Semakan Kehakiman Membatalkan Fatwa Mufti WP: Permohohan ESQ Ditolak

Primary tabs

Permohonan ESQ ditolak

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ESQ Leadership Center Sdn. Bhd. (ESQ) supaya diberikan kebenaran untuk membuat semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan berhubung ajaran dan fahaman yang dibawa syarikat itu kerana Mahkamah Sivil tidak terlatih dalam hal-hal syariah.

Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Mohd. Zawawi Salleh dalam keputusannya menolak permohonan itu tanpa memerintahkan sebarang kos atas dasar ia membabitkan isu undang-undang yang berkepentingan dan ia pertama kali dipertikaikan.

Pada 26 Julai lalu, syarikat itu mengemukakan permohonan dengan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mufti Wilayah Persekutuan selaku responden.

Pemohon itu mendakwa mufti Datuk Wan Zahidi Wan Teh pada 17 Jun lalu, telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pegangan serta fahaman yang dibawa ESQ anjuran warga Indonesia Dr. Ary Ginanjar Agustian, dan apa-apa ajaran seumpama dengannya, adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi perkara yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam, selain meminta orang ramai menjauhinya. – Utusan