Kenangan Bersama Syuaib al Arnaouth #2

Primary tabs

Oleh alitantawi

tulisan ini adalah sambungan artikel #1 tentang seorang ahli hadith yang berketurunan Albania dan masih hidup di Jordan. semoga Allah memelihara beliau daripada sebarang keburukan....

Setelah mengenali beliau, barulah saya mula mencari, membeli dan membaca buku-buku yang beliau kaji (tahqiq). Tak sangka pulak, inikah syeikh yang buat kuliah di Amman tu? Macam tak percaya pulak. Bukannya apa, mula-mula saya dan rakan-rakan menyangka kuliah tersebut hanyalah dari seorang alim biasa yang tidak dikenali. Rupa-rupanya beliau amat dikenali dalam kalangan ahli akademik dan bukunya juga popular di rantau Arab. Pernah saya berbincang dengan seorang pensyarah bahasa, beliau bertanya kepada saya, ‘dari mana kamu ambil pendapat ini?’ (pendapat saya berlainan dengan pendapat pensyarah tersebut). Apabila disebut nama Syuaib al Arnaouth, terus pensyarah tersebut ‘cool down’. Kata pensyarah itu, ‘saya mempunyai pendapat tersendiri dan pendapat Syuaib al Arnaouth juga kuat, Syuaib al Arnaouth adalah orang yang paling berilmu di Jordan’. Terkejut juga saya dibuatnya. Biasalah tu, orang alim menghormati orang alim.

Kalau ada pelajar-pelajarnya bertanya tentang hadith, selalunya beliau akan menjawab secara spontan berdasarkan ingatannya. Beliau pernah menegaskan bahawa ilmu hadith adalah berdasarkan pengalaman. Beliau sendiri tidak ingat seratus-peratus hadith seperti tertulis dalam buku berserta nombor dan susunannya. Tetapi apabila ditanya tentang sesuatu hadith, beliau boleh mengingatinya semula kerana pernah ‘berinteraksi’ dengan hadith tersebut melalui pembacaan dan kajian. Inilah rahsia kehebatan beliau.

Pernah berlaku satu kisah yang melucukan di mana seorang pelajar yang sedang menyambung Phd datang buat kali pertama dalam kuliah Syeikh Syuaib. Beliau terus ke hadapan dan mencium tangan syeikh. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh Syeikh Syuaib. Rupanya dia tidak diberitahu bahawa syeikh amat tidak suka orang bersalam sambil mencium tangannya. Malu juga penuntut tu, tapi apa nak buat, syeikh pun dah tua. Orang tua ni kita kena bersabarlah dengan gelagatnya. Beliau pernah berkata, kalau ingin menghormati saya, bukan dengan mencium tangan saya, tapi dengan mengambil ilmu dan mengamalkannya.

Ramai di kalangan muridnya adalah pensyarah universiti atau penuntut yang menyambung Master atau Phd. Mulanya terasa hairan, kenapa agaknya seorang pensyarah yang sudah ada ijazah kedoktoran (hinggakan ada yang dapat Phd dalam hadith juga belajar dengan Syeikh Syuaib) ingin datang dan duduk belajar bersama-sama pelajar lain di hadapan Syuaib al Arnaouth? Ditambah pula Syeikh Syuaib tidak ada apa-apa ijazah. Itulah sikap yang patut dicontohi oleh kita di Malaysia. Tuntutlah ilmu pada orang yang berilmu dan jangan ukur ilmu itu semata-mata dengan ijazah dan sijil. Bayangkan, pensyarah hadith tempat kami belajar di universiti rupanya sama-sama menjadi murid kepada Syuaib al Arnaouth!

Dalam mengutarakan pendapatnya dalam fiqh, beliau selalu menegaskan bahawa beliau tidak mahu digolongkan dalam mana-mana puak atau mazhab. Sebaliknya beliau gembira dengan mengikuti jalan para ahli fiqh terutama empat imam mazhab yang terkenal. Ayat yang sering beliau ungkapkan...Alaikum Bitoriqatil Fuqaha..hendaklah kamu melazimi jalan ahli fiqh. Ahli fiqh yang beliau maksudkan ialah para imam mazhab empat yang terkenal. Seringkali beliau memberikan pendapat berdasarkan hujah yang paling kuat di sisi beliau. Mulanya beliau akan memberikan pendapat para ulama terkenal dan kemudian beliau akan menilai kekuatan hujah dan akhirnya memberikan pendapat yang paling rajih.

