Kertas kerja Seminar Tafsir al-Quran: Mengenali Imam at-Tabari dan Tafsirnya

Primary tabs

Kertas kerja Seminar Tafsir al-Quran Anjuran bersama IRF - IIUM - al-ahkam.net
Tajuk: Mengenali Imam at-Tabari dan Tafsirnya
Oleh: Ustaz Adlan Abdul Aziz, Ketua Jab. Hadis al-ahkam.net
Seminar berkenaan telah diadakan pada hari Sabtu, 7 Ogos 2010, Masa: 0830 H - 1330 H

Download file pdf


MENGENALI IMAM AL-TOBARI DAN TAFSIRNYA

Adlan Bin Abd. Aziz

PENGENALAN

Ilmu tentang tafsiran Al-Quran bermula seawal turunnya Al-Quran itu sendiri sebagai wahyu yang memberikan panduan untuk seluruh manusia. Sekiranya disoroti sejarah pentafsiran Al-Quran, pasti kita akan temui soal jawab yang berlaku antara Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. tentang maksud dan huraian atau tafsiran beberapa ayat daripada Al-Quran. Sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w., sudah pasti terdapat keperluan dan hajat dalam kalangan umat Islam untuk memahami ayat-ayat Al-Quran lalu para sahabat r.a. merupakan tempat rujukan terbaik untuk tujuan ini. Begitulah yang berlaku sepanjang zaman – keperluan terhadap huraian Al-Quran diimbangi dengan kewujudan segolongan dari kalangan cerdik pandai muslimin yang mampu dan berkelayakan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Syukur kepada Allah SWT, segala khazanah tafsiran dan huraian terhadap Al-Quran ini telah terpelihara dan sampai kepada kita melalui siri penulisan yang menyeluruh dan tersusun iaitu – buku-buku tafsir yang diwarisi sejak dahulu hingga kini. Di antara yang berada di barisan hadapan buku-buku agung ini ialah Tafsir al-Tobari. Secara ringkasnya, adalah umpama satu kerugian jika umat ini langsung tidak mengetahui sedikit sebanyak tentang kehebatan dan kepentingan buku agung dari imam yang agung sebegini. Mari kita bersama menelitinya walaupun sekadar secebis dari ilmu sejarawan dan ahli tafsir terkemuka umat ini.

IMAM AL-TOBARI Nama penuh: Muhammad Bin Jarir Bin Yazid Bin Kathir Bin Ghalib Gelarah : Abu Ja’far Tempat Lahir: Tabaristan Tarikh Lahir:224 Hijrah Tarikh Wafat: 310 Hijrah Perjalanan Ilmu:

Menurut beliau sendiri, permulaan dirinya dalam menguasai ilmu-ilmu Islam bermula sejak beliau selesai menghafaz Al-Quran iaitu pada umur 7 tahun. Ketika berumur 8 tahun, beliau telah mula mengimamkan solat dan beliau mula mempelajari hadith-hadith Rasulullah s.a.w. ketika berusia 9 tahun. Pengembaraannya dalam ilmu bermula pada usia 20 tahun dan meliputi banyak negara serta bertemu dengan ramai tokoh ilmuan Islam. Walaupun beliau lebih dikenali sebagai ahli tafsir, namun suasana ilmu pada zaman itu sebenarnya memerlukan mana-mana ilmuan Islam agar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu-ilmu Islam yang penting seperti Tafsir, Hadith, Fiqh, Qiraat, Sejarah, Bahasa Arab dan sebagainya. Tidak hairanlah Imam al-Tobari digelar oleh sebahagian ahli ilmu sebagai Mujtahid Mutlaq iaitu pakar dalam mengeluarkan hukum dan mahir dalam ilmu-ilmu asas Islam. Beliau menghabiskan penghujung hayatnya dengan mengajar dan menulis sepenuh masa.

TAFSIR AL-TOBARI

Imam al-Tobari menulis dalam pelbagai bidang ilmu yang berlainan dan kesemuanya merupakan penulisan yang ilmiah dan diiktiraf oleh ilmuan Islam zaman berzaman. Namun begitu di antara penulisan itu, terdapat dua daripadanya yang amat terkenal dalam kalangan penuntut ilmu Islam iaitu:

a) Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau Tarikh al-Rusul wa al-Mulukyang

lebih dikenali dengan Tarikh al-Tobari. Ia merupakan buku sejarah

yang amat penting merekodkan banyak maklumat.

b) Tafsir al-Tobari atau nama penuhnya : Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran. Melihatkan kepada tajuk penuh Tafsir al-Tobari sahaja sudah dapat memberikan sedikit gambaran tentang bentuk penulisannya dalam tafsir.

Perkataan ‘al-Jami’ yang digunakan beliau bermaksud ‘pengumpul atau yang mengumpulkan’ sudah memberikan kita sedikit kefahaman bahawa beliau ingin mengumpulkan apa sahaja yang beliau temui tentang tafsiran ayat-ayat Al-Quran.

