JH-MANHAJ-004- Belajarlah Menghormati Imam al-Tirmidzi!

Primary tabs

Oleh alitantawi

Dalam kalangan pengkaji hadith atau penuntut ilmu hadith, terkadang kita temui segolongan yang tidak pandai menghargai ilmu ulama hadith terdahulu. Walaupun kita mengakui bahawa wujudnya segolongan pengkaji yang sentiasa menghargai, memandang tinggi dan berusaha memahami pendapat ulama hadith terdahulu, kita tetap perlu mengakui hakikat pahit bahawa wujudnya segolongan yang tidak pandai meletakkan kedudukan ulama hadith terdahulu pada tempat yang sepatutnya.

Dalam artikel ringkas ini, saya ingin menyentuh tentang ‘Pandangan negatif sebahagian penuntut ilmu terhadap pendapat al-Tirmidzi’. Saya tidak menolak keadaan bahawa sebahagian mereka mungkin melakukan perkara ini secara ‘tidak sedar’. Namun walaupun kita bersangka baik terhadap mereka, pendapat mereka tetap perlu ditegur. Maka maafkanlah saya kalau anda terguris dengan kata-kata saya di dalam artikel ini.

Sebahagian penuntut ilmu hadith masa kini memandang al-Tirmidzi dengan pandangan yang berbeza:

1- Ada yang melihat al-Tirmidzi sekadar salah seorang ‘periwayat’ hadith atau penyusun beberapa buku hadith dan bukannya seorang pakar.

2- Ada yang menganggap al-Tirmidzi sebagai salah seorang pakar hadith tetapi tidak sebaris dengan al-Bukhari dan Muslim secara keseluruhan, malah dalam ‘ranking’ yang jauh di bawah.

3- Ada yang menganggap al-Tirmidzi seorang ahli hadith yang mengeluarkan pendapat yang disifatkan sebagai ‘tidak kukuh’ atau ‘tidak muktamad’ lalu pandangannya terhadap kesahihan hadith atau kedhaifannya tidak diambil kira sangat.

4- Ada yang mengambil pandangan al-Tirmidzi jika ia dilihat selari dan sama dengan pandangan ahli hadith moden seperti al-Albani, Abu Ghuddah, Syu’aib al-Arnaouth dan lain-lain lagi. Sekiranya tidak sama, pandangan ulama moden diutamakan.

5- Ada yang menilai pandangan al-Tirmidzi dengan menganggap ia adalah pandangan seorang ‘Imam’ atau ‘Pakar’ dalam bidang ini sebaris dengan para ulama salaf.

Tidak syak lagi saya sebagai penulis artikel ini akan memilih pandangan yang kelima sebagai pandangan yang paling tepat, wallahu a’lam. Kenapa? Saya tidak mahu menjawab dengan teliti dalam artikel yang ringkas sebegini. Insya Allah kalau ada kelapangan, saya akan membentangkan tajuk ini dalam sebuah wacana ilmu agar dapat kita perjelaskan dan huraikan dengan panjang lebar. Namun begitu saya ingin memberikan beberapa maklumat ringkas kepada mereka yang tidak memandang tinggi pendapat al-Tirmidzi dalam hadith:

a) Saya menyarankan agar anda membaca biodata al-Tirmidzi (biodata yang panjang lebar) agar anda mengenali siapakah al-Tirmidzi yang sebenar. Kegagalan sebahagian besar penuntut ilmu hadith menyelidiki biodata ulama hadith silam kadangkala menjadi sebab kenapa mereka tidak begitu mengkagumi ulama, contohnya al-Tirmidzi. Selidikilah keadaan ilmunya, pendapat guru-gurunya terhadapnya, pujian para ulama sepanjang zaman terhadapnya dan lain-lain lagi.

