Memiliki Pandangan Kontroversi?

Primary tabs

Artikel Syekh Salman Audah kali ini sangat menarik untuk sama-sama kita renungi, kerana kita adalah salah seorang yang sangat gemar melontarkan sesuatu pandangan yang kontroversi dan sering mempertahankan apa yang kita pegangi. Di dalam masa yang sama kita sangat gemar mengkritik pendapat orang lain dengan cara yang sangat salah. Terima dan ubahlah sikap seperti mana yang telah disarankan oleh Syekh Salman Audah ini walaupun terpaksa memusnahkan tembok keegoan kita.

Syekh Salman mengatakan bahawa adalah perkara yang sangat keji sekiranya  kita tidak mampu untuk menghalusi dan mengkaji secara terperinci dengan apa yang kita pegangi. Kita seharusnya menghabiskan 90% masa kita untuk menghalusi dan mengkaji apa yang kita pegangi dan 10% lagi masa kita adalah untuk mempertahankan dan memperkukuhkan ( dengan hujjah dan dalil ) dari dipertikai oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pendapat kita.

Akan tetapi apa yang biasa kita lakukan?

Ketika mana kita mempunyai sesuatu pemikiran dan pandangan yang penting, kita hanya meluangkan beberapa waktu untuk mengkaji dan menghuraikannya, kemudian kita menghabiskan seluruh hidup kita untuk menyerang mereka yang tidak menerima pemikiran dan pandangan kita. Lantas kita akan membuka keburukan dan rahsia mereka. Lebih dari itu, kita akan memperlekehkan ilmu mereka. 

Apa yang perlu kita lakukan?

Perkara yang perlu kita lakukan ialah dengan mengkaji sesuatu  pendapat dan pandangan baru itu secara terperinci, mencari kepastian dan kebenaran dengan menggunakan seluruh kaedah, cara, teknik dan sebagainya di dalam  masa yang panjang. Selepas itu, memperkukuhkan dalil dan hujjah, membina asas dan memperkuatkannya. Akhir sekali, menyebar dan memperluaskannya serta menyiapkan langkah pertahanan dan perlindungannya. Jika tidak, sesuatu perkara yang sia-sia telah kita lakukan kerana mempertahankan apa yang kita sendiri tidak pasti dan jelas.

Banyak dari usaha dan tenaga kita dihabiskan untuk menyalahi dan menyangah pendapat orang lain. Tidak pernah untuk menghargai apa yang telah mereka lakukan. Kita terlalu mudah untuk menyalahi orang lain. Sedangkan dalam masa yang sama, kita tidak menyumbang apa-apa kebaikan bahkan merosakan usaha yang sedang dijalankan oleh orang lain.

Kesesatan dan kebatilan tidak akan berkesudahan, oleh itu tidak menguntungkan sekiranya kita berterusan mengira dan menghitungnya kecuali memperbaikinya  dengan cara yang betul agar mereka yang melakukan kesalahan tidak keliru dengan apa yang mereka lakukan.  Allah tidak memerintahkan kita untuk menerangkan dan menyingkap kesalahan yang telah dilakukan oleh pesalah.

Kadangkala (selalunya) musuh kita yang buruk ( seperti mana yang kita sangka dan dakwa ) itu memiliki kebaikan yang kita perlu dan hajatkan. Di dalam masa  yang sama kita perlu akui sesuatu kebaikan dan kebenaran yang dibawa oleh mereka.

Lebih parah, kita menjadikan mereka yang tidak menerima pandangan kita sebagai musuh dan akan sedaya upaya mempengaruhi semua orang untuk sama memusuhi mereka


Sumber & Artikel penuh: http://islamtoday.net/salman/artshow-28-127620.htm