KP Jakim jawab isu pegawai Jakim menuduh Syeikh Sudais Wahabi

Primary tabs

Soalan Utusan: Apa pendekatan untuk memastikan adab ikhtilaf ini tidak sehingga menjejaskan perpaduan umat. Contoh terbaru, kedatangan Sheikh Sudais menimbulkan polemik kononnya menyebar luas fahaman wahhabi?

Jawapan KP: Pada hemat saya telahan itu sangat tidak tepat. Sheikh Sudais adalah tokoh agama yang disegani. Kedatangan beliau ke Malaysia tempoh hari adalah sebagai tetamu negara.
Sheikh Sudais adalah orang yang sentiasa kita ingati suaranya apabila kita pergi ke Mekah. Jadi semasa di sini, selain memberi ceramah, ramai yang minta beliau membaca al-Quran untuk mengubat kerinduan mendengar suaranya di Masjidil Haram.

Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sampai melanggar prinsip usul dalam agama. Perpaduan, persepakatan, keharmonian adalah kewajipan yang mesti dijaga.

Saya lihat, semasa di sini, Sheikh Sudais tidak ada berkempen mengembangkan fahaman wahhabi di Malaysia. Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan pun tidak menyebut pun hal itu. Sebab itu, jangan kita suka label melabel orang. Walaupun kita ada ilmu, kita tidak boleh menuduh orang sembarangan walaupun orang itu katakan salah, daripada segi adabnya tidak boleh menuduh.

Saya tidak setuju orang Jakim yang begitu, suka menuduh. Soalnya, adakah kita orang yang amat sempurna? Kita perlu mengambil iktibar daripada akhlak para sahabat dan fuqaha silam yang amat memahami dan mengamal adab dalam berbeza pendapat.

Allah SWT juga telah memberikan formula persepakatan kepada kita semua seperti firman-Nya dalam surah an-Nisa' ayat 59.

Ayat ini memberi satu iktibar yang besar kepada kita semua, iaitu sebarang pertikaian mestilah kita membuat rujukan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Saya suka menyebut begini, jika orang bukan Islam pun kita boleh hormat, apatah lagi orang Islam seperti Sheikh Sudais yang dihormati di seluruh dunia.

Umat Islam hari ini mesti memperkemaskan barisan kesepakatan. Kita punya agenda yang lebih besar, iaitu berfikir dan bertindak untuk membangunkan umat.

Sumber: Klik Utusan Malaysia

Makluman: Untuk makluman semua, di dalam Jakim, terdapat satu unit yang bertanggungjawab memelihara dan memantau isu-isu aqidah iaitu Cawangan Aqidah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Putrajaya. Di bawah unit ini terdapat Panel Kajian Aqidah yang dipengerusikan oleh SS Dato' Mufti Wilayah dan 13 orang panel yang merupakan pensyarah-pensyarah universiti dalam bidang aqidah, falsafah dan pemikiran Islam. Sebarang isu aqidah termasuk Wahabi, Syiah dan lain-lain akan dirujuk kepada mesyuarat Panel Kajian Aqidah sebelum diangkat untuk pengetahuan pengurusan tertinggi Jakim. Oleh itu, orang ramai tak perlu gusar jika terdengar suara-suara sumbang daripada individu tertentu dalam Jakim yang membawa pandangan peribadi yang mengelirukan. Wallahu a'lam.

 

Sumber: mufakkir-islami.blogspot.com