Tak Tepat Kata Islam Itu Semata-mata Hujah

Primary tabs

Islam tertegak atas al-Quran dan kekuasaan – Ustaz Hazizi

BANGI, 10 Ogos – Pandangan yang mengatakan bahawa Islam adalah agama hujah dan semestinya ditegakkan dengan hujah serta dilindungi oleh hujah semata-mata adalah satu pandangan yang tidak tepat dan dikhuatiri boleh membawa kepada salah faham masyarakat terhadap hakikat sebenar agama Islam.

“Ini kerana Islam tertegak atas dua tonggak iaitu al-Quran dan Sultan, yakni hujah dan kekuasaan,” menurut Pengerusi Biro Latihan Kepimpinan ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman.

Pengerusi Biro Latihan Kepimpinan ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Abdul RahmanBeliau memetik kata-kata Saidina Uthman bin Affan, “Sesungguhnya Allah melarang dengan kuasa sesuatu yang tidak terlarang dengan al-Quran”. Contohnya al-Quran melarang kita menghampiri zina. Walau bagaimanapun, ada orang yang tidak tertegah dengan al-Quran, lalu dia berzina. Maka oleh sebab itulah Allah Taala menurunkan hukum hudud ke atas penzina.

“Sewaktu fasa Mekah, Rasulullah S.A.W. berjihad dengan hujah dan penerangan. Namun semasa fasa Madinah, setelah baginda berkuasa, baginda berjihad dengan hujah dan kekuatan (undang-undang, penguatkuasaan, peperangan) secara serentak,” tambah Ustaz Hazizi.

Menurut beliau lagi, pihak berkuasa dalam sebuah negara yang dikuasai oleh orang Islam mesti menguatkuasakan undang-undang yang ada agar kemungkaran dan perlanggaran terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah itu dijauhi dan dapat dikurangkan. Itulah antara tugas asasi pemerintah Islam dalam kerangka peranan “Hifzuddin” atau menjaga agama.

“Oleh yang demikian, membandingkan tugas “Nahi Mungkar” yang dijalankan oleh pihak berkuasa Islam dalam negara dikuasai orang Islam dengan tugas pemerintah bukan Islam di negara dikuasai orang bukan Islam adalah satu cara fikir yang berbahaya dan menyeleweng daripada disiplin ilmu syarak kerana menggunakan akal fikiran sesuka hati tanpa merujuk kepada sumber wahyu dan huraiannya terlebih dahulu.”

Pandangan bahawa Islam adalah agama hujah semata-mata ini terbit ekoran tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini dengan alasan melakukan kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam yang melanggar undang-undang di negara ini. [ismaweb.net]