Menangani Fir’aunisme
Submitted by admin on Thu, 01/12/2011 - 10:00am
Marwan Bukhari | Abduh Study Group | Islamic Renaissance Front
Ali Shari’ati (1933-1975), seorang intelektual Islam yang ulung yang juga merupakan pakar sosiologi pernah menegaskan betapa adanya “triniti sosial” yang selalu bergabung untuk melakukan penindasan dalam masyarakat. Fir’aun (kuasa), Bal’am (agamawan) dan Qarun (harta) merupakan tiga individu di dalam al-Qur’an yang telah dihuraikan oleh Shari’ati sebagai pewaris legasi Qabil dalam pergelutan antara haq dan batil, antara keadilan dan kezaliman. (Tugas Cendekiawan Muslim, diterjemahkan oleh Amien Rais daripada Man and Islam, Mashhad: University of Mashhad Press, 1982 – terjemahan daripada judul asal berbahasa Parsi)
Di antara ketiga-tiga simbol kezaliman tersebut, terdapat kecenderungan mengenali simbol kekuasan dan politik dengan lebih dekat, iaitu Fir’aun, kerana menerusi perbincangan ini akan juga terserlah penyalahgunaan agama dan pemonopolian harta.