JH-ASAS-004- Kaedah Sahabat Mengelakkan Kesilapan

Primary tabs

Terdapat dua kisah yang hampir sama berlaku pada dua orang sahabat Nabi SAW. Kedua-dua kisah ini telah dicatat oleh al-Bukhari dalam bukunya yang terkenal – Sahih al-Bukhari atau nama sebenarnya al-Jami’ al-Sahih.

Kisah pertama:

Suatu hari Abdullah Ibn al-Zubair (beliau masih kecil ketika Rasulullah SAW masih hidup) telah bertanya kepada bapanya al-Zubair Ibn al-’Awwam (seorang sahabat Rasulullah SAW yang sering bersama Baginda) : ’kenapa saya tidak melihat ayah menyebut hadith daripada Rasulullah SAW berbanding dengan orang lain?’. Al-Zubair menjawab: ’Ketahuilah bahawa aku tidak pernah berpisah daripada Baginda. Tetapi aku pernah mendengar Baginda bersabda: Sesiapa yang berbohong ke atasku dengan sengaja, maka tempahlah tempatnya di dalam neraka’.

Kisah kedua:

Anas Ibn Malik (seorang sahabat Nabi SAW yang menguruskan urusan di rumah baginda) pernah berkata kepada para tabi’in di zamannya: ’Sesungguhnya apa yang menghalang aku daripada bercerita kepada kamu hadith yang banyak tentang Rasulullah SAW ialah kerana Baginda pernah bersabda: ’sesiapa yang sengaja berbohong ke atasku, maka tempahlah tempatnya di dalam neraka’.

KURANG BERKATA, KURANG SALAHNYA

Manhaj para sahabat mengelakkan diri agar tidak tersalah menyebut sesuatu yang tidak sahih berkaitan Rasulullah SAW adalah manhaj yang amat hebat dan amat praktikal untuk dilaksanakan. Walaupun hadith yang disebutkan di atas mempunyai ciri dengan sengaja, namun para sahabat nampaknya lebih memahami hadith itu dari orang lain. Mereka tetap bimbang dan berhati-hati walaupun mereka tahu bahawa kesilapan yang disengajakan adalah berbeza dari kesilapan yang tidak disengajakan. Namun mereka tetap tahu bahawa kesilapan tentang hadith Rasulullah SAW tetap perlu dielakkan. Bagaimana caranya? Antara cara mereka ialah: kurangkan menyebut hadith.

Kalau sekiranya anda seorang penceramah atau pakar motivasi yang ikhlas, anda dapat mengelak daripada melakukan kesilapan menyebut hadith yang tidak sahih dengan hanya satu cara mudah – kurangkan menyebut hadith!

Kalau sekiranya anda seorang guru atau pensyarah di universiti, atau pemberi ceramah atau kuliah, bahkan kalau anda sekadar ’tekong’ ketika berborak, cara untuk mengelak daripada melakukan kesilapan ialah – kurangkan menyebut hadith!

Mungkin ada yang akan bertanya: kalau kita kurang menyebut hadith, bagaimana kita mahu hadith berkembang dan tersebar? Soalan ini mungkin terjawab jika yang bertanya itu berfikir sejenak: manakah yang lebih baik, menyebut BANYAK hadith yang kita tidak pasti sahih atau tidak...atau menyebut BEBERAPA hadith yang kita pasti sahih?

Apa yang pasti, kalau kita sudah terlanjur kata dalam menyebarkan sesuatu yang tidak benar tentang Rasulullah SAW, amat sukar untuk kita membetulkan keadaan tersebut. Maka untuk mengelakkan daripada melakukan perkara yang kita tidak ingini, gunakanlah manhaj sahabat ini iaitu kurangkan menyebut hadith kecuali sesuatu yang benar-benar kita pasti bahawa ia sahih. Untuk mendapat keyakinan itu, perlulah kita melalui landasan ilmu dan kajian. Insya Allah, anda mampu melakukannya.