Pandangan Dr Maszlee Malik Tentang Krisis Di Mesir

Primary tabs

Saya rasa pihak yang menggulingkan kuasa Mohammed Morsi daripada kerajaan sah di Mesir hari ini mereka tahu jika  diadakan pilihan raya yang bersih dan adil, yang memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan secara majoriti pasti yang akan menang nanti ialah Ikhwanul Muslimin.


 

Krisis Mesir: ‘Serpihan Hosni’ bunuh demokrasi

Oleh: Azizul Osman (azizul@abnxcess.com)

PETALING JAYA – Kejatuhan kerajaan pimpinan bekas presiden Mesir, Mohammed Morsi yang dipilih secara sah menerusi proses demokrasi, dipercayai berpunca daripada gerakan kumpulan serpihan Hosni Mubarak.

Pandangan itu disuarakan penganalisis politik Mesir, Dr. Maszlee Malik, yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai sesuatu yang amat malang buat rakyat negara berkenaan.

“Dr Mohammed Morsi walaupun beliau menjadi presiden dan dilantik secara demokratik namun di dalam sistem keselamatan, pihak polis, kehakiman, pihak biroksrasi dan juga ahli perniagaan masih lagi berpihak kepada rejim lama iaitu Hosni Mubarak.

“Jadi mereka ini telah menggagalkan beberapa usaha Mohammed Morsi untuk melakukan perubahan di bumi Mesir,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu kepada ABN News.

Jelas Maszlee, apa yang terjadi di Mesir adalah pencabulan sistem demokrasi, penafian terhadap hak dan aspirasi rakyat memilih pemimpin pada pilihan raya presiden tahun lalu.

Perkara itu katanya amat dikesali kerana undi rakyat Mesir ibarat tidak diiktiraf dan kini kembali semula di bawah pemerintahan rejim tentera.

“Amat malang sekali apa yang berlaku ini mematah atau memutarkan kembali jam kebelakang, ini mengingatkan kita kepada tahun 1952 apabila  tentera naik untuk memerintah yang bermula dengan Jamal Abdul Nasir.

“Apa yang berlaku juga hanya mengulangi siri-siri pemerintah diktator terutamanya apa yang pernah berlaku di Algeria.”

Dalam pada itu, beliau berpendapat, keadaan keselamatan yang tidak terjamin sejak Morsi menaiki tampuk pemerintahan juga salah satu punca pertukaran pentadbiran kerajaan berlaku di Mesir.

Bagaimanapun jelas Maszlee, Mohammed Morsi tidak dapat melakukan banyak perubahan kerana menerima pelbagai tekanan dan halangan golongan ‘serpihan Hosni’.

Beliau juga berpandangan bahawa sistem demokrasi di Mesir akan berkubur selepas ini walaupun pilihan raya diadakan semula pada masa akan datang.

“Saya rasa pihak yang menggulingkan kuasa Mohammed Morsi daripada kerajaan sah di Mesir hari ini mereka tahu jika  diadakan pilihan raya yang bersih dan adil, yang memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan secara majoriti pasti yang akan menang nanti ialah Ikhwanul Muslimin.

“Ini kerana parti itu lebih tersusun, lebih teratur, lebih berstategi. Jadi sudah pasti mereka akan cuba membuat seribu satu daya untuk menghalang itu daripada berlaku.”

Justeru, beliau menjangkakan kerajaan sementara akan mengharamkan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang kebangkitan atau kemenangan parti bebas itu pada masa akan datang.

Tentera Mesir pada Rabu lalu bertindak menggulingkan Presiden Mohammed Morsi selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh.

Polis mula menahan pegawai-pegawai kanan presiden dan pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin serta turut mengeluarkan waran tangkap ke atas lebih 300 pegawai parti terbabit.

 

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan