Penolakan kaedah hasan ligharih di sisi imam attirmidhi adalah dhaeif di sisi Ahmad

Primary tabs

Posted by : kristalz

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى اله وصحبه وسلم تسليما كثيرا

اما بعد:

Sebenarnya timbul beberapa pertanyaan dalam diri apabila melihat beberapa kalimah yang terbit daripada beberapa syeikh pentahqiq kurun ini yang seolah2 mengurangi kekeredebilitian gergasi-gergasi para huffaz dan muhaddisin muktabar terdahulu.

Kita biasa mendengar perkataan seperti ‘imam Ahmad mutasahil dalam mengeluarkan hadith dalam musnadnya’ ataupun perkataan yang mutlak seperti ‘alhakim adalah mutasahil’ atau sperti ‘alhakim atau al’ejli adalah makruf mutasahil dalam mentausiqkan perawi majhul’’ dan sebagainya.

 

Kita bukan menyalahkan atau prejudis terhadap para allamah pentahqiq2 ini dengan sikap kritis mereka dalam mngkritis dan menyucikan apa yang mreka rasa perlu disucikan akan tetapi kita sedikit sebanyak tertanya-tanya sejauh mana ketepatan kata2 mereka.

Kalau mereka ini biasanya kita melihat selalu menyeru kepada tahqiqan dan pentarjihan  serta menjauhi taqlid membuta tuli maka risalah ini adalah sebagai sahutan kepada laungan allamah2 tersebut yang kita tidak pun meremehkan keilmuan mereka.

 

Persoalanannya sekarang bagaimana caranya kita menerima kritikan2 tersebut?.. samaada dengan membuta tuli juga atau kita pun mempunyai hak mngkritis atau paling tidak pun kita boleh membandingkan kritisan2 antara mereka agar kita berada di pihak yang lebih sederhana.apatah lagi jika ia berkaitan dengan peninggalan ilmiah dari para ilmuan terdahulu yang tak mungkin kita jumpa lagi manusia seperti mereka.

 

Adapun risalah ini adalah berkaitan dengan satu petua yang baru tercipta di kalangan mutaakkhirin yang tiada bukti dan hujjah yang nyata bahkan semata-mata taqlid dari beberapa perkataan ulama terkemudian tanpa kritisan dan pendetailan dari hujjah mereka sendiri.

Alhamdulillah.. Allah Ta’ala telah mentaqdirkan beberapa ulama untuk menafikan kekeliruan mereka ini dengan hujjah yang nyata dan menenangkan ummah.

 

Petua yang dimaksudkan itu dan baru diwujudkan serta semakin makruf dikalangan beberapa aliran penuntut ilmu hadith iaitulah :

-al-hasan lighairih di sisi Imam Attirmidhi adalah dhaief di sisi Imam Ahmad. 

Walaupun ketiadaan dalil yang jelas bagi dakwaan tersebut tapi nampaknya telah menular sehingga disebutkan oleh seorang saudara seagama bahawa petua itu dijadikan kaedah dalam kitab ulum hadith yang dipelajarinya.

 

Oleh itu, artikel ini adalah khusus untuk menolak petua yang ‘bid’ah` tersebut yang mana tiada nukilan daripada mana2 ulama besar mutaqaddimin yang mengatakan begitu pun.

Bolehlah dinamakan risalah ini sebagai 

“Al-qaul Almuktamad  fi  Attaqi’ed –alhasan lighairih ‘inda attirmidhi dhaifun ‘inda Ahmad”

 القول المعتمد في التقعيد "الحسن لغيره عند الترمذى  ضعيف عند أحمد

 

Aqulu wabillahittaufiq ….

Bagi ahli ilmu yang biasa melazimi dan meninjau kefahaman feqah ulama2 dahulu melalui karangan dan sirah mereka (ulama itu) samaada mereka itu dari kalangan huffaz muhaddith ataupun faqih mujtahid ataupun yang mengumpul kedua2 sifat ilmu tersebut pasti tidak menyangkal bahawa imam2 muktabar dahulu sepakat ber’amal dengan hadith dhaief yang tidak kuat kelemahannya dalam keadaan mereka mengetahui darjatnya dan bukan dengan kelalaian ( barangkali kita akan menyentuh hal ini dengan lebih terperinci di artikel lain dengan taufiq Allah azza wajalla, ini hanyalah satu fasal dalam perbincangan tentang kefahaman ulama dalam pengamalan hadith dhaief )

 

Akan tetapi pernah dicatatkan di kalangan ulama mutaakkhirin mereka yang pernah mencetuskan kemusykilan tentang hal amalan ulama ummah dengan hadith dhaief ini. Dikatakan di antara kejanggalan Syeikh besar Ibnu Taimiyyah adalah pertikaiannya yang berkaitan dengan penghujjahan Imam Ahmad dengan hadith Dhaief.

 

Berkata Syeikh Ibnu taimiyyah dalam kitabnya “qaedah fi attawassul wa alwasilah” (m/s:82-83) majmu’ al fatawa (1/251) : ((adalah dalam ‘uruf ahmad Bin Hanbal dan ulama yang sebelumnya bahawa hadith terbahagi kepada dua jenis : sahih dan dhaief, . Dhaeief di sisi mereka terbahagi pula kepada dhaief yg ditinggalkan tidak dibuat hujjah, dan juga kepada dhaef yg hasan. Dan orang awal yang diketahui membahagikan hadith 3 bahagian :sahih, hasan, dhaief adalah Abu ‘isa attitmidhi dalam “jami’nya” dan alhasan di sisinya adalah hadith yang berbilang jalurnya, dan tiada pada periwatnya orang yang dituduh dengan dusta dan tidak syazz (janggal).  Hadith begini dan seumpamanya dinamakan oleh Ahmad sebagai hadith Dhaief dan dia berhujjah dengannya, oleh kerana itulah Ahmad memberi contoh akan hadith dhaief yang dibuat hujjah itu dengan hadith ‘amr ibn syuaib dan hadith Ibrahim al-hajari dan seumpama keduanya. Dan sesiapa yang menukilkan daripada Ahmad bahawa Ahmad berhujjah dengan hadith dhaief yang tidak sahih atau hasan maka sesungguhnya dia telah keliru.. ))

 

Pendapatnya ini juga diikuti oleh anak muridnya yang terkenal iaitu Ibnu Al-qayyim dalam beberapa tempat dalam kitab terkenalnya ‘I’lam – اعلام الموقعين` (1/31)

Di antara ahli ilmu kontemporari ang mengikut pendapat ini tanpa kritis adalah syeikh Ahmad Syakir dan juga Syeikh Subhi Soleh dalam kitab ‘ulum hadith dan mustalahnya’ (ms 210,212).

 

Melihat kembali kepada nas ibnu taimiyyah tersebut kita dapati barangkali pertikaian Syeikh Ibnu Taimiyyah itu adalah disebabkan beliau keliru ataupun tidak menyetujui amalan jumhur ahli ilmu dengan hadith dhaief lalu cuba menafikannya daripada amalan imam Ahmad .. berpunca daripada situlah wujudnya konklusinya tersebut iaitulah nas kata-katanya itu.

Secara pastinya dengan nas tersebut beliau telah menyangkal penghujjahan imam Ahmad dengan hadith dhaief secara khusus apatah lagi hendak menjadikannya sebagai usulnya(imam ahmad) pula.

 

Oleh kerana kita berpendapat kebanyakan ahli Ilmu sekarang yang menuturkan petua itu, mereka hanyalah mengulangi gema nas Syeikh Ibnu Taimiyyah jadi eloklah saya nukilkan dengan kefahaman dari beberapa buah kitab ulama yang ada kaitan dengan penolakan terhadap kaedah atau petua tersebut dan kita fokuskan perincian penolakan tersebut terhadap konklusi Syeih Ibnu Taimiiyah sahaja.

 

Sebelum kita mengkaji hal ini secara lebih terperinci lagi eloklah kita imbas secara ringkas mengenai definisi hadith Hasan di sisi Imam Attirmidhi dan Jumhur Ulama agar lebih mudah kita memahami tulisan ini.

 

Hadith Alhasan di sisi Jumhur ulama terbahagi kepada dua:

1-Hasan lizaatih - setiap hadith yang menyempurnai syarat hadith sahih melainkan di dalam hal ‘dhabt arrawi` hadith hasan lizaatih rawinya kurang sedikit dhabitnya yakni kekuatan dan ketelitian hafalan dan penyampaian bagi yang menghafal, dan ketelitian dalam kitabnya bagi yang berhadith melalui kitab. Secara ringkasnya perawinya masih thiqah akan tetapi tahap thiqahnya adalah paling rendah berbanding kethiqahan perawi hadith sahih.

2-Hasan lighairih – secara ringkasnya adalah setiap hadith dhaief yang mempunyai pelbagai jalur riwayat dalam bab yang sama, riwayatnya tiada syaaz dan mungkar serta di kalangan perawinya tiada yang dituduh dengan berdusta juga yang sehukum dengannya.

 

Hadith Alhasan di sisi Imam Attirmidhi.

Berkata Imam Attirmidhi dalam kitab Ilalnya (2/573 –syarah ilal)

((dan apa yang kami sebut dalam kitab ini hadith hasan, maka kami hanyalah bermaksud dengannya hasan isnadnya di sisi kami, setiap hadith yang diriwayatkan yang tiada dalam isnadnya perawi yang dituduh dengan berdusta, dan hadith tersebut tidak syaz, dan juga diriwayatkan selain dari satu wajah/jalan seperti itu juga, maka ia di sisi kami adalah hasan))

-Konklusinya Imam attirmidhi mensyaratkan 3 syarat bagi hadith hasan iaitu :

i-Tiada di dalam sanadnya perawi yang dituduh dengan berdusta juga yang sehukum dengannya seperti pendusta/pembohong.

ii-hadith itu tidak syaz serta yang sehukum dengannya seperti mungkar bagi ulama yang menyamakannya dengan syaz atau mengatakannya lebih teruk daripada syaz.

iii-dan diriwayatkan selain dari satu wajah/jalan

 - Jadi secara umumnya Imam Attirmidhi tidak membezakan di antara hasan lizaatih dan hasan lighairih. Sebagai buktinya terkadang-kadang wujud hukumnya terhadap sesuatu hadith dengan sahih hasan bersama.   contohnya:(hadith sahih hasan atau hadith hasan sahih gharib yang  kami tidak ketahuinya  melainkan melalui jalan ini)

Perbahasan yang mengasyikkan tentang istilah Imam Attirmidhi ini boleh kita lihat di dalam kitab `syarah al-ilal` oleh Imam al hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali.

 

Suka diingatkan di sini bahawa di sana ada juga penggunaan kalimah al hasan oleh Ulama mutaqaddimin dan mutaakhirin yang bukan  merujuk kepada darjat hadith tersebut di segi penerimaannya.

Terkadang  mereka menyebut hasan disebabkan matan itu mempunyai maksud yang baik dan bagus walaupun hadith itu bukan hasan langsung di segi darjatnya.

Terkadang mereka juga mengatakan hasan bagi sanad yang mempunyai keunikannya seperti riwayat al-aqran dan sebagainya walaupun belum tentu sanadnya itu adalah hasan atau sahih di segi darjatnya.

Kalam ulama ini mesti difahami secara betul berdasarkan konteks ayat yang mereka gunakan dan petanda2 lain agar tidak disalahertikan kehendak mereka dalam menggunakan istilah tertentu, lebih2 lagilah bagi ulama mutaqaddimin.

Penghuraian perbincangan hal ini boleh dirujuk kepada kitab2 ulum hadith yang muktabar dan terkenal. Bagi mereka yang baru berjinak dengan ilmu ini disarankan membaca kitab2 moden dahulu seperti `almadkhal ila ‘ilmi al-hadith’ karangan abi mu’az thareq ibn’ewadhallah ibn muhammad.

 

 Pemerhatian terhadap nas Syeikh Ibnu Taimiyyah.

 

1-katanya (adalah dalam ‘uruf ahmad Bin Hanbal dan ulama yang sebelumnya bahawa hadith terbahagi kepada dua jenis : sahih dan dhaief)

-dakwaan pembahagian dan pembatasan seperti ini kepada imam Ahmad dan ulama lain sebelumnya memerlukan bukti dan nas yang jelas. Setakat ini ulama mengatakan tiada nukilan ulama mutakkhirin lain apatah lagi mutaqaddimin yang membenarkan dakwaan sedemikian.

-mengikut pendapat ibnu Taimiyyah ini juga, ummah seolah-olah tidak berhujjah dengn hadith hasan di dalam hukum hakam, mereka hanya berhujjah dengan hadith sahih dalam hukum hakam. Adapun dalam hal targhib dan tarhib dan semua kelebihan amal maka mereka berhujjah dengan hadith hasan.

 

2- katanya (Dhaeief di sisi mereka terbahagi pula kepada dhaief yg ditinggalkan tidak dibuat hujjah, dan juga kepada dhaef yg hasan)

-ini juga dakwaan yang memerlukan kepada penerangan;siapa yang mengatakan begitu dan perlu menyatakan sumbernya dengan jelas pula,bahkan ini dakwaan yang menyalahi reality amalan ummah sejak dahulu.

 

3- katanya (Dan orang pertama yang diketahui membahagikan hadith kepada 3 bahagian :soheh, hasan dhaief adalah Abu Isa Attirmidhi di dalam jami’nya)

-Tiada nukilan dari mana2 ulama sebelum ibnu taimiyyah yang mengatakan bahawa Imam Tirmidhi adalah ulama pertama  yang membahagikan hadith kepada 3 pembahagian tersebut, apatah lagi Imam Tirmidhi sendiri di dalam kitab jami’ dan ilallnya.

 

Ulama mengatakan pembahagian yang 3 ini yang mempunyai pelbagai jenis pula adalah makruf di kalangan ahli hadith sepertimana yg disebutkan oleh Al-khattabi (mati 388)  kemudian Ibnu Assolah (mati 629/643) ( badai’u al-minan fi azzab ‘an al-feqh wassunan ms:1/3).

Mereka menyandarkan `makruf` itu adalah kepada ahli hadith, dan ahli hadith itu bukan Imam Tirmdhi sahaja.

Imam Tirmidhi hanyalah memasyurkan istilah ini padahal istilah ini telah pun diketahui dan digunapakai oleh ulama2 hadith sebelumnya.

 

Berkata Ibnu Assolah dalam ulum alhadith @ muqaddimahnya (ms:36 tahqiq Nuruddin ‘atar) (Kitab Abu Isa Attirmidhi r.a adalah asal dalam mengetahui hadith hasan,beliaulah yang memperjelaskan namanya (mempopularkan hasan) dan banyak menyebutnya dalam jami’nya, dan terdapat (penggunaan nama hasan) dalam pelbagai tempat kalam sebahagian syeikh dan peringkat yang sebelumnya seperti Ahmad Bin Hanbal dan Bukhari dan selain daripada keduanya )

 

Berkata alhafiz Al’iraqi dalam “attaqyid wa al-idhah (ms 46) (sesungguhnya terdapat sebutannya (hasan) di kalangan syeikh2 peringkat sebelumnya juga seperti Imam Assyafie r.a, sesungguhnya dia berkata dalam kitab ikhtilaf alhadith ketika menyebut hadith ibnu Umar “hadith Ibnu Umar musnad hasan al-isnad” dan padanya dia juga pernah berkata “aku mendengar orang meriwayatkan dengan isnad hasan bahawa abu bakra menyebut kepada nabi “….alhadith))

 

Berkata anak muridnya  iaitu Alhafiz Ibnu Hajar dalam ‘annukat ‘ala ibni assolah’(1/428-430)

((adapun Ali Ibn al-madini maka beliau banyak menyifatkan hadith2 dengan sahih dan hasan dalam musnadnya dan ilalnya, maka zahir lafaznya bermaksud makna istilahnya, seolah2 beliaulah Imam perintis bagi istilah ini, dan daripadanyalah Imam Bukhari dan Ya’qub Bin Syaibah dan bukan seorang mengambilnya, dan daripada Bukhari pula Imam attirmidhi mengambil.. ))  

 

4-katanya (dan hasan di sisinya-hadith yang berbilang jalur riwayatnya dan tiada di kalangan perawinya mereka yang dituduh dengan dusta dan tidak pula syaz, maka hadith ini dan seumpamanya dinamakan Ahmad sebagai hadith Dhaief dan dia berhujjah dengannya )

 

Kembali kepada Imam Ahmad dan para ashabnya, makruf di kalangan ulama bahawa Imam Ahmad dan para ashabnya menyebut secara mutlak berhujjah dengan hadith dhaif tanpa mengaitkannya dengan sesuatu jenis sedangkan hadith dhaif itu ada pula pelbagai jenisnya. Yakni tiada nas atau perkataan Ahmad sendiri atau para ashabnya yang jelas mengatakan bahawa mereka hanya berhujjah dengan hadith dhaief yang mempunyai pelbagai jalur seperti dakwaan Syeikh Ibnu Taimiiyah tersebut.

Hadith Dhaif yang dijadikan hujjah oleh Imam Ahmad dan para ashabnya ada beberapa bentuk.

Yang pertamanya adalah yang perawinya lemah dan bersendirian pula meriwayatkannya. Hadith begini tidak menyamai hadith hasan lighairih di sisi Attirmidhi yang mensyaratkan berbilang jalur riwayatnya dan tiada perawi yg dituduh dengan dusta dan syazz. Lihat  muqaddimah ibnu solah m/s 30 dan kitab ilal attirmidhi .

 

5-katanya ((oleh kerana itulah Ahmad memberi contoh hadith dhaief yang beliau berhujjah itugan hadith ‘amru bin syuaib dan hadith Ibarahim alhajari dan seumpama keduanya, dan sesiapa yg menukilkan daripada Ahmad bahawa Ahmad berhujjah dengan hadith dhaief yang bukan sahih dan bukan hasan maka dia telah keliru…)

 

Berkata Muhaddith Mahmud Saed (atta’rif bi auhami man qassama as-sunan ila sahih wa dhaief  1/150-151) : “Ini adalah peralihan penjelasan ibnu taimiyyah daripada hasan lighairih yng mempunyai jalur pelbagai kepada hasan lizaatih. Oleh kerana beliau tidak mampu hendak membuktikan kesahihan dakwaan pertama iaitu :(alhasan lighairih di sisi attirmidhi adalah dhaief di sisi Ahmad) beliau beralih pula kepada hasan lizaatih., dan aku tidak mendapatinya melainkan kecacatan dalam pertimbangan, seolah-olah beliau berpendapat pula bahawa penghujahan Imam Ahmad dengan dhaief yang bersendirian itu adalah juga penghujahan dengan hasan lizaatih di sisi Imam Tirmidhi.”

