(Ringkasan Sirah) Ringkasan Fasa Pertama Kehidupan Rasulullah s.a.w.

Primary tabs

Khulasah Nurul Yaqin Oleh Umar Abdul Jabbar | Terjemahan Zainudin bin Yusro (zain y.s)

Ringkasan Fasa Pertama Kehidupan Rasulullah s.a.w. (Untuk hafalan)

  • Sayyiduna Muhammad bin Abdullah dan Aminah al-qurasyi ah merupakan nabi yang terakhir, dan utusan Allah kepada seluruh manusia, agar mereka menyembah Allah yang Maha Esa dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu.
  • Baginda s.a.w. telah dilahirkan di Mekah pada hari Isnin 12 Rabi’ul Awal. Ayahnya telah meninggal dunia sebelum kelahirannya dan dikebumikan di Madinah. Lalu ibunya memeliharanya. Selepas menyusu dengan ibunya baginda s.a.w. menyusu dengan Tsuwaibah al-Aslamiyah, kemudian menyusu dengan Halimatus Saadiah.
  • Ketika baginda s.a.w. berusia enam tahun ibunya meninggal dunia di Abwa'. Kemudian baginda s.a.w. dipelihara oleh Ummu Aiman dan dijaga oleh datuknya.
  • Ketika baginda s.a.w. berusia lapan tahun datuknya meninggal dunia. Kemudian baginda s.a.w. dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.
  • Ketika baginda s.a.w. berusia 9 tahun, bapa saudaranya telah membawanya bermusafir ke tanah Syam. Seorang pendita bernama Buhairah telah melihatnya dan mengenalinya.
  • Ketika baginda s.a.w. berusia 25 tahun baginda s.a.w. telah bermusafir untuk membawa barang dagangan Sayyidah Khadijah.
  • Selepas dua bulan kembali dari permusafirannya baginda s.a.w. mengahwini Sayyidah Khadijah yang ketika itu telah berusia 40 tahun.
  • Ketika berusia 35 tahun, baginda s.a.w. telah bersama dengan kaum Quraisy membina Kaabah. Ketika itu baginda s.a.w. telah mengadili di kalangan mereka di dalam meletakkan Hajar Aswad di tempatnya. Baginda s.a.w. terkenal di kalangan kaumnya dengan sifat-sifat yang terpuji. Mereka Amat menyayanginya dan menghormatinya sehingga mereka menggelarnya sebagai al-amin.
  • Allah telah memelihara baginda s.a.w. dari melakukan amalan amalan jahiliah.
  • Baginda s.a.w. gemar menjauhkan diri daripada manusia ketika usianya hampir mencecah 40 tahun. Baginda s.a.w. beribadah di Gua Hira’ atas agama datuknya Ibrahim.