b) Sebelum menolak dengan mentah pendapat al-Tirmidzi (kononnya tidak tepat dan menyalahi kajian hadith moden), fahami dulu maksud istilah beliau dan fahami dulu maksud sebenar kata-katanya. Berulang kali saya pernah sebutkan kepada sahabat-sahabat tentang istilah ‘hadith hasan’ yang seringkali disalah ertikan oleh pengkaji moden. Para ulama salaf menggunakan istilah ‘hasan’ bukan semestinya dengan maksud ‘hadith yang diterima’, tetapi ada yang menggunakannya untuk hadith sahih, hadith hasan (seperti istilah moden), hadith dhaif malah ada yang menggunakannya untuk hadith palsu! Maka janganlah mudah sangat anda berkata ‘hadith ini dhaif, dan al-Tirmidzi tersalah/cuai kerana menyatakan ia hadith ‘hasan’! Siapa yang tersalah atau cuai sebenarnya?!

c) Kenapa perlu kita pandang terlalu tinggi pandangan ulama moden sehinggakan kita ketepikan pandangan al-Tirmidzi? Sedangkan ulama sejak zaman al-Tirmidzi dan selepasnya memandang penting pendapat al-Tirmidzi ketika menilai sesuatu hadith. Saya pernah bertemu dengan penulis dan penceramah yang menyebut sesuatu hadith itu sebagai ‘riwayat al-Tirmidzi, dinilai sahih/dhaif oleh al-Albani’. Alangkah peliknya apabila pendapat al-Tirmidzi diabaikan begitu sahaja! Sekurang-kurangnya dia boleh menyebut ‘hadith riwayat al-Tirmidzi, beliau menilainya sebagai sahih/dhaif, manakala al-Albani pula menilainya sebagai sahih/dhaif’. Tidakkah ia kelihatan lebih ‘beradab’ dan ‘bijak’? Malah apa yang lebih melucukan apabila ada yang menulis tentang hadith riwayat Muslim (yang sudah dinilai sahih oleh Muslim) lalu dinyatakan ‘hadith riwayat Muslim dan dinilai sahih oleh al-Albani’!! Tidak cukupkah lagi penilaian Imam Muslim sehingga perlu dinilai kembali oleh ulama moden? Sedangkan ilmu antara keduanya adalah ibarat langit dengan bumi?

d) Seharusnya pengkaji moden membandingkan al-Tirmidzi dengan ulama-ulama hadith sezaman dengannya atau sebelumnya terlebih dahulu SEBELUM memandang kajian ulama moden. Di manakah slogan ‘menghormati salaf’ yang dilaungkan selama ini?

e) Mereka yang tidak mampu membuat perbandingan sekurang-kurangnya menyebut pandangan al-Tirmidzi dan para ulama lain. Kemahiran menyebut pandangan ulama dan menyusunnya adalah penting dalam proses memantapkan diri untuk menilai kesahihan atau kedhaifan.

f) Sepatutnya para penulis dan penceramah yang mahir membaca buku al-Jami’ karya al-Tirmidzi (dikenali juga dengan Sunan al-Tirmidzi) menyedari bahawa terdapat beberapa cetakan buku al-Jami atau Sunan al-Tirmidzi yang mengandungi kesilapan dan berbeza dengan manuskrip asal. Contohnya terdapat beberapa kesalahan dalam cetakan Sunan al-Tirmidzi di bawah kajian syeikh Ahmad Syakir dan juga cetakan lain. Cetakan yang paling baik sekadar pandangan saya ialah cetakan yang dikaji oleh Dr. Basyar ‘Awwad Ma’ruf, wallahu a’lam. Oleh itu, jangan cepat menyalahkan pandangan al-Tirmidzi sebelum membuat kajian dan mengenal pasti pendapat al-Tirmidzi yang paling tepat.

Akhir kata, saya hanya ingin mengingatkan diri saya dan para pembaca terhadap ungkapan ‘tak kenal maka tak cinta’ kerana ia amat relevan dengan apa yang dikritik melalui artikel ringkas ini. Berhentilah memandang rendah kepada ulama hadith seperti al-Tirmidzi sama ada anda sedari atau tidak!

Selamat membaca!