PENEMUAN MANUSKRIP TAFSIR AL-TOBARI

Sejak mula menyusun Tafsir ini, Imam al-Tobari membacakannya kepada para pelajarnya dan mereka menyalin apa yang didengari daripada beliau. Sejak itu, ia diwarisi kepada generasi berikutnya dengan cara membacanya dan menyalinnya. Di antara nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada kita ialah penemuan manuskrip Tafsir al-Tobari setelah ia hilang dalam beberapa ketika. Ia ditemui kembali di Najd, Arab Saudi dan berada dalam simpanan sebilangan pemimpin dan orang bangsawan ketika itu. Setelah ditemui, ia dicetak beberapa kali dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Di antara cetakan yang menjadi sebutan ialah cetakan dengan semakan oleh Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Mahmud Syakir . Namun begitu ia tidak lengkap sepenuhnya di atas sebab-sebab teknikal. Ia dicetak beberapa kali tetapi ada yang tidak lengkap dan mengandungi kesilapan. Cetakan lain yang juga menjadi rujukan ialah cetakan di bawah seliaan Dr. Abdullah al-Turki (2001) dan ia merupakan di antara yang terbaik sekadar pengetahuan penulis. Ini kerana Dr. Abdullah al-Turki telah menggunakan pelbagai manuskrip yang ada dan membuat perbandingan. Beliau juga menggunakan manuskrip yang ditulis pada hujung kurun keempat Hijrah dan paling hampir dengan penulis asal iaitu Imam al-Tobari

KEUNIKAN TAFSIR AL-TOBARI DAN KEPENTINGANNYA

Secara ringkas, terdapat beberapa perkara penting yang menunjukkan kepentingan dan keunikan buku Tafsir al-Tobari pada penuntut ilmu Tafsir dan juga ilmu yang lain. Di antaranya ialah:

1-Merupakan buku tafsir yang paling tua ditemui dan dicetak dengan lengkap. Kedudukannya ditulis pada zaman awal amat penting kerana ia hampir dengan zaman kegemilangan Islam peringkat awal iaitu tabiin dan sebelumnya para sahabat yang merupakan sumber utama tafsiran dan huraian ayat-ayat Al-Quran.

2-Maklumat yang dikumpulkan tentang tafsiran dan ayat-ayat Al-Quran terlalu banyak meliputi segala sumber yang berkaitan seperti hadith-hadith, huraian para sahabat, tafsiran para tabi’in, kisah dan riwayat daripada bahan-bahan sejarah serta pelbagai lagi sumber yang kebiasaannya akan diringkaskan dalam buku-buku tafsir lain.

3-Para ulama tafsir seakan sepakat semuanya bahawa bukan sahaja buku ini merupakan di antara buku tafsir yang paling awal ditulis, tetapi ia juga disusun dengan susunan yang unik dan tidak pernah dibuat oleh ulama tafsir sebelumnya. Beliau menggabungkan tafsiran dengan riwayat (hadith atau kata-kata sahabat dan tabiin), tafsiran dari segi bahasa Arab, dan juga ijtihad akal seorang ahli tafsir.

4-Maklumat dan perkara yang tidak berkaitan secara langsung tentang tafsiran Al-Quran tetapi penting dan sedikit sebanyak membantu pembaca memahami apa yang disampaikan juga dimuatkan oleh Imam al-Tobari. Contohnya adalah seperti perbincangan tentang alam, bahasa, peristiwa sejarah, hukum fiqh dan lain-lain lagi.

5-Setiap kata-kata sama ada hadith, tafsiran sahabat, pendapat tabiin atau sesiapa sahaja akan disebutkan dengan rantaian periwayat dan bukti bahawa beliau mengambilnya dari sumber yang ditemui, bukan dari sumber yang tidak diketahui. Ini amat penting untuk pengkaji dan ahli tafsir selepasnya untuk mengenal pasti asal-usul setiap pendapat dan tafsiran.

6-Ulasan yang diberikan oleh beliau dalam tafsiran tertentu juga amat penting kerana ia melambangkan ulasan seorang pakar dalam pelbagai ilmu Islam dan setiap pandangannya merupakan khazanah ilmu yang sukar ditandingi oleh sesiapa pun selepasnya.

7-Bahasa yang beliau gunakan di dalam tafsirnya merupakan sumber rujukan bagi pakar bahasa kerana beliau amat dikenali dengan kepakarannya dalam pemilihan perkataan dan penggunaan gaya bahasa terbaik sesuai dengan zaman beliau iaitu zaman kegemilangan ilmu-ilmu Islam.

Ini hanyalah sebahagian daripada tajuk-tajuk kecil yang mampu saya gunakan untuk meringkaskan keunikan dan kepentingan Tafsir al-Tobari. Sudah pasti untuk saya dan anda mengetahui dan melihat secara mendalam tentang keunikan dan kepentingannya, tidak ada cara lain melainkan dengan membaca sendiri tafsiran dan huraian yang dicoretkan sendiri oleh tangan seorang ilmuan agung bernama Imam al-Tobari.

Wallahu a’lam.