 

Lalu Ibnu Taimiyyah memberikan contoh dakwaannya itu dengan hadith amru syuaib dan hadith Ibrahim al-hajari. Barangkali ini sekuat2 contoh yang beliau ketemui kerana kalau wujud contoh lebih jelas dan kuat pasti beliau akan bersegera menghadirkannya untuk menyokong dakwaannya itu.

 

Akan tetapi Nas-nas Imam Ahmad mengenai dua perawi itu adalah bertentangan dengan pendapat Ibnu taimiyyah dan menggugurkan langsung dakwaannya.

 

Amr ibn Syuaib

Dalam kitab (bahr addam fi man takallama fiihi al-imam ahmad bi madh au zam )(raqm 762): (dan berkata al-maimuni daripada Ahmad : ia mempunyai manakir, Ia hanya ditulis hadithnya untuk diambil perkiraan, ada pun untuk dibuat hujjah maka tidak)

-Perawi itu ditajrihkan oleh ahmad dengan keterangannya iaitu : ia mempunyai manakir, perawi begini hadithnya adalah hujjah bersama hadith lain, adapun ketika bersendirian maka adalah dhaief.

Begitu juga kata al-athram rujukan yang sama : ((Ahmad ditanya tentang ‘amr bin syuaib, lalu dia menjawab : barangkali/terkadang kami berhujjah dengannya, dan barangkali kami rasa sesuatu tentangnya di dalam hati kami ))

 

Yang suka ditegaskan di sini bahawa mana2 perawi yang ditulis hadithnya untuk diperkirakan (I’tibar) maka hadithnya dhaief di sisi huffaz mutaqaddimin dan mutaakkhirin. Dalam kes amr bin syuaib ini seperti yang dijelaskan oleh nas Ahmad, haditnya adalah dhaief jika bersendirian.

Hadith amr bin syuaib juga tidak mungkin berdajat hasan lizaatih di sisi Imam Attirmidhi. (peringatan: ulama khilaf mengenai istilah hasan di sisi attirmidhi, yang masyurnya Imam attirmidhi hanya mengenali hasan lighairih sahaja)

 

Ibrahim Al-hajari-ibnu Muslim al-kufiyyu

Berkata Ibnu Ma’in : (( hadithnya tiada sesuatu ))

Abu Azzur’ah : ((dhaief))

Abu Hatim : (( dhaief hadith, munkar alhadith ))

Albukhari : (( mungkar al-hadith)

Attirmidhi : (( lemah dalam hadith ))

Annasaie : (( mungkar al-hadith ))  (( tidak thiqah dan tidak ditulis hadithnya))

Al-hakim : (( ia tidak kuat di sisi mereka ))

Abdullah ibnu Ahmad daripada bapanya  : (( adalah alhajari itu memarfu’kan hadith dan melemahkannya ))

Berkata Imam Ahmad padanya : ((adalah alhajari itu memarfu’kan hadith dan melemahkannya ))

Dalam al-kasyif (206) : ((lemah))

Dalam attaqrib (252) : ((layyin memarfu’kan yang mauquf))

 

Perawi Ibrahim Al-hajari tersebut  ditajrihkan oleh Imam Ahmad dengan penjelasannya bahawa lemah dan memarfu’kan hadith yang mauquf. Perawi seperti ini ditulis hadithnya dan dilihat dahulu, jika dia bersendirian maka hadithnya adalah dhaief di sisi semua ulama mutaqaddimin dan mutakkhirin sama sahaja.

Konklusi daripada sejumlah nukilan tersebut menjelaskan kepada kita bahawa perawi tersebut adalah lemah di sisi Imam Ahmad juga di sisi ImamAttirmidhi.

 

Jadi bagaimana kita boleh menerima dakwaan bahawa “Dhaief di sisi Ahmad adalah Hasan di sisi Attirmidhi” dengan hujjah yang tertolak tersebut dan dijadikan kaedah pula??

 

Sebagai contoh lagi bolehlah kita lihat tindakan Ibnu Taimiyyah dalam `ibthal at-tahlil’ (3/243  al-fatawa al-kubra):

(tentang ‘Uthbah Bin Humaid Addhabbi al-basari) Imam Ahmad berkata padanya : Dhaief dan tidak kuat, akan tetapi Ahmad bermaksud dengan `tidak kuat` ini bahawa perawi itu di kalangan mereka yang tidak disahihkan hadithnya bahkan dia di kalangan yang dihasankan hadithnya. Sesungguhnya mereka menamakan hadith seperti ini dengan dhaief dan mereka berhujjah dengannya sebab ia adalah hasan disebabkan hadith ketika itu tidak dibahagikan melainkan kepada sahih dan dhaief ))

 

Ahmad mengatakan perawi itu adalah dhaief dan tidak kuat, dan manusia tidak menyukai hadithnya (attahzib 7/96) dan al-jarh wa atta’dil (6 / 2042)

Lafaz Ahmad seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Taimiyyah itu pun sudah jelas bagi mana2 ahli hadith bahawa beliau berpendapat hadith perawi tersebut adalah dhaief. Hal ini dijelaskan oleh Imam Azzahabi dengan komentarnya : dia dilemahkan oleh Ahmad (al-kasyif 3663)

 

Akan tetapi kita melihat Ibnu Taimiyyah menutup mata daripada kalimah ‘lemah` dan memfokuskan perkataan `dia tidak kuat` untuk menguatkan dakwaannya yang rapuh tersebut sedangkan nas Imam Ahmad itu jelas melemahkannya dan begitulah semua ahli hadith memahami nas begitu adalah hukuman terhadap kedhaiefan perawi tersebut.

