telah dijangkiti penyakit sebegini buruk – sombong dan angkuh, menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orang lain? Semoga diri kita sentiasa mengikuti kebenaran – walaupun pahit – dan sentiasa merendahkan diri serta menghormati orang lain.