JH-SEJARAH-004- BIODATA IMAM MUSLIM

Primary tabs

Nama penuh beliau ialah Muslim Ibn al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi. Digelar Abu al-Husain.

- Lahir di Naisabur (salah sebuah tempat di Iran) pada tahun 206 Hijrah.

- Mula menuntut ilmu khususnya dalam bidang hadith ketika umurnya belasan tahun.

- Merantau jauh dalam perjalanan menuntut ilmu khususnya hadith.

- Beliau mempelajari ilmu daripada ramai guru. Di antara guru-gurunya yang terkenal ialah Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Ishaq Ibn Rahuyah / Rahawaih, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah, al-Darimi dan lain-lain lagi.

- Beliau juga mempunyai ramai pelajar-pelajar yang datang dari segenap tempat untuk menuntut ilmu daripadanya. Di antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah al-Tirmidzi dan Ibn Khuzaimah.

- Beliau dipuji oleh ramai ulama termasuklah guru-gurunya sendiri seperti Ishaq Ibn Rahuyah yang menyatakan kekagumannya terhadap Imam Muslim sejak beliau masih menjadi penuntut lagi.

- Salah seorang gurunya bernama Muhammad Ibn Basyar telah menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada empat ’Hafiz’ dalam hadith. Mereka ialah – al-Bukhari, Abu Zur’ah, al-Darimi dan Muslim. Ketiga-tiga pakar hadith yang disebut bersamanya (al-Bukhari, Abu Zur’ah dan al-Darimi) juga sebenarnya adalah guru-guru Muslim. Ini jelas menunjukkan kehebatan beliau walaupun masih bergelar ‘penuntut’ ilmu hadith.

- Setelah merantau ke pelbagai tempat dan menulis lebih kurang 300 000 hadith (termasuk kata-kata sahabat dan tabiin), beliau kembali ke tanah airnya dan memulakan penulisan buku Sahih Muslim pada tahun 235H dan selesai menulisnya pada tahun 250H.

- Selain buku Sahih Muslim, beliau turut mengarang buku-buku lain dan antara yang masih kekal dicetak pada masa kini adalah seperti buku al-Tamyiiz yang mengumpulkan hadith-hadith yang dhaif dan cara ulama hadith salaf mengenal pasti kedhaifan pada hadith, al-Kuna wa al-Asma’, al-Munfaridat wa al-Wihdan dan lain-lain lagi.

- Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai ladang yang menjadi sumber pendapatannya untuk menuntut ilmu.

- Meninggal pada tahun 261H. Semoga Allah merahmati beliau.

 

Sumber rujukan:

1-    Syarh ’Ilal al-Tirmidzi – Ibn Rajab al-Hanbali.

2-    Muqaddimah analisis buku al-Ilzamat wa al-Tatabbu’ – Syeikh Muqbil al-Wadi’e.

3-    Manhaj al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

4-    Masodir al-Sunnah wa Manahijuha – Dr. Hatim al-Syarif.

5- Al-Ta’rif Bi al-Imam Muslim wa Kitabihi al-Sahih – Dr. Abd. Rahman al-Sudais