 

Nas-nas Imam Ahmad sendiri dan para ashabnya menyalahi dakwaan Ibnu Taimiyyah.

 

Tiada syak lagi bagi ahli ilmu yang rajin memantau bahawa terdapat banyak nas dari Imam Ahmad dan para ashabnya yang menyebut penghujahan dengan hadith dhaief yang pada isnadnya wujud perawi dhaief, yang hadith tersebut tidak diriwayatkan dengan jalur yang selainnya atau pada isnadnya ada inqito’ –putus- .

 

Di sini kita nukilkan beberapa contoh dari kitab `Azzab ‘ani Assunnah.. “

 

1-Almusawwadah (m/s 273,276) : alqadhi ‘ayadh menyebut tentang kalam Ahmad dalam hadith dhaief dan penghujahan dengannya. Dinukilkan oleh al-athram : ((aku melihat bapa Abdullah mengambil hadith itu jika hadith daripada nabi s.a.w itu pada iisnadnya ada sesuatu dan tiada khabar lain yang lebih thabit daripadanya, seperti hadith Ibrahim Al-hajari dan Amr Bin syuaib, dan barangkali beliau ambil hadith mursal jika tiada khabar yang khilaf dengannya ))

-contoh dua perawi ini telah pun kita sentuh di perbahasan lalu.

 

2-Berkata Abdullah bin Ahmad : (( aku berakata pada bapaku : apa pendapat engkau tentang hadith rib’iy ibn hurrasy? Dia menjawab : apakah itu hadith yang diriwayatkan oleh AbdulAziz Ibn Abu rawwad? Aku menjawab :ya . Dia menjawab pula : tidak (tidak berhujjah) hadith2 lain bertentangan dengannya, sesungguhnya hadith itu diriwayatkan oleh huffaz daripada rib’iy daripada lelaki yang tidak mereka sebut namanya. 

Berkata Abdullah lagi : aku berkata : (akan tetapi ) sesungguhnya engkau menyebut hadith itu di dalam musnad?

Jawab Ahmad : “Aku bermaksud mengumpul hadith yang masyur di dalam musnad dan akan biarkan manusia di bawah tutupan Allah, kalau aku mahu memperinci apa yang sahih di sisiku nescaya akan tidak akan meriwayatkan di dalam musnad ini melainkan sesuatu selepas sesuatu (sedikit), akan tetapi wahai anakku engkau tahu jalanku dalam hadith, aku tidak akan menolak hadith yang dhaief jika tiada dalam bab itu sesuatu perkara yang boleh menolaknya (hadith dhaeif tersebut)”.))

-Berkata Imam Ahmad tentang hadith AbdulAziz Ibn Abu rawwad : (( laisa hadithuhu bisyai’ )) yakni tiada apa-apa- ini satu  lafaz yang bermaksud tajrih ,melemahkan perawi tersebut. Lihat `Bahru Addam` (raqam 629)

 

3-Al-athram berkata : (( aku  mendengar Abu Abdullah berkata : “jika dalam masaalah itu wujud hadith nabi maka kami tidak akan mengambil pendapat seseorang daripada sahabat ataupun orang selepas mereka yang bertentangan dengan hadith itu, dan jika dalam permasaalahan itu ada pendapat bertentangan daripada para sahabat nabi maka kami akan memilih daripada pendapat2 mereka dan kami tidak keluar daripada pendapat mereka kepada pendpat orang selepas mereka, dan jika tiada khabar daripada nabi dan para sahabatnya dalam masaalah itu maka kami akan memiliah daripada pendapa2 tabien, dan barangkali hadith daripada nabi itu ada sesuatu pada isnadnya maka kami mengambilnya juga apabila tiada khabar lain yang lebih kuat daripadanya, dan barangkali kami mengambil hadith mursal jika tiada khabar lain yang lebih kuat daripadanya ))  

3-Syarah Al-kaukab al-munir (2/573) : berkata al-khallal : ((mazbabnya (Ahmad) bahawa hadith dhaief itu jika tiada khabar yg berlawan dengannya maka dia mengambilnya. Dia berkata dalam kes kaffarah menyetubui wanita haid- mazhabnya dalam hadith, walaupun hadith itu mudztharib dan tiada yang bertentangan dengannya maka dia berhujjah dengannya., dan berkata Ahmad –dalam riwayat abdullah- jalanku, tidaklah aku bertentangan dengan hadith yg dhaief jika tiada apa2 dalam bab itu yang boleh menolaknya))

-Nas tersebut jelas membuktikan bahawa Imam Ahmad berhujjah dengan hadith mudztharib iaitu sejenis hadith yang lemah di kalangan mutaqaddimin dan mutaakkhirin.

