Perniagaan Pertukaran Asing (FOREX) Haram: Kata Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Primary tabs

KOTA BAHARU, 15 Feb - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Rabu memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing.
Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ini kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.
"Hasil kajian Jawatankuasa ini, kita dapati perniagaan yang melibatkan pertukaran wang asing melibatkan spekulasi mata wang dan ini bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam."

"Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa umat Islam diharamkan daripada mengamalkan sistem perniagaan cara demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 di sini Rabu.
Abdul Shukor berkata banyak isu yang meragukan mengenai perniagaan pertukaran asing, oleh itu umat Islam tidak perlu menceburkan diri, tambahan pula kegiatan itu melibatkan penggunaan internet di kalangan individu, yang menyebabkan untung rugi tidak menentu. [BERNAMA]