Beliau sering melarang para pelajarnya daripada taksub kepada beliau. Memang para pelajar yang belajar dengannya memahami dan mereka berani membincangkan kembali pendapat Syeikh Syuaib dan saya pernah menyaksikan Syeikh Syuaib menerima teguran dan pendapat yang berbeza dengan pendapatnya kerana hujah pelajarnya itu lebih kuat. Pernah beliau berbeza pendapat tentang kisah Nabi terdahulu di mana Syeikh Syuaib lebih cenderung kepada pendapat daripada Israiliyyat (yang tidak bertentangan dengan aqidah), maka salah seorang muridnya terus mencelah dengan mengemukakan pendapat ahli tafsir terkenal di Jordan, Dr. Solah Abd. Fattah al Khalidi. Hangat juga perbincangannya. Pada minggu seterusnya, Syeikh Syuaib mengumumkan kepada semua pelajarnya bahawa beliau menarik balik pendapatnya dan mengambil pendapat yang terbaik iaitu tidak mengambil israiliyyat walaupun tidak bertentangan.

Beliau banyak menghafal syair arab dan masih mengingati apa yang dihafalnya sejak zaman remaja. Pernah kelas kami terhenti kerana mendengar beliau mengungkapkan kembali syair-syair yang telah dihafalnya bahkan syair yang dicipta beliau sendiri sempena peristiwa tertentu seperti syair yang beliau cipta semalaman kerana salah seorang gurunya ingin pergi menunaikan haji. belaiu pernah mengeluh sambil tersenyum...kenapa guru-guru kami suruh kami menghafal terlalu banyak syair?. Kadang-kadang beliau menguji para pelajarnya dengan soalan berkaitan arudh (syair) dan juga I’rab (nahu). Bahaya jugak duduk kat depan syeikh!

Beliau pernah berpesan supaya membeli buku-buku karya ulama lain yang popular seperti buku-buku karya Dr. Yusuf al Qaradhawi kerana beliau disifatkan sebagai seorang yang berani mengetengahkan pendapat. Beliau juga pernah berpesan supaya para pelajarnya mengambil hasil kajian Syeikh al Albani. saya sendiri pernah bertanya beliau tentang buku Silsilah (sahihah dan dhaifah) maka beliau menyarankan agar saya berpegang dengan pendapat al Albani dan beliau sering memuji al Albani kerana kesungguhan dalam mengkaji hadith. Sepanjang saya dan para sahabat lain belajar dengan beliau, kami tidak pernah mendengar beliau mengkritik Syeikh al Albani walaupun Syeikh al Albani pernah mengkritik beliau dalam beberapa buah buku seperti Adab al Zifaf, Silsilah dan Sifat Solat al Nabi. Malangnya, segelintir ulama yang mengkagumi Syeikh al Albani telah mengulangi kritikan-kritikan ini dan menyebarkannya tanpa mereka mengiktiraf kehebatan Syuaib al Arnaouth dalam kajian hadith. Mungkin mereka tidak tahu bahawa Syuaib al Arnaouth pernah berkerja bersama Syeikh al Albani dan membantu beliau ketika di Maktab Islami, Syria bersama-sama seorang lagi pengkaji, Abd. Qadir al Arnaouth. Mungkin mereka juga tidak sedar bahawa Syeikh al Albani pernah berterima kasih kepada Syeikh Syuaib kerana membantunya di dalam kajian sanad. Carilah di dalam Silsilah Sahihah. Ada juga yang berkata ‘Syeikh Syuaib tak salafi, jadi kita tak pergi belajar dengan dia’. Balik-balik salafi, tak salafi, salafi, tak salafi. Berpuak-puak sampai tak nak pergi kuliah untuk menimba ilmu! Rugi, alangkah ruginya sesiapa yang bersikap sebegini. Sikap ini mungkin dibawa juga dan diamalkan di kalangan ulama Malaysia pula...ustaz tu salafi, ustaz ni tak salafi. jangan belajar dan jangan ambil pendapat ustaz yang tak salafi. Tak habis-habis berpuak dan berpecah. Mungkin orang yang mengkritik Syeikh Syuaib tidak tahu bahawa ramai ulama dari Arab Saudi memuji dan mengiktiraf hasil kajian Syeikh Syuaib. Bahkan kalau anda melihat buku Musnad Ahmad yang ditahqiq oleh Syeikh Syuaib dan para pelajarnya, anda akan dapati bahawa projek menyiapkan Musnad itu adalah hasil cadangan dan biayaan Kerajaan Arab Saudi di bawah seliaan seorang ulama terkemuka iaitu Syeikh Abdullah al Turki. Mereka yang memilih Syeikh Syuaib untuk melengkapkan kajian tersebut. Inilah pertama kali Musnad Ahmad ditahqiq lengkap setelah Muhaddith agung Mesir, Ahmad Syakir cuba menyiapkannya tetapi tidak berjaya.

Pernah salah seorang penuntut ilmu daripada Madinah yang memang salafi, datang menziarahi beliau dan mengikuti kelas bersama-sama kami. Di hujung kelas, beliau berkata pada Syeikh Syuaib alangkah baiknya kalau syeikh dapat datang dan menetap di Madinah. SYeikh Syuaib hanya tersenyum.

Insya Allah, sekiranya ada lagi kenangan yang terlintas di ingatan, akan saya coretkan di al-ahkam untuk sama-sama menjadi kenangan dan pengajaran.