-Tidak pernah pun seorang ulama mengatakan bahawa hadith mudztharib adalah hasan di sisi Imam attirmidhi. Sebarang dakwaan mestilah dengan dalil.  

Menolak dakwaan Ibnu Taimiyyah dengan penghujjahan Imam Abu Dawud dengan hadith Dhaief.

Tindakan Imam Abu dawud meriwayatkan hadith dhaief di dalam sunannya adalah masyur disebabkan mazhabnya adalah beramal dengan hadith dhaief di dalam hukum hakam kerana mengikut method syeikhnya Imam Ahmad.

Abu Dawud adalah murid Imam ahmad yang paling dekat.

Dalam ‘Risalah Abi Dawud’ (m/s 37 ) ada kenyataannya yang menegaskan bahawa setiap kelemahan yang bersangatan di dalam kitabnya beliau telah terangkan dan apa yang beliau diam tidak memberi komen maka hadith tersebut adalah ‘soleh’ .. soleh inilah di antaranya ada yang bersanad dhaief dan baginya itu masih soleh dan sesuai dibuat hujjah sandaran.

 

Najmuddin Atthufi meriwayatkan daripada ibnu taimiyyah bahawa dia berkata : ( aku telah memerhatikan musnad Ahmad, aku mendapatinya selaras dengan syarat Abi dawud )  (annukat ‘ala ibn Assolah -1/438)

 

Ulama mengatakan dalam kitab musnad terdapat hadith2 hukum hakam yang sanadnya lemah dan sangat lemah. Contohnya seperti Ibrahim bin Abi allaith yang didustai oleh Ibnu Ma’in., Alhusain Bin  Abdullah bin dhumrah alhumairi yang didustakan Imam Malik, abdul wahid Bin zaid al-qas yang dikatakan oleh bukhari ‘mungkar al-hadith’ dan selainnya.

Kesimpulannya takhrij imam Ahmad akan hadith mereka tadi walaupun beliau mengetahui tahap darjat mereka itu adalah menunjukkan itu adalah methodnya yang mengatakan `soleh` atau sesuai dijadikan hujjah walaupun mengandungi kelemahan.

Apabila Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa dia mendapati syarat musnad adalah selaras dengan syarat Abi Dawud maka seolah2 dia telah menolak dakwaannya sendiri.  

Berkata Imam Assakhawi di dalam ‘Fath al-mughis’ (1/96) : ((…… Abu Dawud mengikut mengikut pada demikian itu (yakni pada berdiam terhadap hadith dhaief dalam kitabnya disebabkan hadith itu soleh dibuat hujjah) akan syeikhnya Imam Ahmad,

sesungguhnya kami riwayatkan daripada jalan Abdullah Bin Ahmad dengan isnad sahih, dia berkata : aku mendengar bapaku berkata ‘ Hampir engkau tidak melihat orang yang melihat dalam pendapat melainkan di dalam hatinya ada kerosakan dan hadith dhaief adalah lebih aku sukai daripada pendapat, 

kata lagi abdullah : aku bertanyakannya tentang seseorang yang berada di sebuah negeri yang tiada di dalamnya melainkan si empunya hadith yang tidak tahu mana yang sahih dan mana yang berpenyakit, dan juga terdapat empunya pendapat sendiri, maka di antara dua orang tadi manakan dia patut bertanya ?,

jawab Ahmad :” dia bertanya empunya hadith dan tidak bertanya empunya pendapat “))

 

Kalam Imam As-sakhawi menolak kemusykilan Ibnu Taimiyyah

Berkata Assakhawi di dalam `fath al-mughith` (1/97) : (( bahawa sebahagian mereka menafsirkan kalam Ibnu Mandah bahawa beliau bermaksud dengan dhaief di sini adalah hadith al-hasan itu adalah penafsiran yg jauh.

Sedangkan Kalam Imam Ibnu Dawud dalam risalahnya yang menyifatkan kitabnya kepada ahli mesir mengisyaratkan sebaliknya (yakni dhaief yang dimaksudkan adalah dhaief yg merujuk kepada  istilah yang difahami semua) ))

 

-Sebahagian ulama pernah menegaskan bahawa tiada pun nukilan dari mana2 manusia secara langsung atau isyarat yang mengatakan bahawa dhaief di sisi Abu Dawud adalah Hasan Di sisi Attirmidhi.

-Sebelum ini kita telah ketahui daripada kalam Ibnu Taimiyyah sendiri yang mengatakan bahawa syarat dalam musnad Ahmad adalah selaras dengan syarat sunan Abu Dawud. Jadi apabila telah terbukti bahawa wujud hadith dhaeif di segi istilahnya dalam sunan abi dawud maka nyatalah dhaief itulah juga yang dirujukkan dalam musnad Imam kerana method mereka adalah serupa apatah lagi Abu Dawud adalah murid Imam Ahmad yang paling khusus. *

*walaupun darjat hadith2 dalam sunad Abi Dawud adalah lebih tinggi secara umumnya berbanding Musnad Imam Ahmad seperti yang disebutkan oleh sebahagian ulama.

 

Kemusykilan Ibnu Taimiyyah tertolak dengan Usul Mazhab Imam Ahmad

Usul Imam Ahmad kalau dirujuk di dalam kitab-kitab tarikh Tasyri’ yang biasa kita belajar sejak di bangku menengah bawah jelas menyatakan bahawa usulnya yang ke-4 adalah mengambil khabar mursal dan hadith dhaief.

Untuk perincian lagi eloklah dirujuk kitab2 muktabar seperti thabaqat abi ya’laa  (2/281-290 ) dan juga kitab I’lam Ibnu al-qayyim (1/28-33)

 

Usul Imam Ahmad secara `tertib berturutan` ada lima

1-Nas daripada Quran dan Sunnah yang thabit

2-Fatawa para sahabat

3-Jika para sahabat berselisih maka dipilih pendapat mereka yang paling dekat dengan nas

4- Mengambil khabar mursal dan hadith dhaief.

5-Qiyas

 

Sunnah di sisi Ahmad dua bahagian:

1-Sunnah thabit, beliau meletakkannya pada usul pertama sama dengan quran

2-Sunnah yang tidak thabit sanadnya, beliau mengakhirkannya kepada usul yang ke empat selepas fatawa sahabat dan pilihan fatawa mereka jika berlaku perselisihan.

 

Usul ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa Imam Ahmad berhujjah dengan hadith dhaief yang beliau sendiri mengetahui darjatnya.

 

Kalaulah sunnah pada usul ke empat itu adalah thabit di sisinya seperti hasan lighairih dan lizaatih maka sudah pasti beliau akan meletakkannya pada usul yang pertama atau tidak pun pada usul yang kedua mengatasi fatawa sahabat dan pendapat mereka!!

 

Orang mazhab hanbali yang mengatakan bahawa alhasan di sisi attirmidhi adalah Dhaief di sisi Ahmad dan berpendapat bahawa Imam Ahmad berhujjah dengan yang thabit sahaja maka tentu dia telah menyalahi usul mazhabnya.

Secara tak langsung dia juga telah menuduh Imam Ahmad mengenepikan sunnah yng thabit dan mendahulukan khabar mauquf dan seumpamanya !!  ketahuilah bahawa Imam Hadith ini tersangat jauh daripada dakwaan rapuhnya itu. Bukankah begitu ?

 

Kalimah Al-Allamah Syeikh Al-Ghumari

 

Muhaddith Syeikh Mahmud saed berkata (Atta’rif biauham…1/160 ) :” berkata syeikh kami al-allamah syeikh Abdullah  Bin Assiddiq alghumari dalam suratnya yang mulia padaku yang bertarikh (17 rabi’u annabawi tahun 1399 h. ) (( dan perkataan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-qayyim : Sesungguhnya Alhasan di sisi Attirmidhi adalah Dhaeif di sisi Ahmad itu bukanlah satu kaedah yang dinaskan dalam mustalah, mereka berdua berkonklusi begitu berdasarkan bahawa mutaqaddimin membahagikan hadith kepada sahih dan dhaief, dan Attirmidhi orang paling awal yang membahagikannya kepada sahih hasan dan dhaief, lalu mereka beristinbat daripada itu dengan mengatakan bahawa Alhasan di sisi attirmidhi adalah Dhaief di sisi Ahmad,  Ini adalah silap dari dua segi :

1-      Sesungguhnya lafaz al-hasan datang dalam kalam ‘Ali Ibn Al-madini dan sebahagian mutaqaddimin

2-      Sesungguhnya Attirmidhi pernah menghasankan sejumlah hadith yang berada dalam sahih muslim atau bukhari.

Dan lagi, definisi hadith Hasan di sisi Attirmidhi tidak menyamai definisi jumhur.

Ya terkadang hadith hasan itu dhaief di sisi Ahmad tapi bukan selalu begitu dan itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan kaedah)).  (selesai terjemahan kalam Syeikh Ghumari dengan kefahaman)

 

Sekian …

Wa  bini’matihi tatimmu assolihaat…

2 zulhijjah 1426 hijrah

Monday, January 02 2006

Oleh

Hamba Allah